`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, May 24, 2018

Azmin: MB Selangor baru mungkin dilantik selepas raya

Menteri besar Selangor itu menolak spekulasi 3 nama adun disenarai pendek.
Azmin (kiri) ketika ditanya sama ada jawatan MB akan kekal diberi kepada adun PKR, berkata biar PH mengadakan perbincangan terlebih dahulu. (Gambar Facebook)
SHAH ALAM: Menteri besar Selangor yang baharu mungkin dilantik selepas sambutan Aidilfitri, bulan depan.
Menteri Besar, Datuk Seri Azmin Ali berkata Pakatan Harapan (PH) Selangor akan mengadakan perbincangan mengenai calon menteri besar baharu minggu depan, sebelum nama itu dikemukakan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
“Apabila kita sudah bincang dan sudah ada keputusan, baru kita akan kemuka nama untuk perkenan Tuanku.
“Mungkin serahan nama akan dilakukan selepas Aidilfitri. Bila nama sudah diperkenan, majlis angkat sumpah jawatan akan dilaksanakan secepat mungkin,” katanya pada Majlis Berbuka Puasa Sultan Selangor bersama warga Universiti Teknologi Mara di sini, hari ini.
Beliau berkata, spekulasi 3 nama adun disenarai pendek adalah tidak benar.
Ketika ditanya sama ada jawatan menteri besar akan kekal diberi kepada adun PKR, Azmin berkata, biarlah pihaknya mengadakan perbincangan terlebih dahulu.
Selangor bakal mendapat menteri besar baharu selepas Azmin yang dilantik untuk penggal ke-2 sebelum ini menyertai kerajaan Persekutuan sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi.
Dalam pada itu, Azmin berkata proses perbincangan dan membuat senarai pendek calon menteri besar baharu sudah pasti akan dibuat segera memandangkan tugas baharunya sebagai menteri Hal Ehwal Ekonomi mempunyai tanggungjawab yang berat.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai perkembangan projek Loji Rawatan Air Langat 2 (LRA2), beliau berkata kementeriannya akan menyediakan kertas jemaah menteri untuk dibentangkan kepada Kabinet kelak.
Katanya, ia adalah supaya Kabinet meneliti semula keputusan untuk memulakan operasi loji tersebut yang tertangguh semasa pentadbiran kerajaan Persekutuan di bawah Barisan Nasional sebelum ini.
“LRA2 sudah lama siap dan saya menghadiri taklimat mengenainya pagi tadi dan memutuskan untuk menyediakan kertas jemaah menteri supaya perkara ini diangkat semula bagi dipertimbangkan pada peringkat Kabinet nanti. Saya yakin kerajaan Persekutuan PH akan membolehkan LRA2 dapat beroperasi dengan segera,” katanya.
Turut berangkat ke majlis berbuka puasa itu adalah Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah. -FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.