`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Tuesday, January 14, 2020

Berlapang dada dengan SIS, Dong Zong dan G25



Ada satu catatan ringkas di media sosial baru-baru ini:
“Bila SIS bersuara, haramkan SIS. Bila Dong Zong bersuara, haramkan Dong Zong. Bila G25 bersuara, haramkan G25. Suara kita saja yang halal!”
SIS merujuk pada Sisters in Islam, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan hak-hak wanita Islam. Dong Jiao Zong sebuah persatuan pendidikan yang menguruskan sekolah tinggi persendirian Cina. Sementara G25 sebuah NGO yang dianggotai bekas penjawat tinggi awam yang memperjuangkan demokrasi, sekularisme dan liberalisme.
Ketiga-tiga pertubuhan itu dikenali mempunyai pendirian yang berbeza daripada pandangan umum anggota masyarakat Islam yang konservatif. Pandangan SIS yang banyak mempersoalkan amalan biasa masyarakat berhubung kedudukan dan hak wanita seringkali dikritik dan dikecam banyak pihak dalam kalangan orang Islam. Ekoran itu SIS diisytihar sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam oleh Majlis Agama Islam Selangor (Mais).
Dong Zong pula menentang pengajaran khat atau jawi di sekolah jenis kebangsaan Cina kerana ia dianggap sebagai sebahagian proses Islamisasi. Maka timbul petisyen supaya pertubuhan itu diharamkan.
Dalam kenyataan terbaru G25 yang tentunya menimbulkan kontroversi dalam kalangan masyarakat Islam arus perdana pula, pertubuhan itu menyifatkan seseorang tidak boleh dipaksa untuk kekal dalam Islam. Bagi mereka, urusan kepercayaan antara individu berkenaan dengan Tuhan.
Pendirian-pendirian ini diketahui umum kerana pertubuhan-pertubuhan itu bersuara, sama ada melalui ucapan pemimpinnya, kenyataan media atau buku-buku yang diterbitkan. Tetapi apabila mereka bersuara, banyaklah yang tidak setuju dengan pendirian mereka. Ada yang menyatakan tidak setuju dengan mengutarakan hujah balas. Tetapi ada yang hanya mengecam, membidas dan mengutuk secara kasar melalui media sosial.
Dalam pada itu ada yang membuat petisyen atau tindakan untuk mengharamkan pertubuhan-pertubuhan itu.
Di situlah rujukan posting berkenaan. Bila saja tidak setuju pendapat, maka dituntut supaya ia diharamkan. Sisters in Islam diisytihar sesat dari sudut undang-undang agama di Selangor. Maknanya, ia diharamkan bagi orang Islam menyertainya. Petisyen supaya Dong Zong diharamkan pun diusahakan. Sementara buku terbitan G25 pernah diharamkan.
Jadi catatan itu mempersoalkan adakah “suara kita saja yang halal?”. Maksud “kita” ialah mereka yang menuntut supaya pertubuhan-pertubuhan itu diharamkan. Sememangnya seseorang mempunyai pendirian masing-masing. Tentulah seseorang menganggap pendiriannya betul, sementara orang lain yang salah.
Tetapi dari pengalaman hidup adalah jelas pendirian seseorang itu boleh berubah. Adakah sesuatu yang betul boleh menjadi salah dan sebaliknya? Atau “betul” dan “salah” itu menurut pertimbangan yang relatif pada waktu dan suasana seseorang.
Dengan melihat terdapat banyak pendirian yang pelbagai, maka sudah tentu ada kalanya pendapat seseorang pasti salah. Jadi setiap orang perlu diberi ruang untuk memiliki pendirian yang berbeza. Betul dan salah tetap wujud tetapi tindakan mengharamkan sesuatu pertubuhan kerana mempunyai pendirian sikap yang tidak sesuai dengan sikap demokrasi yang memberi ruang pada semua orang.
Berlapang dada pada perbezaan pendirian dan pendapat kunci masyarakat demokratik. Maka inti pada posting media sosial itu sebahagian daripada sikap Malaysia Baru yang diungkapkan ketika mula kerajaan Pakatan Harapan ditubuhkan selepas pilihan raya umum ke-14 lalu.
