`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, February 6, 2020

Gara-Gara Tikus Membaiki Labu




Baru-baru ini kita membaca berita tentang bagaimana Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, menteri belia dan sukan merangkap ahli Parlimen Muar bercempera menyelamatkan nyawa beliau setelah diancam sekumpulan 200 orang di sebuah restoran di Ulu Tiram, Johor.

Usaha Syed Saddiq melarikan diri dari gangguan mereka, dengan memanjat pagar diraikan sesetengah netizen sebagai satu bahan jenaka. Akan tetapi kita semua tahu itu, ia bukan satu yang kelakar. Ia satu masalah yang makin serius dalam kalangan orang Melayu. Ia bukan budaya tinggi Melayu. Ia perangai lanun-lanun dahulu kala.
Jika kita mengikuti perjalanan pemilihan parti tertentu, kita juga akan mendapati hiruk-pikuk dan kehuru-haraan begini. Semua kekacauan ini berpunca dari kesamsengan yang memualkan. Kesamsengan ini semakin meningkat dan ia toksik untuk amalan demokrasi.

Jika kita tidak membendungnya, kenaikan tangga Malaysia dalam Indeks Demokrasi dengan mendapat markah 7.16 tahun lalu, akan merosot mendadak tahun ini. Kita boleh jadi Pakistan. Kita boleh jadi mana-mana negara Amerika Latin, atau di Afrika. Samseng menguasai politik.

Oleh sebab begitu beraninya samseng menceroboh seorang menteri, dan ahli keluarganya; kita hanya ada satu ingatan. Hari ini kita tidak lagi dapat mengaitkan satu bangsa sahaja dengan kesamsengan.

Kejadian itu hanya membuktikan, betapa segelintir Melayu juga samseng. Sudahlah Melayu malas, Melayu juga samseng.

Akan tetapi bagaimanakah untuk mengenal samseng Melayu di kawasan kejiranan anda? Atau dalam kalangan parti politik yang anda anggotai?

Ada sebuah novel, Batas Langit judulnya yang dapat dijadikan panduan untuk mengenal samseng Melayu. Syed Saddiq boleh membacanya, Asyraf Wajdi Dusuki juga elok membacanya.


Batas Langit dikarang Cikgu Mohamed Latiff Mohamed. Novel beliau itu meraih penghargaan Malay Literary Awards oleh Malay Language Council of Singapore pada 1999.

Karya-karya Latiff khusus Batas Langit wajar diberi perhatian besar oleh kita di Malaysia. Karyanya patut menjadi dialog buat pelbagai bangsa, generasi dan pandangan politik yang berbeza. Latiff sendiri mengharapkan karyanya dapat mendidik generasi baru dari bangsa bukan Melayu.

Latiff juga penerima Cultural Medallion Award 2013. Semacam gelar sasterawan negara kita. Karya-karya beliau yang lain merangkumi genre puisi.

Selain Batas Langit, novel beliau yang lain mendapat perhatian adalah Kota Air Mata, dan Dalam Keasingan. Batas Langit diterjemah dan diterbitkan dalam bahasa Inggeris sebagai Confrontation pada 2013 oleh Epigram Books.

Batas Langit mengisahkan kehidupan orang Kampung Pak Buyung yang tertekan oleh kemelaratan hidup di ambang kemerdekaan. Menerusi watak Adi yang masih anak-anak, pembaca dibawa menerokai pelbagai suasana politik Singapura 1960-an yang penuh gelora di mana berlaku perkelahian kongsi gelap, wacana identiti politik dan ras, kejadian konfrontasi dengan Indonesia, tuntutan kaum cauvinis Cina, harapan bangsa Melayu dan secara menyayat hati memperlihatkan kesan perpisahan Singapura dengan Malaysia secara psikologi, terhadap pemikiran bangsa Melayu.

Di tengah-tengah tema besar itu, Batas Langit menyediakan pelbagai jalur naratif sebuah novel yang menunjukkan nasib dan pilihan watak-watak sedia ada dan usaha mereka untuk keluar dari keterperukan.

