`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, November 9, 2019

Umat Islam wajar hargai kemajmukan, kata Dr M sempena sambutan Maulidur Rasul

Sempena sambutan Maulidur Rasul 1441H, Dr Mahathir Mohamad berharap usaha meningkatkan kefahaman ajaran Islam sebenar terus dilipatgandakan.
KUALA LUMPUR: Dr Mahathir Mohamad berharap usaha untuk meningkatkan kefahaman berkaitan ajaran Islam yang sebenar terus dilipat ganda dan dipergiat, dengan pendekatan-pendekatan yang sesuai.
Perdana menteri berkata usaha ini penting bagi membuktikan bahawa rakyat dapat menjalani kehidupan yang sejahtera, dinaungi oleh agama Islam yang membawa rahmat kepada semua.
“Jadikanlah Rasulullah sebagai ikutan sepanjang hayat, agar kita semua memperoleh kebahagiaan di dunia dan akhirat,” kata beliau dalam satu catatan di laman Twitter rasminya.
Bersempena sambutan Maulidur Rasul tahun ini, Mahathir juga berkata umat Islam wajar menghargai kemajmukan, melestarikan kehidupan dalam kedamaian, serta memelihara hubungan antara kaum dan agama.
Ciri-ciri tersebut katanya, boleh dicapai dengan menitikberatkan ajaran Islam dalam kehidupan yang berlandaskan Al-Quran dan hadis yang sahih.
“Kita sebut agama Islam yang sebenar kerana terdapat banyak tafsiran dan ajaran Islam yang disalah tafsir, dipengaruhi oleh kepentingan lain. Inilah yang menyebabkan umat Islam berpecah dan berpuak-puak,” katanya yang juga mengucapkan “Salam Maulidur Rasul 1441H”.
Beliau mengakhiri catatan itu dengan menyatakan “Negara Rahmah, Ummah Sejahtera”.
Lakukan amalan kebaikan
Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail menyeru umat Islam di negara ini menyambut Maulidur Rasul dengan mengadakan majlis ilmu serta melakukan amalan kebaikan.
Kata beliau, selain itu, mereka juga perlu beramah mesra bersama golongan kurang bernasib baik, serta mendekati mereka yang masih belum mengenali Islam dan baginda Rasulullah.
“Amalan ini perlu dilakukan agar kehadiran Rasulullah sebagai Rahmatan lil Alamin itu terus dirasai oleh umat sejagat.
“Justeru marilah kita mencontohi sifat kepimpinan Rasulullah dan meneladani kisah perjuangan baginda dalam mencakupi pelbagai aspek kehidupan kita hari ini,” kata beliau dalam perutusannya.
Bersempena sambutan Maulidur Rasul tahun ini, beliau turut mengingatkan umat Islam bahawa sambutan kelahiran Nabi Muhammad, bukan sekadar memperingati kisah perjuangan baginda sebagai satu retorika sejarah sebaliknya untuk menginsafi kesukaran laluan perjuangan sebelum menggenggam segunung kejayaan.
Wan Azizah berkata sebagai umat Nabi Muhammad, umat Islam dinasihati untuk merenungi sifat kemanusiaan baginda yang tiada tolok bandingan kerana amat prihatin dengan keperluan serta kelemahan seorang manusia.
“Baginda banyak membimbing berbanding menghukum. Baginda lebih banyak bersimpati berbanding mengkritik atau memarahi. Baginda lebih kerap berdoa kepada Allah SWT demi kesejahteraan umat baginda berbanding doa untuk diri baginda sendiri,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.