Keadilan tidak perlu dilewatkan, seseorang itu sudah dituduh, tetapi pihak pendakwaan berterusan menangguhkan kes.

Siti Kasim berkata apabila seseorang dituduh, pihak pendakwaan perlu mempunyai dokumen pertuduhan sepenuhnya.
PETALING JAYA: Peguam dan aktivis Siti Kasim tidak bersetuju dengan cara pasukan pendakwaan mengendalikan prosiding kes melibatkan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.
Siti berkata, walaupun tidak menjadi kesalahan bagi pihak pendakwaan menangguhkan prosiding tanpa membekalkan sebarang dokumen, namun amalan itu wajar dihentikan.
“Ia amalan yang kita lakukan untuk tuduhan. Kita tetapkan tarikh pengurusan kes dan pendakwaan akan serahkan dokumen. Kadang-kala anda tidak dapat dokumen hingga beberapa bulan.
“Ia adalah normal, tetapi saya tidak setuju dengan amalan itu. Seharusnya apabila anda menuduh seseorang, anda harus mempunyai dokumen pertuduhan sepenuhnya.
“Saya cadangkan pada masa hadapan, keadilan tidak perlu dilewatkan. Seseorang itu sudah dituduh, tetapi pihak pendakwaan berterusan minta menangguhkan kes,” katanya kepada FMT.
Semalam, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mempersoalkan persediaan pasukan pendakwaan membawa kes berkenaan pemindahan wang RM42 juta ke dalam akaun peribadi Najib dari bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd.
Muhammad Shafee menyifatkan pasukan pendakwaan diketuai Peguam Negara Tommy Thomas berkemungkinan masih mencari-cari bukti dalam kes berkenaan.
“Mungkin mereka masih lagi meraba-raba cari bukti, kami tidak tahu,” kata Shafee.
Siti berkata, tindakan pasukan pendakwaan juga akan memberi kesan negatif kepada Najib walaupun mahkamah membenarkan ikat jamin dalam kes berkenaan.
“Walaupun anda dibawah ikat jamin, isu ini akan sentiasa dalam ingatan seseorang. Walaupun saya tidak menafikan kes Najib boleh dikatakan sedikit rumit.
“Saya harap pihak pendakwaan tidak terburu-buru hanya kerana masyarakat awam mendesak. Kita hanya mahu melihat proses pendakwaan berjalan secara adil dan saksama,” katanya.
Najib ditahan Selasa malam oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan dihadapkan ke mahkamah keesokan harinya..
Beliau dikenakan 3 tuduhan jenayah pecah amanah dan satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa.
Najib bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap 4 pertuduhan membabitkan wang berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Sofian Abdul Razak menetapkan ikat jamin semua RM1 juta untuk semua pertuduhan, di mana RM500,000 dibayar semalam dan baki sebelum 3 petang Isnin depan, bersama 2 penjamin.
Dua anak beliau, Norashman dan Nooryana menjadi penjamin dan proses ikat jamin selesai 2.45 petang, Rabu.
Najib juga perlu menyerahkan 2 pasport diplomatik dan awamnya kepada mahkamah dan 8 Ogos depan ditetapkan sebagai tarikh pengurusan kes.
Hakim turut mencadangkan 19 hari bagi perbicaraan kes tahun depan, iaitu dari 18 hingga 28 Februari, 4 hingga 8 Mac dan 11 hingga 15 Mac.
Dalam kalangan 6 bekas perdana menteri Malaysia, Najib mrupakan pemimpin negara pertama menghadapi pendakwaan jenayah. -FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.