Meskipun sudah beberapa hari isu surat Hadi Awang yang dihantarnya kepada pemimpin-pemimpin gerakan Islam yang kandungannya memburuk-burukkan PH serta mengandungi fakta tidak benar, malah terdapat juga fitnah terhadap Anwar Ibrahim telah menjadi perbualan ramai, tapi sehingga ini belum ada penjelasan khusus dibuat mengenainya.
Baik oleh Pas, pemimpin kanan parti itu atau Hadi Awang sendiri, semua mereka nampaknya lebih selesa memilih jalan membisu seribu bahasa.
Tuan Ibrahim Tuan Man yang selalunya pantas mengeluarkan kenyataan bila saja ada isu timbul, turut hilang jejak tak dapat dikesan kali ini.
Tidak mahukah Pas, para pemimpin dan pengampu wala’ dalam parti itu tampil mempertahankan Hadi Awang?
Bagaimanapun, dalam hal ini, yang sebenarnya lebih afdal sekali tampil memberi penjelasan ialah Hadi Awang sendiri.
Ini kerana beliau yang menulis surat itu, maka menjadi tanggungjawabnya untuk tampil memberi penjelasan mempertahankan kandungan isi yang ditulisnya.
Beliau bukan saja wajar tampil menjelaskan berkenaan surat tersebut atas kapasitinya sebagai Presiden Pas, tetapi juga sebagai Duta Khas ke Timur Tengah bertaraf menteri yang dilantik Muhyiddin Yassin, baru-baru ini.
Sebagai Duta Khas, apalagi bertaraf menteri dengan gaji dan elaun puluhan ribu sebulan, adalah tidak patut jika Hadi Awang terus berdiam diri atau bersembunyi dalam isu penting seperti ini.
Kalau takut nak bersuara, nanti ada pula yang berkata, “jadi duta khas macam mana kalau takut untuk berkata-kata.”
Yang lebih nakal mungkin akan berkata, “takkan sudah ada banyak gaji pun malas lagi nak bersuara!”
Faktanya, sebagai pemimpin, ditambah lagi dengan jawatan baru sebagai Duta Khas bertaraf menteri, berdiam diri bukanlah sikap yang diingini atau terpuji.
Secara moralnya, beliau mesti tampil mempertahankan isi surat yang ditulisnya itu, termasuk berkenaan beberapa fakta tidak benar, bohong dan fitnah yang dilemparkannya terhadap PH dan Anwar.
Berdasarkan surat itu, ia jelas menunjukkan tujuan Hadi Awang tidak lain ialah untuk menyuapkan semua fakta yang ditulisnya itu ke dalam pemikiran pemimpin-pemimpin gerakan Islam yang diutusnya surat itu, selain untuk menunjukkan Pas dan dirinya tetap berada di jalan yang benar dan tidak bersalah dalam pergolakan politik negara ini sehingga tertubuhnya kerajaan tebuk atap, baru-baru ini.
Begitu pun, dengan tersebarnya surat itu, ia seolah-olah menunjukkan ada pemimpin gerakan Islam yang menerima surat tersebut telah meragui isi kandungannya, lalu mendedahkannya kepada pihak tertentu dengan harapan segala kekeliruan di dalamnya akan mendapat respon di Malaysia.
Dalam hal ini, lagi lama Hadi Awang berdiam diri, lebih dalam tercalar kewibawaannya di mata umum.
Berdiam diri dan tidak berani tampil mempertahankan surat yang ditulisnya itu dengan sendirinya bermakna beliau telah melakukan kesalahan yang sengaja serta mengetahui fakta-fakta yang ditulisnya adalah cerita bohong, fitnah dan tidak benar belaka.
Maka, bukanlah pilihan bagi Hadi Awang untuk terus lebih lama berdiam diri, kecuali jika beliau berjiwa lebih besar dengan sedia memohon maaf atas kesalahan fitnah dan mereka-reka cerita bohongnya itu dengan segera.
Memohon maaf, kalau pun masih tak berani muncul bersemuka, menulis melalui Twitter pun boleh juga.
(ShahbudinHusin 05/04/2020)
(ShahbudinHusin 05/04/2020)
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.