PUTRAJAYA: Pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia terutamanya di kawasan yang sering dilanda banjir di seluruh negara kini sudah bersiap-sedia 100 peratus bagi menghadapi situasi tersebut, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin.
Beliau berkata, di peringkat PBT sudah diwujudkan pasukan pantas yang akan turun ke padang dengan segera apabila banjir melanda kawasan masing-masing.
“Tahun ini hujan dilihat berlaku lebih awal, iaitu pada bulan ini. Saya berdoa tidak ada bencana lebih besar daripada apa yang ada pada hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melepaskan 2,000 peserta Kayuhan Wanita 2019 di sini hari ini.
Sehingga Jumaat, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negara adalah 1,351 orang daripada 386 keluarga.
Negeri yang dilanda banjir ialah Johor, Selangor, Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.
MET Malaysia pada 21 Sept mengeluarkan kenyataan antara lain perubahan angin monsun dijangka bermula 24 Sept sehingga awal Nov depan yang boleh mengakibatkan angin kencang, hujan lebat yang berpotensi berlaku banjir di negeri pantai barat Semenanjung, pantai barat Sabah serta barat dan tengah Sarawak. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.