PETALING JAYA: Kebiasaannya apabila tiba bulan Ramadan, Masjid Kampung Baru menjadi tumpuan umat Islam di sekitar Lembah Klang untuk mendapatkan bubur lambuk secara percuma.
Selepas solat Asar, suasana akan menjadi meriah dengan orang beratur panjang untuk mendapatkan bubur lambuk yang menjadi salah satu juadah pilihan dan kegemaran mereka ketika Ramadan.
Namun, tahun ini suasana itu tidak akan dirasai selepas setiap tahun amalan itu menjadi tradisi di Masjid Kampung Baru.
Menurut ketua tukang masak bubur lambuk di Masjid Kampung Baru, Zainal Abidin Abdul Hamid, pihak pengurusan masjid membuat keputusan untuk tidak mengadakan aktiviti mengedar bubur lambuk susulan penularan wabak Covid-19 yang melanda negara ketika ini.
Zainal berkata ini pertama kali bubur lambuk tidak dapat diedarkan kepada orang ramai sejak 37 tahun beliau menjadi tukang masak bubur lambuk di masjid itu.
“Susah tentu rasa janggal, sedih dan kasihan sebab orang ramai tidak dapat bubur lambuk,” katanya kepada FMT.
Zainal, 65, yang merupakan generasi ke-4 menjadi ketua tukang masak di Masjid Kampung Baru akui ramai yang bertanya mengenai bubur lambuk pada tahun ini.
Bagaimanapun, beliau dengan berat hati memberitahu tidak dapat diedarkan tahun ini berikutan mematuhi arahan kerajaan yang tidak mahu orang ramai berkumpul.
“Ramai yang menelefon saya bertanyakan mengenai bubur lambuk percuma di Kampung Baru.
“Namun saya memberitahu tahu, tahun ini tak ada dan ramai kecewa kerana ada yang jadikan juadah ini sebagai makanan pilihan ketika berbuka puasa,” katanya.
Zainal juga berkata biasanya akan ada pihak yang mahu menaja bubur lambuk dengan menghulur sumbangan, namun terpaksa ditolak ekoran bagi menghormati perintah kerajaan.
Katanya, bahan-bahan yang digunakan untuk membuat bubur lambuk biasanya sudah dihantar oleh penaja seminggu sebelum menjelangnya Ramadan dan perkara itu akan terus berlarutan sehingga akhir Ramadan.
Zainal juga berkata kebiasaannya dalam sehari beliau akan menyediakan sekurang-kurangnya 15 hingga 20 periuk besar bubur lambuk dengan dibantu 8 orang pembantu.
“Satu dulang boleh dapat sediakan 220 bungkus dan jika 20 dulang ada dalam 4,000 lebih bungkusan bubur lambuk boleh diagihkan.
“Biasanya mereka akan beratur dan datang cepat untuk mendapatkannya. Manakala ada juga yang tidak dapat jika mereka datang lambat akibat kesesakan lalu lintas dan sebagainya,” katanya.
Zainal juga menasihatkan orang ramai redha dan sabar buat masa ini.
“InsyaAllah tahun depan kita boleh edarkan bubur lambuk Majis Kampung Baru,” katanya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.