Jatuh bangun watak-watak seperti Kak Salmah, Mak Timah, Pak Mat, Abang Dolah, Kak Habsah, dan Bibik digarap secara pejal bersama-sama isu-isu besar di atas.

Novel ini pertama kali diterbitkan pada 1997 oleh Kerjaya Printing Industries Pte Ltd Singapura, dan kemudian diterbitkan kembali oleh Pustaka Nasional Singapura pada 2002.

Latiff merenung perangai bangsa Melayu yang pelbagai menerusi sudut pandang pertama dan limited omniscient (kemampuan terhad tetapi dapat menyelami jiwa) pada watak bernama Adi. Watak bulat ini ditampil naif, dari sekolah rendah sekitar usia 10 tahun, dan kita akan mengikuti riwayat hidup Adi sehingga beliau memasuki sekolah menengah Melayu.

Pemilihan watak utamanya Adi dalam usia ini membolehkan Latiff melakukan ulasan mentah, tetapi mengesankan, diberi khusus dalam mengulas sosio-politik dan budaya di Singapura dalam dekad-dekad 1960an.

Ada seorang watak bernama Bang Dolah, yang akan kita beri perhatian dalam merenungi budaya samseng Melayu. Atau, secara mudah, bagaimana untuk mengenal watak samseng Melayu.

Samseng seperti Bang Dolah ini dalam kampung kita. Kalau anda tinggal di flat, Bang Dolah ada di flat anda. Jika anda ahli PKR, Bang Dolah ada dalam PKR.

Beliau ada dalam PPBM. Terdapat juga, dalam parti keramat – Umno. Allah jauhkan, Bang Dolah ada dalam Amanah. Kerana jika pesen manusia begini ada juga dalam Amanah; kita boleh talkinkan siasah dan adab Melayu.

Bang Dolah ini seorang yang bacul, pengecut, tapi pandai berucap. Cakap bukan main. Pagi petang ia akan duduk di pangkin bercakap,

“Saya cakap dah, I told you so bla bla bla”. Bang Dolah ini kalau ahli falsafah, mungkin dia semacam watak MaxGuy yang akan ditampilkan dalam novel satira saya “Rusuhan Koro” kelak.


Dalam novel Batas Langit, Bang Dolah si samseng ini lulus Senior Cambridge tapi malas bekerja. Kerjanya, jika ia satu kerja, ialah menggesek biola, main akordion, menyedut rokok dan membomohkan orang.

Selalu Bang Dolah ini mengupah Adi untuk mendapatkan ulat dari bangkai supaya dapat dibuat dukunan menundukkan mana-mana orang politik yang jadi sasaran beliau.

Kerja bomoh-membomoh Bang Dolah ini termasuklah membodohkan seorang perempuan bernama Habsah agar meninggalkan suaminya (yang dikatakan mati pucuk) dan tinggal dengan dia secara haram.

Jadi mereka berzina dan bergelumang dengan dosa, tetapi Bang Dolah dalam masa yang sama akan memberi nasihat agama dan politik yang macam-macam.

Perangai Bang Dolah seolah dia ketua agama di Kampung Pak Buyung. Dialah ahli. Tapi sebetulnya dialah paling haprak.

Watak Bang Dolah ini ada penyokong tentunya. Iaitu Melayu-melayu yang senang diperbodohkan dan terikut-ikut dan percaya cakap Bang Dolah ini.

Antara Melayu yang mengikut Bang Dolah ialah Mak Timah yang percaya sahaja apa yang disuguhkan Bang Dolah. Ini macam watak makcik yang telan apa sahaja ditonyoh dalam grup Whatssap, atau laman media sosial kumpulan kanan Melayu. Bang Dolah carutkan Cina, maka Mak Timah pun ikut carutkan Cina.

Seorang lagi pengikut Bang Dolah ialah suami Mak Timah yang wataknya buruh kasar, kaki judi, merokok kuat, hutang keliling pinggang dengan ceti (dan menyuruh anaknya membayar) serta sering mabuk-mabukan.

