`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Sunday, April 29, 2018

Khalid: Maaf Warisan, anda berkeras

Pemimpin Amanah berkata, kepimpinan pusat membenarkan parti itu bertanding menentang parti sekutu di 2 kerusi di Sabah
Khalid berkata Warisan berkeras dan tidak mahu beri satu kerusi pun kepada Amanah.
SHAH ALAM: Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad mengesahkan kepimpinan parti memberi kebenaran kepada parti itu menentang calon Parti Warisan Sabah (Warisan) yang merupakan sekutu pakatan pembangkang di Sabah.
Amanah meletakkan calon di Parlimen Batu Sapi dan kerusi DUN Merotai.
Khalid memberitahu FMT dalam satu ceramah semalam, keputusan itu dibuat kerana kegagalan mencapai konsensus.
“Kami minta maaf kepada kawan-kawan di Sabah tetapi selepas rundingan yang panjang mereka tetap berkeras dan tidak bersedia memberi kepada kami walaupun satu kerusi sedangkan ahli kami bekerja keras di sana sejak Amanah ditubuhkan 2 tahun lepas,” kata Khalid.
Presiden Amanah, Mohamad Sabu ketika berucap dalam ceramah sama mengucapkan terima kasih partinya kepada Warisan atas kerja yang dilakukan di negeri itu, dan mengatakan Sabah bakal menjadi pangkalan kuasa BN yang pertama tumbang di Borneo.
Beliau berkata, Pakatan Harapan (PH) juga akan menang di Kedah, Negeri Sembilan dan mengekalkan kuasa di Pulau Pinang serta Selangor dan menggesa ahli parti terus bekerja kuat.
Media sebelum itu melaporkan Pengerusi Amanah Sabah, Hamzah Abdullah berkata pemimpin parti itu membuat keputusan dalam pertemuan yang diadakan di Kuala Lumpur Rabu lepas.
Empat calon bertanding di kerusi Parlimen Batu Sapi, iaitu Hamzah Abdullah (Amanah), Liew Vui Keong (Warisan), Linda Tsen Thau Lin (BN) dan Norsah Bongsu (PAS).
Tujuh calon bertanding di kerusi DUN Merotai, iaitu Ahmad Dullah (PAS), Lim Ting Khai (BN-LDP), Sharatha Masyaroh John Ridwan Lincon (Parti Harapan Rakyat), Abrani Akum (Amanah), Sarifudin Hata (Warisan), Azizul Tandek (Parti Kebangsaan Sabah) dan Mohd Nasir Sumadi (Usno).
Penyandang kerusi, timbalan menteri negeri Pang Yuk Ming digugurkan daripada senarai calon LDP untuk pilihan raya kali ini. - Mkini

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.