`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, May 17, 2018

Pentadbiran agama Islam bakal berubah, kata Dr M

Dalam perutusan Ramadan, perdana menteri turut menasihatkan umat Islam untuk memahami Al-Quran dan bukan sekadar menghafal ayat.
Dr Mahathir Mohamad mahu umat Islam tidak sekadar melakukan ibadah, tetapi juga perlu memahami teks Al-Quran. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pilihan raya umum yang menyaksikan kemenangan Pakatan Harapan (PH) minggu lalu akan membawa kepada perubahan dalam pentadbiran agama Islam di Malaysia, dalam perutusan khasnya sempena bulan Ramadan yang bermula hari ini.
“Tekanan akan diberi oleh kerajaan Pakatan Harapan kepada ajaran Islam seperti yang terdapat dalam Al-Quran dan hadith-hadith yang sahih,” kata perdana menteri dalam catatan blog pertama beliau sejak dilantik ke jawatan tertinggi itu.
Dr Mahathir berharap umat Islam bukan sahaja akan memanfaatkan bulan puasa dengan melakukan ibadah seperti terawih dan pengajian Al-Quran, tetapi mengingatkan mereka agar berusaha untuk memahami Al-Quran dan bukan sahaja menghafal ayat-ayatnya.
“Al-Quran merupakan panduan yang utama bagi umat Islam. Panduan yang tidak difahami tidak mungkin menjadi kita umat Islam yang berjaya. Sementara kita menghafal, kita juga perlu faham ajaran sebenar agama Islam,” tulisnya.
Dalam perutusannya, Dr Mahathir turut melahirkan kesyukuran kerana keputusan pilihan raya tidak membawa kepada kekacauan seperti “di sesetengah negara lain”, sambil merakamkan pengharagaan kepada pasukan keselamatan.
“Alhamdulillah. Semua rakyat Malaysia sedar akan tanggungjawab mereka untuk mengekalkan keharmonian serta kestabilan dalam negara.
“Polis dan tentera juga memainkan peranan utama di dalam mengekalkan keselamatan dan ketenteraman ini,” katanya.
Sebelum hari pengundian pada 9 Mei, Dr Mahathir mengutus beberapa surat terbuka kepada pasukan keselamatan, termasuk kepada pegawai tinggi tentera, meminta mereka membenarkan anggota mereka memilih kerajaan tanpa paksaan dan tekanan, di samping bersikap neutral. -FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.