`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Wednesday, February 19, 2020

Peralihan Kuasa: Penyokong Anwar Keliru

DR KAMARUL ZAMAN HAJI YUSOFF – HARAKAHDAILY
KITA perlu berterima kasih kepada pemimpin DAP, Liew Chin Tong, di atas tulisan beliau bertajuk “Pencerahan Tentang Peralihan Kuasa” dalam akhbar Sinar Harian semalam.
Tulisan beliau, pada hemat saya, benar-benar mencerahkan kerana penegasan beliau bahawa “tiada tarikh ditetapkan untuk peralihan kuasa antara Perdana Menteri ketujuh dan kelapan” menguatkan lagi kenyataan serupa yang dibuat oleh Ketua Sekretariat Pakatan Harapan (PH), Dato’ Saifuddin Abdullah, pada 1 Januari 2019 dan kenyataan serupa yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin BERSATU, termasuk jawapan rasmi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Wira Dr Md Farid Md Rafik, kepada soalan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, di Parlimen pada 4 April 2019, yang berbunyi: “Peralihan kuasa kepada Perdana Menteri Kelapan adalah persefahaman yang telah dicapai semasa penubuhan PH tanpa menetapkan secara jelas tempoh pelaksanaannya”.
Pencerahan Liew Chin Tong ini sekali gus menafikan kenyataan pemimpin-pemimpin tertentu di dalam PKR, di dalam DAP mahupun di dalam PAN bahawa peralihan kuasa antara Perdana Menteri ketujuh dan kelapan ini telah ditetapkan untuk berlaku dalam tempoh dua tahun.
Bacaan saya sendiri ke atas ayat yang digunakan dalam “Muafakat PH” yang ditandatangani oleh Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Pengerusi PPBM, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selaku Presiden PKR, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden PPBM, Tuan Tan Kok Wai selaku Pengerusi DAP dan Tuan Haji Mohamad Sabu selaku Presiden PAN pada 6 Januari 2018 berbunyi “proses undang-undang untuk mendapatkan Pengampunan Diraja bagi membebaskan Dato’ Seri Anwar Ibrahim akan dimulakan segera, selepas PH mengambil alih pentadbiran negara, agar Dato’ Seri Anwar Ibrahim dapat segera berperanan dalam Kerajaan Persekutuan dan kemudiannya diangkat sebagai calon Perdana Menteri ke-8” adalah begini:
(1)    Selepas dibebaskan dari penjara, Dato’ Seri Anwar hendaklah segera bertanding dalam pilihan raya kecil untuk dilantik ke dalam Kabinet Kerajaan Persekutuan (ini adalah bagi memenuhi frasa “segera berperanan dalam Kerajaan Persekutuan”).
(2)    Selepas berperanan dalam Kerajaan Persekutuan, Dato’ Seri Anwar hendaklah kemudiannya diangkat sebagai calon Perdana Menteri ke-8 (ini adalah bagi memenuhi frasa “dan kemudiannya diangkat sebagai calon Perdana Menteri ke-8”).
(3)    Tempoh Dato’ Seri Anwar “diangkat sebagai calon Perdana Menteri ke-8” yang tidak dinyatakan boleh mengambil mana-mana tempoh antara tarikh Dato’ Seri Anwar berperanan dalam Kerajaan Persekutuan dan sebelum pembubaran Parlimen.
Oleh itu, pada hemat saya, tidak sepatutnya menjadi satu isu jika peralihan kuasa antara Tun Dr Mahathir dan Dato’ Seri Anwar ini berlaku dalam tempoh tiga tahun atau empat tahun sekalipun asalkan ianya adalah sebelum berlakunya pembubaran Parlimen.
Bendahari PH, Dato’ Husam Musa, malah lebih ekstrim lagi dengan menyebut dalam kenyataan beliau yang disiarkan oleh akhbar Sinar Harian pada 12 Julai 2019 bahawa peralihan kuasa ini boleh sahaja berlaku dalam tempoh “lima tahun atau mungkin satu penggal setengah”.
Apa yang sepatutnya menjadi keutamaan bagi memenuhi hasrat “Muafakat PH” ini ialah untuk memasukkan Dato’ Seri Anwar ke dalam Kabinet Kerajaan Persekutuan selaras dengan kehendak tersuratnya supaya beliau “segera berperanan dalam Kerajaan Persekutuan”.
Malangnya, para penyokong Dato’ Seri Anwar kelihatan sangat celaru minda mereka kerana tidak dapat membezakan yang mana satu fakta dan yang mana satu impian.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.