`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Tuesday, August 15, 2017

‘Bangun pagi, rakan ajak lepak’, kata remaja dituduh ganggu forum

Ia antara klip dimuatkan dalam video diterbitkan PPBM untuk membutirkan apa yang berlaku pada program 'Nothing to Hide' Ahad lalu.
kronologi
PETALING JAYA: Sebuah video diterbitkan PPBM semalam menyelitkan perbualan dengan salah seorang remaja yang ditahan pada program “Nothing to Hide” anjuran sayap pemuda parti itu, 2 hari selepas ia berakhir dengan kekecohan dan aksi baling objek.
Video kira-kira 4 minit memaparkan sekumpulan remaja berpakaian hitam dan merah dilihat enggan menunjukkan muka mereka sewaktu rakaman dilakukan.
Forum yang bermula jam 4 petang pada awalnya berjalan lancar dengan moderatornya, peguam Azhar Harun memberikan garis panduan perjalanan forum.
Sebelum sesi soal jawab bermula, Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad sempat memberikan ucapan kepada kira-kira 600 penonton yang hadir di Dewan Raja Muda Musa di Shah Alam.
Majlis yang tenang itu berubah apabila bekas exco pemuda PPBM Taufik Abas mengambil peluang untuk mengajukan soalan mengenai tragedi Memali kepada Dr Mahathir.
Namun, belum sempat Dr Mahathir menghabiskan jawapan, provokasi mula berlaku apabila individu di bahagian tengah dewan yang berbaju merah mula melontarkan kerusi ke arah hadapan dewan.
Majlis bertukar ganas apabila sekumpulan pemuda memulakan provokasi dengan melontarkan kasut, botol air dan kerusi ke arah Dr Mahathir.
Individu berpakaian hitam turut kelihatan dalam video berkenaan yang bertindak melontarkan botol minuman setelah kekecohan berlaku.
Dr Mahathir, yang juga pengerusi Pakatan Harapan pada ketika itu dibawa keluar daripada pentas oleh penganjur program.
Kejadian berlaku sekitar 5.30 petang, kira-kira 2 jam selepas program bermula.
Suasana itu menyebabkan peserta yang mengikuti forum itu panik, dan kelihatan cuba menyelamatkan diri dari pergelutan 2 kumpulan di kalangan hadirin.
Di akhir rakaman video, dipaparkan rakaman yang menunjukkan 2 remaja menjelaskan situasi mereka sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa.
“Saya bangun pagi-pagi, lepas itu rakan hubungi ajak lepak tempat biasa. Saya turun bawah dengan dia (seorang lagi rakan) lepak.
“Rakan saya cakap, jomlah pergi ke sini (program Nothing To Hide 2.0). Saya tanya pergi ke mana. Dia kata tidak boleh beritahu,” katanya.
Setelah kejadian itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Shafien Mamat mengesahkan 3 suspek ditahan bagi membantu siasatan keganasan dan kekecohan yang tercetus pada forum berkenaan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.