Watak Pak Mat ini bapa Adi dan meskipun miskin tidak cukup duit, tetap kaki joli. Semua mereka kalau bab menjuarai hak Melayu, bukan main ke hadapan.

Apabila Adi, watak budak dalam novel Batas Langit ini ke sekolah, dia menghubungkan perangai samseng Bang Dolah dan watak seumpama bapanya bila diberi membaca karya sastera.


Pengarang Batas Langit menuliskan apa yang terakam dalam benak Adi; “Orang Melayu malas, semenjak dahulu lagi, sukanya hanya hiburan, benda-benda seni, orang Melayu hidup, asal ada makan cukup. Ada pakai sudah. Bangsa lain tidak, mereka kerja siang malam cari kekayaan. Bila dia orang perintah negeri kita, kita marah. Tapi kita yang malas, kita tak sedar.”

Perangai tipikal Bang Dolah di atas memang ada dalam kalangan kita. Kalau disuruh bersyarah nombor satu. Bukan main menggelisah bila ada YB atau menteri dari kalangan bangsa Cina mewakili DAP ligat membuat kerja. Mulalah tak senang duduk.
Akan tetapi dia sendiri berkokok dan menyalak tanpa had. Bila rasa terancam, mulailah bermain bomoh. Persis karektor Bang Dolah.

Dalam Batas Langit, Bang Dolah dan kawan-kawannya, menerima upah seringgit dua untuk bikin kecoh di mana-mana perhimpunan atau mesyuarat parti politik tatkala itu.
Gamaknya inilah rupa Dolah yang membikin nanar dan gempar ketika makan malam Syed Sadiq itu. Rupa kaki betina, kaki malas goyang kaki, tapi kaki cakap berdegar-degar fasal agama dan bangsa. Ada kurang lebih 200 Bang Dolah di Muar itu. Mari manakah Bang Dolah ini? Siapakah yang menternak Bang Dolah ini?

Cikgu Latiff, penulis novel Batas Langit ini tidak pernah jemu cuba membetulkan bangsa Melayu. Seperti terlihat dalam novel beliau di atas, dia cuba meluruskan bangsa dengan mengatakan, jangan melenting jika peluang dan hak direbut sedangkan kerja dan pengisian untuk memenuhi peluang dan hak tersebut tidak pernah dilakukan.

Ada sebuah puisi yang dikarang Latiff juga dengan judul “Melayuku, Melayumu” lebih kurang bunyinya;

“Melayuku adalah bulan purnama
Harum cempaka wangi cendana
Melayuku adalah pelamin yang patah
Pusara yang legam
Dan malam yang pasrah.”


Saya mengkhayalkan, jika Cikgu Latiff di Malaysia hari ini; mungkin sahaja bait puisi di atas akan berbunyi “Melayu adalah Bulan Purnama, bunyi derum ngaum Mercedes”. Atau “Melayuku adalah upah yang basah. Poket yang kusam. Dan malam yang terbenam”.

Watak Bang Dolah ada di mana-mana dalam kalangan kita. Jadi, saya kira kalau Dr Mahathir Mohamad mengherdik Melayu malas. Sesekali jangan melenting dulu. Muhasabah dulu.

Kita toleh tengok Bang Dolah di sebelah kita. Barangkali dia mencaci Melayu seperti Bang Dolah ini. Saya jamin Melayu sebegini ada. Saya pernah melihat seorang di Sentul.

Di Muar, minggu lalu 200 orang (atau penjodoh bilangan ekor?) muncul.

Jika kita memberi peluang lebih kepada (contohnya) DAP buat kerja bagus, kita akan melihat main ramai Bang Dolah naik tocang. Seperti dilukiskan dalam Batas Langit.

Yang perlu dijawab kemusykilannya adalah, Bang Dolah Samseng ini siapa ketuanya? Siapa? Siapa yang bayar mereka seringgit dua?

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.