“RASA berniaga sudah ok sejak tiga tahun lalu, namun kini semuanya berubah apabila hanya ada duit syiling di tangan dan duit simpanan pula sudah habis digunakan.”
Begitu kata peniaga ayam goreng di Manjung, Noorhafizal Zulkifli, 40, yang terjejas teruk selepas seminggu kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Noorhafizal berkata, kehidupannya bersama isteri, Salasiah Zakaria, 35, dan tiga anak berusia dua bulan hingga 13 tahun semakin terhimpit apabila sudah tidak berniaga sejak 10 hari lalu.
“Sekarang memang rasa sukar kerana kami sudah hilang pendapatan harian, risau mengenangkan bekalan makanan semakin susut selain bekalan ubat anak-anak kerana saya sudah tiada duit simpanan.
“Kehidupan kami sebelum ini cukup makan saja, untung berniaga boleh dapat RM40 hingga RM50 sehari dan kadang-kadang ‘kosong’, tetapi boleh simpan sedikit untuk keperluan keluarga,” katanya
Noorhafizal yang menumpang rumah bapa mentuanya di Kampung Pasir Pandak, Lekir, Sitiawan, berkata keadaan itu juga memaksanya mendapatkan bantuan bekalan makanan daripada gerobok asnaf di Manjung.
“Sepanjang tempoh PKP kami hanya makan nasi dengan lauk ikan kering dan telur. Kadang-kadang ada kenalan yang hantar ikan, boleh juga buat bekalan untuk dua hingga tiga hari.
“Kalau dahulu masak tiga kali sehari, sekarang dua kali saja dan sukatan beras serta lauk dikurangkan tetapi untuk anak makanan tidak dicatu, biarlah saya dan isteri saja yang kurang makan.
“Cuma saya bimbang bekalan makanan semakin susut terutama susu dan lampin pakai buang,” katanya yang sedih apabila PKP dilanjutkan sehingga 14 April depan.
Sementara itu, pembuat kuih-muih di Parit yang dikenali sebagai Ayu, 32, berkata dia sudah tidak menerima tempahan sejak PKP mula dilaksanakan bagi mengekang wabak Covid-19.
“Bila tiada tempahan, tiadalah wang diperolehi menyebabkan saya terpaksa berjimat-cermat.
“Ketika ini sudah tiga hari masak nasi goreng saja untuk anak supaya bekalan yang ada dapat bertahan sehingga perintah ini tamat, nasib baik anak faham situasi getir ketika ini.
“Saya harap keadaan semakin baik dan boleh menjalani kehidupan seperti sebelum ini,” katanya.

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.