Pada masa ini, imej konsep Malaysia Baru diejek kerana kerajaan PH dilihat tidak dapat melaksanakan keseluruhan manifesto pilihan raya dan prestasi menteri-menteri yang mengecewakan. Tetapi apa yang dibawa oleh Malaysia Baru itu lebih unggul daripada butiran manifesto. Paling utama ialah bersih daripada rasuah. Kedua kebebasan berfikir dan bersuara dalam konteks masyarakat demokrasi yang sihat dan membina. Di sinilah yang hendak dirujuk catatan itu.
Rakyat wajar mempunyai perbezaan pendapat dan bebas bersuara. Pendirian yang berbeza tidak wajar membawa kepada pengharaman pertubuhan atau pengharaman tulisan dan buku yang mengutarakan pendirian berbeza atau bercanggah. Maknanya dalam Malaysia Baru, rakyat wajar berlapang dada. Dengar pandangan berbeza. Kalau tidak setuju, ambil jalan setuju untuk tidak bersetuju. Kalau berdialog, maka wajar berbalas hujah. Tetapi kata-kata kecaman, bidasan dan kutukan sama juga dengan tuntutan pengharaman.
Berlapang dada itu bukan saja bertoleransi tetapi penerimaan perbezaan.
Catatan di Facebook itu dimuat naik seorang agamawan yang menggunakan nama Abu Mishkat. Adalah dipercayai beliau pastinya bukan pendokong SIS, Dong Zong atau G25. Tetapi sebagai seorang lulusan Al-Azhar dan juga alumni Kolej Islam, tentunya beliau sebahagian daripada komuniti agamawan arus perdana. Tetapi beliau cukup berladang dada dalam soal perbezaan pendapat. Inilah juga sebahagian daripada semangat Rahmatan Lil Alamin yang memberi ruang ramah kepada semua orang tanpa mengira perbezaan pendapat.
Walaupun konsep Rahmatan Lil Alamin yang dibawa oleh kerajaan PH melalui jalur Amanah sering menjadi sasaran kritikan dan ejekan pembangkang, tetapi ia sesuai dengan semangat Malaysia Baru dari segi meraikan pelbagai pendapat.
Maka tidak hairanlah suasana hari ini dirasakan penuh riuh rendah dengan pendapat pelbagai ragam berbanding sepanjang lebih 60 tahun lalu bawah Perikatan dan Barisan Nasional. Ditambah lagi dengan kemudahan teknologi maklumat sekarang yang memberi ruang amat luas dalam mengutarakan pendapat berbeza.
Sememangnya banyak juga rakyat yang merindukan ketenangan era dahulu di mana pendapat dikawal melalui media massa dengan tindakan pengharaman pertubuhan dan penerbitan dari masa ke masa. Sebab itu ada yang mahu PH dikalahkan pada pilihan raya umum akan datang dan negara kembali pada zaman demokrasi terkawal. Golongan ini berasa yakin rakyat akan suka ketenangan.
Tetapi apabila sudah mengecapi kebebasan bersuara dan berpendirian berbeza, amat sukar untuk hanya memegang pendapat yang diluluskan pihak berkuasa.
Kalaupun PH kalah atau berlaku penjajaran semula politik dengan personaliti-personaliti mengubah haluan masing-masing, nilai yang diutarakan konsep Malaysia Baru dari segi kepelbagaian pendapat akan terus berlaku.
Pertembungan pendapat akan terus berlaku. Pertubuhan yang pelbagai, baru dan lama akan muncul dengan generasi segar yang mempunyai sudut pandangan berbeza daripada orang terdahulu. Ada pandangan-pandangan baru yang tidak terfikir akan muncul pada masa-masa akan datang.
Setiap sudut pandangan akan cuba menguasai ruang idea. Majoriti yang akhirnya akan berkuasa, tetapi itu tidak akan bermakna pandangan minoriti disekat dan dibisukan. Mereka juga mahu suaranya didengar. Begitulah apa yang akan mengubah masyarakat pada masa akan datang.
Jadi, buat masa ini hentikanlah usaha untuk mengharamkan apa-apa pertubuhan atau membisukan sebarang suara. Pengharaman buku juga wajar dihentikan. Dalam Malaysia Baru sewajarnya semua pandangan berbeza diraikan. Pun begitu, tiada tempat bagi sebarang kebencian atau hasutan yang boleh mencetuskan pergaduhan sesia. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.