`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, June 13, 2017

‘Saya imam’ dan rasuah kurma

Kalau ada yang bimbang 'hadiah Ramadan' DAP dapat membeli undi, persoalannya adakah rakyat mampu dibeli dengan sebungkus kurma?
KOMEN
saya-imam
Oleh Rahman Imuda
“Saya imam”, 2 perkataan yang cukup untuk menjadikan individu yang menghalau petugas Pakatan Harapan di sebuah bazar di Kluang, Johor menjadi tular.
Ini bukanlah insiden pertama petugas pembangkang dihalau dan dihalang untuk memberikan sedekah kepada orang awam di bazar Ramadan.
Apa yang lebih menarik, kejadian seperti ini pernah berlaku pada 2014, melibatkan orang yang sama tetapi memakai karakter yang berbeza ketika itu.
Membincangkan individu tersebut tidak membawakan kita apa-apa manfaat, kecuali mengundang ketawa kecil. Saya melihat ada beberapa perkara yang boleh kita selami daripada insiden “saya imam” ini.
Satu bungkus kurma, satu undi?
Sayang sekali kita tidak dapat melihat keseluruhan video “pengusiran” ini, saya hanya menjumpai video pendek ketika “aksi panas” sedang berlaku.
Mengapa petugas ini dihalau? Apa yang membuatkan “pak imam itu bertukar menjadi ganas ketika bulan Ramadan?
Jawapan paling logik adalah pak imam takut penerima kurma akan mengundi parti yang memberikan kurma. Jika itu merupakan sebab terjadinya insiden ini, persoalan saya yang seterusnya; adakah undi rakyat yang negaranya 2 bulan lagi mencapai kemerdekaan yang ke-60 mampu dibeli dengan sebungkus kurma? Saya tidak rasa begitu.
Jika kita beralih kepada sebab yang paling lazim dalam insiden pergaduhan itu, iaitu si pemberi adalah berbangsa Cina dan “menentang Islam”, saya masih juga tertanya-tanya.
Pertama, adakah orang yang tidak beragama Islam tidak dibenarkan sama-sekali untuk melakukan kebaikan kepada orang yang sedang berpuasa? Dapatkah mata kita menembusi hati seseorang untuk melihat niatnya?
Okay, andainya saya bersetuju dengan premis DAP tidak menyokong perkembangan Islam di Malaysia, adakah menggunakan taktik kekerasan untuk menghalau petugas yang ingin melakukan kebaikan itu selari dengan ajaran Islam?
Apa perasaan “tok imam” dan rakan-rakannya jika ahli politik yang mereka sanjungi dihalau secara “keras” ketika mengedarkan limau semasa perayaan Tahun Baharu Cina? Saya pasti mereka juga akan terkilan.
Tipikal golongan tua konservatif
Bagi mereka yang rajin memberi soalan panas kepada golongan agamawan tua yang bersifat konservatif, saya fikir jawapan seperti “jangan nak cerita pasal Islam, saya imam” merupakan antara jawapan yang popular.
Kita harus menghargai golongan agamawan tua konservatif ini, pastinya mereka mempunyai jasa yang banyak. Namun, sekali-sekala mereka mungkin akan melakukan kesilapan atau tidak mempunyai pengetahuan yang luas tentang isu generasi baharu.
Golongan muda pada hari ini pula didedahkan dengan pelbagai maklumat, proses untuk mencernakan maklumat ini memerlukan bantuan daripada ahlinya.
Lambakan maklumat yang diterima oleh golongan muda ini melahirkan soalan yang mungkin tidak pernah ditanya oleh generasi sebelum ini.
Sekali-sekala, soalan ini bersifat terlalu “sensitif” sehingga menimbulkan kontrovesi dalam kalangan sarjana agama.
Apabila soalan seperti ini diajukan kepada golongan tua konservatif, kebanyakan mereka tidak mempunyai jawapan yang boleh memuaskan hati si penyoal. Lebih malang lagi, jika ada yang marah atau meletakkan label kepada mereka yang bertanya.
Saya percaya soalan yang dilemparkan oleh golongan muda pada hari ini mempunyai jawapan yang rasional menurut nas agama. Moga-moga para agamawan lebih gigih dalam mencari jawapan ini untuk memberi pencerahan kepada masyarakat, kerja “pak imam” bukan marah-marah, tapi memberi pencerahan kepada masyarakat.
Golongan muda
Saya percaya kebanyakan mereka yang terlibat dalam insiden “saya imam” merupakan golongan muda. Apabila kita berbicara tentang golongan muda, hal pertama yang terlintas di fikiran saya adalah perkataan “harapan”. Bukan Pakatan Harapan, tapi pada tangan anak mudalah terletak “harapan” untuk menjadikan negara kita lebih baik.
Baru-baru ini, pilihan raya United Kingdom menyaksikan impak yang boleh diberikan oleh golongan muda. Anak muda pada hari ini harus sedar, “negara idaman” tidak muncul dengan hanya berbaring atau memberikan kurma semata-mata, ia memerlukan pengorbanan dan kesungguhan.
Laporan yang menyatakan lebih 4 juta rakyat Malaysia belum daftar mengundi seperti menampar tepat ke muka mereka yang mempunyai impian melihat negara ini menjadi lebih baik. Majoriti daripada mereka yang belum mendaftar ini merupakan golongan muda.
Kesedaran politik perlu ditanam dan dibaja serapinya pada hati setiap anak muda yang ada di negara ini. Biarlah insiden bazar Ramadan menjadi insiden yang terakhir memaparkan masih ada anak muda yang tidak “pandai” berpolitik. Politiknya ganas dan rasis.
Biarlah pendirian “tidak bersetuju” dinatijahkan dalam bentuk keputusan pilihan raya. Sekuat mana pun kita menjerit, sederas mana pun kita memukul, tapi jika aksi ini gagal memberi apa-apa impak pada keputusan pilihan raya, ianya cuma sia-sia.
* Rahman Imuda ialah pembaca FMT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.