`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, April 30, 2020

Pihak berkuasa digesa bertindak terhadap individu ‘buli’ pelarian Rohingya

Tangkap layar video FB memaparkan pemotong rumput Rohingya dipaksa menjawab pertanyaan seorang lelaki tempatan.
PETALING JAYA: Sebuah pertubuhan Islam menggesa polis dan pihak berkuasa agama mengambil tindakan terhadap individu yang mengugut dan menekan etnik Rohingya sehingga mengancam keselamatan mereka.
Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) berkata, sentimen membenci pelarian Rohingya ini sudah merebak sehingga orang awam sudah berani mengambil tindakan sendiri untuk mempersoalkan pendirian agama mereka.
“Sesungguhnya, ini bukan caranya untuk mendidik pendatang. Malah ini memberi gambaran masyarakat tempatan sudah tidak lagi mengamalkan kesopanan dan kebijaksanaan dalam urusan agama dengan orang luar,” kata Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid, dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, tular sebuah rakaman video mengenai seorang lelaki Rohingya diganggu lelaki tempatan yang berulang kali menuntut dia membuktikan dirinya seorang Islam.
Satu video yang dimuat naik pengguna Facebook, Mohd Zakki juga memaparkan lelaki Rohingya terbabit, seorang pemotong rumput menuju ke tempat kerja, dimarahi lelaki tempatan itu kerana melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP).
Dalam video 4 minit yang dimuat naik di Facebook, lelaki Rohingya itu ditengking kerana tidak faham permintaan untuk mengucap syahadah bagi membuktikan keislamannya.
Azmi berkata, beberapa insiden yang dirakam kemudian menjadi tular bagi menunjukkan etnik Rohingya ini jahil mengenai isu agama adalah sangat tidak wajar, memandangkan ramai anak muda dalam kalangan masyarakat tempatan juga tidak tahu mengenai asas agama Islam.
“Ketakutan dirasai orang Rohingya akibat ditanya dengan cara kasar oleh rakyat tempatan kini sudah merebak dan melampau. Dari video ditular, jelas etnik Rohingya ditakut-takutkan dengan soalan agama, padahal mereka tidak sepenuhnya memahami bahasa Melayu dengan fasih.
“Soalnya, siapakah yang memberi kuasa kepada orang ramai untuk mengambil tindakan menyoal orang Rohingya tentang hal agama mereka dan berani menggertak dan seterusnya menilai keIslaman mereka.
“Sepatutnya golongan ahli agama dalam kalangan mereka dihubungi untuk mendapatkan maklumat mengenai tahap pengetahuan agama. Bahkan, ini seharusnya diserah kepada jabatan agama, bukan seperti yang ditular dalam rakaman video tersebut,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.