`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, July 31, 2018

BAGUS BILA PEMIMPIN DAP CEPAT MINTA MAAF, TAPI JANGAN DIULANGI LAGI

Naib Pengerusi DAP, M Kula Segaran akhirnya memohon maaf dan menarik balik kenyataannya sebelum ini yang mendakwa orang Melayu adalah pendatang di negara ini.
“Saya sepenuhnya memohon maaf terhadap pihak yang terluka dan menarik balik ucapan ofensif tersebut,” kata M Kula yang juga merupakan Menteri Sumber Manusia.
Sebelum itu, Adun DAP Bercham, Ong Boon Piow juga memohon maaf atas kritikannya terhadap Menteri Pendidikan, Dr. Mazlee Malik yang mendesak Perdana Menteri agar mengkaji semula kedudukan Ahli Parlimen Simpang Renggam itu sebagai anggota kabinet.
Ong sebelumnya mengkritik Dr. Mazlee yang menyebut tiada peruntukan untuk sekolah menengah persendirian Cina kerana ia bukan bertaraf sekolah kerajaan.
Meskipun sudah  meminta maaf, sikap kedua-dua pemimpin DAP itu jelas telah menimbulkan keresahan ramai kerana tergambar ada sentimen perkauman yang nyata di sebalik kenyataan mereka.
Harus diakui bahawa dalam negara ini, hal-hal yang berkaitan Melayu dan Bumiputera adalah perkara yang sudah termaktub dalam Perlembagaan. Ia tidak harus disentuh dan diusik lagi, terutama oleh pemimpin kaum lain.
Apalagi oleh DAP yang merupakan sebuah parti demokratik dan berbilang bangsa yang selama ini selalu menonjolkan sikap anti kepada perkauman dalam penampilannya.
Dalam kes mengenai keturunan orang Melayu, hakikat sejarah sudah jelas mengenai perkara itu dan membangkitkan sesuatu yang berlawanan daripadanya hanya akan mengundang kontroversi dan permusuhan yang mungkin berpanjangan.
Begitu juga dengan bantuan untuk sekolah, kerajaan selama ini memang meletakkan sekolah jenis kebangsaan Cina dan India sebagai sekolah yang menerima bantuan, tetapi bagi sekolah persendirian, bantuannya sudah tentu mengikut keperluan atau jika ada permintaan.
Ia sama seperti sekolah agama persendirian, sekolah Arab dan sebagainya yang juga ada diberikan bantuan oleh kerajaan berdasarkan keperluan atau permintaan.
Tetapi untuk mana-mana pemimpin mendesak agar bantuan kepada sekolah menengah persendirian Cina adalah sesuatu yang wajib memang agak keterlaluan kerana sekolah persendirian itu sendiri sudah mengenakan bayaran yang agak mahal kepada pelajar-pelajarnya.
Dalam kes melibat M Kula dan Ong, memang baik dan boleh dipuji apabila kedua-dua pemimpin DAP berkenaan cepat-cepat meminta maaf sebelum kontroversi yang timbul bertambah parah.
Namun, yang lebih penting ialah agar mereka dan sesiapa juga, baik daripada DAP atau lain-lain parti, agar tidak lagi semudahnya membangkitkan isu-isu yang bercorak perkauman di masa-masa akan datang.
Biar UMNO atau mereka yang sealiran dengannya saja yang kekal dengan sikap perkauman sempit yang kita sendiri sudah saksikan ianya semakin ditolak oleh rakyat.
Keputusan PRU14 yang lalu adalah bukti jelas bagaimana rakyat sebenarnya telah menolak politik perkauman yang sempit dan tidak beretika yang selama bertahun-tahun dimainkan dijadikan modal untuk terus berkuasa.
Rakyat kini mahukan Malaysia Baru yang lebih baik dan lebih harmoni untuk semua orang melalui kerajaan baru Pakatan Harapan.
Untuk itu, sementara PKR, Bersatu dan Amanah boleh bertolak ansur dan tidak memainkan sentimen kaum masing-masing secara keterlaluan demi menjaga keharmonian bersama, DAP juga seharusnya mempunyai sikap yang sama.
Malaysia ini adalah sebuah negara yang unik dengan pelbagai kaum ada di dalamnya, tetapi jangan dilupa mengenai kedudukan Melayu dan Bumiputera yang sudah termaktub dalam Perlembagaan dan dilindungi oleh Raja-Raja Melayu.
Semua kaum pada hakikatnya ada hak dan bahagian masing-masing dalam negara ini,mcuma permintaan atau desakan terhadap sesuatu perkara yang melibatkan kaum itu biarlah dilakukan secara beradab dan berhemah serta jangan sesekali menyinggung kedudukan kaum-kaum lain.
Jika Malaysia Baru ini tidak dijaga dengan baik, penantian dan usaha selama 60 tahun untuk melihat tumbangnya UMNO tidak akan bermakna apa-apa lagi buat kita semua.
– http://shahbudindotcom.blogspot.com

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.