Jika diperhalusi, walaupun kenyataan AJK Pusat DAP, Ronnie Liu berkaitan Tun Mahathir Mohamad dan Bersatu baru-baru ini dilihat kasar dan tidak wajar, niat beliau tidak lain adalah untuk memastikan PH sentiasa berada di landangan perjuangannya yang sebenar.
Lebih daripada itu, kenyataan beliau juga adalah sebagai tindak balas terhadap tindak-tanduk Tun Mahathir sendiri yang selama ini dilihat banyak kekaburan, mengelirukan dan seolah-olah mahu menjadikan PH akhirnya berpecah.
Yang sangat ditakuti, selain petandanya tidak susah untuk dicari, kalau Tun Mahathir sebagai PM7 benar-benar mahu kembali seperti PM4 dahulu yang berkuasa mutlak dan bebas melakukan apa saja mengikut kehendak hatinya.
Dalam hal ini, bukan saja Tun Mahathir, malah semua pendokong PH harus sedar bahawa PH yang mentadbir negara sekarang tidak sama dengan BN dahulu.
Oleh kerana Tun Mahathir diberi kuasa buat kali kedua ini melalui PH, mengembalikan semula watak PM4 yang sinonim dengan BN ke dalam PH tentulah sesuatu yang tidak dialu-alukan sama sekali.
Untuk itu, teguran Ronnie Liu adalah agar Tun Mahathir bukan saja mesti sedar Bersatu yang dipimpinnya hanya mempunyai kerusi yang sedikit, malah juga mesti insaf BN yang pernah dipimpinnya dahulu sudah pun ditolak rakyat.
Dengan PH diberikan mandat mentadbir negara dengan slogan Malaysia Baru, apa yang rakyat mahukan ialah perubahan dan pembaharuan.
Jika rakyat mahukan cara lama tentang bagaimana negara ini diurus dan bagaimana seorang Perdana Menteri berlagak bak maharaja, sama ada dalam politik atau ekonomi, lebih baik mereka kekalkan saja BN untuk terus mentadbir negara ini dalam PRU yang lalu.
Apabila rakyat memilih PH dan sanggup menolak BN yang telah berkuasa selama 60 tahun, keinginan rakyat kepada perubahan dan pembaharuan bukanlah suatu yang main-main.
Bagaimanapun, mempermainkan harapan rakyat dengan banyak berdolak-dalik serta liat menunaikan janji hanya akan menyebabkan mereka hilang kepercayaan kepada PH dan menggelapkan masa depannya, sedangkan mungkin untuk berapa lama lagi Tun Mahathir sudah pun tiada lagi di dunia ini.
Tetapi, meski selepas ketiadaan Tun Mahathir, PH mesti terus hidup dan bernyawa.
PH juga tidak harus dibiarkan mati kerana nafsu tak bertepi yang ada dalam diri Tun Mahathir.
Makanya, tindakan Ronnie Liu mengeluarkan kenyataan kasarnya lebih berupa peringatan kepada Tun Mahathir agar tidak lari daripada landasan perjuangan PH dan tujuannya adalah murni serta suci.
Oleh itu, DAP tidak harus mengambil apa-apa tindakan disiplin terhadapnya, malah Adun Sungai Pelek itu seharusnya diberikan ucapan terima kasih, kalau pun tidak mahu memberinya pingat atau jamuan makan malam.
Dalam menghadapi pelbagai isu semasa yang sesetengahnya macam sengaja dicetuskan oleh Tun Mahathir untuk mewujudkan ketidaktentuan dan perpecahan dalam PH, bukan saja tindakan Ronnie Liu itu harus dialu-alukan, bahkan sepatutnya ada 10 atau 100 lagi watak sepertinya dalam PH.
Kalau semua orang takut bersuara, lemah kerana dedak jawatan dan kedudukan serta selalu tunduk seperti seseorang mengadap maharaja, PH ini tidak akan ke mana-mana serta mati begitu saja akhirnya.
Apakah kita mahu PH ini jadi begitu akhirnya?
Kalau Ronnie Liu dilihat kasar dan kurang ajar, bagaimana dengan Azmin Ali, Khairuddin Abu Hassan, Zuraidah Kamaruddin dan beberapa nama yang lain yang terang-terang menolak konsensus PH berhubung penyerahan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar Ibrahim?
Tidakkah mereka itu lebih khianat, pengkhianat dan lahanat kepada PH?
Apakah dalam PH ini hanya menegur dan mengkritik Perdana Menteri saja yang dilihat salah, manakala mengutuk bakal Perdana Menteri yang sudah dipersetujui dianggap tindakan terpuji?
Kepada DAP, sekali lagi ditekankan, Ronnie Liu adalah pembawa suara penyelamat untuk PH dan mengenakan hukuman kepada beliau, apalagi tunduk kepada tekanan Armada Bersatu yang tidak sabar-sabar mahu hukuman dijatuhkan dalam tempoh seminggu, tindakan itu hanya akan membuatkan DAP hilang taringnya.
Jika DAP tunduk dan takut kepada Tun Mahathir sebagaimana semua orang berjaya ditundukkannya di era PM4 dahulu, parti itu bukan saja berpotensi menjadi seperti MCA, malah sekarang pun sudah tiada bezanya dengan MCA.
– https://shahbudindotcom.net/
Sudah2 Budin.Asyik2 cakap hal Anwar untuk PM
ReplyDeleteAiyo budin....please lah...
ReplyDelete