`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, October 25, 2017

APA MAKNANYA KEBIMBANGAN RAJA-RAJA?

APAKAH makna sebenar kenyataan yang dikeluarkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja bagi pihak Majlis Raja-Raja pada 10 Oktober 2017?
Pertama, ia mengukuhkan sekali lagi kepentingan asas perpaduan dan harmoni dalam masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan menunjukkan kenapa menghormati antara satu sama lain dan menghormati maruah semua manusia itu mustahak. Pada masa sama, kenyataan Raja-Raja itu dengan jelas menolak ekstremisme dan perpecahan dalam masyarakat yang majmuk seperti kita.
Kedua, dengan menegaskan semula kuasa mereka sebagai ketua agama Islam di negeri masing-masing, semua Sultan menyatakan dengan tegas bahawa mereka tidak mahu agama itu dikaitkan dengan hak mutlak dan ketaksuban. Mereka mahu Islam diketengahkan dan diamalkan seperti selama ini — agama yang bertolak-ansur, sederhana dan inklusif.
Ketiga, dengan memajukan nilai-nilai yang sedemikian, warga Malaysia, titah Raja-Raja, mesti berpegang pada prinsip-prinsip Perlembagaan Persekutuan dan semangat Rukunegara. Rukunegara disifatkan sebagai kompas pemandu arah negara.
Keempat, melalui bimbingan yang mereka tawarkan, Raja-Raja menempatkan diri mereka dalam tadbir urus. Ini bukan saja selaras dengan kedudukan mereka sebagai raja berperlembagaan tetapi juga mencerminkan kesinambungan sejarah yang mereka jelmakan dalam melindungi dan meneruskan identiti tanah air ini.
Ini bukan kali pertama Majlis Raja-Raja menzahirkan kebimbangan tentang dimensi tadbir urus yang mustahak demi kesejahteraan rakyat. Pada 7 Oktober 2005, ia menyatakan pandangannya tentang aspek pengurusan kewangan negara yang memberi kesan kepada integritinya.
Apabila Majlis Raja-Raja sebagai sebuah institusi mengambil sikap tentang integriti kewangan atau tentang perpaduan negara atau tentang peranan Islam dalam masyarakat Malaysia yang majmuk, rakyat harus memberikan sokongan yang penuh.
Dengan berbuat demikian, kumpulan masyarakat sivil akan mengukuhkan nilai dan prinsip yang diperlukan demi daya maju dan keutuhan sebuah negara yang masih berkembang. Sesetengah daripadanya sudah bersuara; banyak lagi yang harus menyatakan sikapnya.
– https://www.themalaysianinsight.co

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.