`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Tuesday, April 18, 2017

RUU DAN POLITIK BAHARU PAS

DARI SUDUT LAIN
Pembentangan RUU355 baru-baru ini oleh pihak PAS di parlimen bukan sahaja telah melakar sejarah baharu dalam politik tanah air, bahkan ia menjadi penanda aras pencapaian politik berwajah baharu yang dibawa oleh PAS. Pasca muktamar 2015, kepimpinan parti tersebut telah mempopularkan satu konsep politik baharu yang dijenamakan sebagai Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS).
Sejak dari awal negara ini mencapai kemerdekaan, PAS menjadi pembangkang yang paling menonjol di arena politik. Ketegasan mereka menentang parti pemerintah, dan kekuatan mereka di peringkat akar umbi terutama golongan melayu muslim yang membentuk majoriti di negara ini menjadi faktor utama parti tersebut meraih populariti yang begitu tinggi selain dari parti pemerintah. Walaupun PAS pernah direkodkan menyertai gabungan parti pemerintah melalui Perikatan dan Barisan Nasional, tetapi PAS lebih dikenali sebagai parti yang memiliki haluan politik tersendiri yang berbeza dengan mana-mana parti politik yang ada.
PAS terkenal dengan agenda Islamnya. Apa jua yang mereka lakukan sentiasa menggunakan hujah-hujah agama. Segala langkah politik yang dicatur dilapik dengan ayat-ayat al-Quran dan juga hadis-hadis yang pelbagai. PAS bercita-cita mahu menegakkan sebuah negara yang mengamalkan nilai-nilai ajaran Islam secara holistik. Inilah keunikan yang ada pada PAS.
Kerana prinsip ini jugalah, mereka menentang Umno walaupun parti tersebut juga mendakwa memperjuangkan Islam berdasarkan apa yang termaktub dalam perlembagaan mereka. Menurut apa yang dipopularkan sebagai Amanat Haji Hadi, jelas bahawa penentangan mereka terhadap Umno adalah atas dasar ketidaksetujuan terhadap undang-undang negara yang tidak berlandaskan Islam.
Apabila zaman terus berlalu, dan perkembangan sosio-politik negara berubah, PAS mula mengubah cara mereka. Jika dahulu penentangan terhadap Umno atas dasar yang dinyatakan di atas hanya mampu menyedarkan sebahagian rakyat, tanpa dapat berbuat apa-apa perubahan kepada undang-undang dan urustadbir negara, maka PAS melangkah setapak lagi kehadapan dengan memperkenalkan BPMS. Antara yang dapat dilihat melalui budaya politik ini adalah perubahan sikap penentangan terhadap Umno dan BN walaupun mereka masih mengisytiharkan diri sebagai pembangkang.
Dalam keadaan masih lagi membangkitkan isu-isu rakyat seperti GST, TPPA, kos sara hidup dan pengurusan negara, PAS kini mengambil sikap menyokong dan bekerjasama dengan kerajaan dalam perkara-perkara yang memberikan manfaat kepada rakyat. Walaupun PAS tidak memiliki apa-apa kerjasama rasmi dengan Umno dan BN, tetapi PAS membezakan mereka antara sebuah parti politik dengan peneraju kerajaan Malaysia yang diberi mandat oleh rakyat.
Kita boleh lihat perkara ini bermula dari penganjuran Multaqa Ulama Serantau yang dianjur oleh Alumni Universiti al-Azhar Mesir peringkat rantau Asia Tenggara. Presiden PAS yang dijemput atas kapasiti Naib Ketua Kesatuan Ulama Sedunia (KUIS) Dato Seri Abdul Hadi muncul sepentas bersama Dato Seri Najib Razak, Perdana Menteri Malaysia yang juga Presiden Umno. Di pentas itu Abdul Hadi langsung tidak menyentuh soal PAS atau Umno, sebaliknya menjelaskan tentang kepentingan kesatuan umat Islam serantau dalam menghadapi konflik geo-politik, dan peranan kerajaan negara-negara Islam dalam menguruskannya.
Walaupun PAS mendapat cemuhan yang begitu hebat, namun mereka terus maju dengan BPMS. Langkah seterusnya yang dapat dilihat adalah usaha mereka mendekati kerajaan dalam menyelesaikan konflik etnik Rohingya di Myanmar. Daripada penganjuran demonstrasi, kepada rundingan, kecaman antarabangsa, misi bantuan, hingga kepada penganjuran seminar, PAS dilihat sentiasa bersama kerajaan Malaysia. Usaha berterusan ini telah membawa kepada kendurnya sikap kerajaan Myanmar terhadap etnik Rohingya. Malaysia dianggap hero di mata masyarakat dunia dalam isu Rohingya.
RUU355 adalah bukti jelas wujudnya konsep persefahaman yang dibuat oleh PAS bersama kerajaan. Mengikut peraturan majlis mesyuarat dewan rakyat, usul-usul dari kerajaan hendaklah didahulukan daripada usul-usul yang lain. Keadaan ini telah menyebabkan banyak usul-usul dari pembangkang yang tidak tersenarai, ataupun tersenarai tetapi tidak sempat dibentang. Tetapi dalam isu RUU355, kerajaan melalui Menteri bahagian Parlimen, Dato Azalina Othman telah memberi laluan kepada usul persendirian yang dibawa oleh Presiden PAS untuk dinaikkan mendahului usul-usul kerajaan yang lain menyebabkan ianya berjaya dibentang. Selain itu kita juga dapat melihat RUU355 kini bukan sekadar menjadi agenda PAS, tetapi turut diusahakan oleh jentera-jentera kerajaan dengan penganjuran berbagai siri penerangan di berbagai peringkat.
Walaupun PAS sehingga kini masih dilihat membawa imej perjuangan Islam, namun BPMS benar-benar telah merubah PAS daripada sikap mereka yang dahulu. Perkara ini menyebabkan PAS lebih mudah didekati walaupun oleh mereka yang tidak begitu gemar akan hal ehwal politik. Walaubagaimanapun, PAS menerima kecaman daripada beberapa parti-parti pembangkang yang lain terutama dari gabungan Pakatan Harapan (PH) yang menganggap sikap PAS hanya menguntungkan kerajaan. Perbezaan antara kedua pihak ini membawa PAS mengisytiharkan diri sebagai blok politik ketiga, yang bukan bersama kerajaan dan bukan juga bersama PH. PAS telah bergabung dengan beberapa parti politik yang lain seperti Ikatan, PCM dan beratus-ratus NGO yang lain membentuk pakatan yang dinamakan sebagai Gagasan Sejahtera.
Kini, lanskap politik negara sudah berubah dengan langkah politik ter PAS. Malaysia sudah tidak dikenali sebagai negara yang mengamalkan sistem dwi-parti, tetapi menggunakan sistem multi-parti. PRU13 nanti tentunya akan berlaku sebuah fenomena , di mana pertandingan tidak lagi tertumpu antara parti A dan parti B sahaja, tetapi boleh jadi tiga penjuru ke atas. Pada saat ini, kaedah memburukkan parti-parti lawan tidak lagi relevan sebaliknya lebih kepada kaedah mengemukakan idea dan menonjolkan kelebihan masing-masing. Sudah tentu situasi ini boleh membawa negara keluar dari budaya politik kebencian dan permusuhan yang selama ini diamalkan, kepada budaya politik yang sihat dan matang.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.