`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Saturday, June 17, 2017

PKR: PANGGIL DUTA, ANJUR DEMO JIKA DAKWAAN DOJ TAK BENAR

PKR hari ini mencadangkan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang terpalit dengan pemfailan mahkamah terbaru oleh Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat berhubung skandal 1MDB supaya bertindak balas jika dakawaan berkenaan adalah tidak benar.
Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, setakat ini, Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, dan Setiausaha Akhbar Najib, Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad sekadar mengulangi penafian mereka.
“Sekiranya apa yang dikata Apandi benar, iaitu tidak wujud sebarang unsur jenayah dalam pengurusan dan pentadbiran syarikat 1MDB seperti yang didakwa dalam kes DOJ itu, maka pemfailan DOJ itu adalah palsu semata-mata.
“Oleh itu, Putrajaya dan Wisma Putra tidak patut membenarkan nama baik negara dan jawatan Perdana Menteri diheret dan dipalit sebegini rupa dan perlu segera memanggil duta besar Amerika Syarikat untuk memberi penjelasan,” katanya.
Fahmi seterusnya mencadangkan kepada Pemuda Umno dengan diketuai Khairy Jamaluddin supaya segera mengadakan demonstrasi mega di hadapan kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur.
Selain itu, katanya, Umno juga perlu melancarkan boikot besar-besaran terhadap produk dan perkhidmatan dari Amerika Syarikat sebagai tanda terhadap “motif terselindung” DOJ, seperti yang dibayangkan Tengku Sariffuddin.
Siapa menipu?
Apandi hari ini menerusi satu kenytaan media bertegas bahawa pihak berkuasa Malaysia mendapati “tiada salah laku” berkaitan dengan 1MDB seperti yang didakwa dalam saman pelucuthakan DOJ itu.
Tengku Sarifuddin pula berkata, saman itu hanya relevan kepada “manipulasi politik dalam negeri dan campur tangan” serta membayangkan satu “motif yang melampaui objektif merampas aset.”
Dalam pemfailannya yang ketiga, malam semalam, DOJ meletakkan jumlah yang diselewengkan pada AS$540 juta dan sedang berusaha untuk merampas AS$1.7 bilion dalam bentuk aset yang dipercayai diperolehi melalui dana yang dicuri daripada 1MDB.
Antara senarai barangan yang cuba disita oleh DOJ, termasuk kapal layarbarangan kemas, berlian, rangkaian pusat kecergasan dan karya seni.
Najib berulang kali menafikan dirinya menyalahgunakan dana awam untuk kepentingan peribadi dan mendakwa pertuduhan itu dibuat oleh mereka yang mahu menggulingkannya.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, jika apa yang dikatakan DOJ adalah tidak benar, mengapa kes-kes yang dibawa ke mahkamah di beberapa negara termasuk Switzerland dan Singapura telah menampakkan individu-individu yang terlibat dalam pengurusan perbankan termasuk transaksi kewangan 1MDB didapati bersalah.
Hantar delegasi
“Malah di Singapura dua di antara mereka diharamkan dari terlibat dalam aktiviti perbankan seumur hidup oleh Monetary Authority of Singapore.
“Jadi di sini rakyat Malaysia berhadapan dengan dua senario iaitu sama ada DoJ tidak berkata benar, atau Peguam Negara dan Setiausaha Akhbar PM tidak berkata benar.
“Kedua-duanya mempunyai implikasi atau kesan serius terhadap politik dan sistem perbankan dalam negara dan di peringkat dunia,” katanya.
Menurut Fahmi, peguam negara kini tidak lagi boleh berdolak-dalih dan perlu segera menghantar delegasi untuk bekerjasama sepenuhnya dengan pihak DOJ untuk membuktikan di mahkamah kebenaran atau kepalsuan dakwaan penyelewengan wang oleh 1MDB ini.
Malaysiakini hari ini melaporkan, saman sivil ketiga yang difailkan oleh DOJ menyenaraikan secara terperinci tentang dakwaan penyelewengan wang 1MDB.
Antaranya, DOJ mendakwa hartawan yang juga ahli perniagaan Jho Low dan sekutunya Eric Tan membelanjakan AS$9.9 juta bagi membeli barang kemas untuk ibunya serta model Australia, Miranda Kerr.
Malah, AS$28.9 juta turut dibelanjakan untuk membeli barang kemas isteri Malaysian Official 1.
DOJ turut mendakwa, kapal layar mewah milik Low, “The Equanimity” dibeli menggunakan wang 1MDB.
Selain itu, dalam pemfailan tersebut, DOJ juga berkata, sekurang-kurangnya AS$27.3 juta digunakan bagi membeli loket dan rantai berlian 22 karat berwarna merah jambu untuk isteri Malaysian Official 1.
– M’kini

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.