BUKIT MERTAJAM: Seorang lelaki warga Myanmar maut selepas terjatuh dari tingkat 5 rumah flat didiaminya ketika bergaduh dengan rakan senegaranya dalam kejadian di Taman Pelangi, petang semalam, kata Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Mohd Mustafa Bidin.
Beliau berkata lelaki berusia 30 tahun itu didapati meninggal dunia ketika polis tiba di lokasi kejadian pada 4 petang dan pemeriksaan awal menemukan beberapa kesan kecederaan lain termasuk kesan tikaman di beberapa bahagian badan mangsa.
Rakan serumah mangsa yang juga warga Myanmar didapati cedera dan dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan sebelum ditahan untuk siasatan dan polis turut menemukan sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam pergaduhan itu, katanya, hari ini.
Katanya, siasatan awal mendapati 2 lelaki itu bekerja sebagai operator di kilang yang sama di Perai dan semasa kejadian hanya tinggal mereka berdua di rumah itu yang dijadikan asrama pekerja manakala 4 lagi rakan serumah keluar bekerja.
“Menurut jiran mereka iaitu seorang wanita warga Indonesia yang juga pekerja kilang, 2 lelaki itu bergaduh bermula pukul 1 tengah hari kerana dia terdengar bunyi bising dari rumah mereka namun dia tidak tahu apa yang terjadi kerana tidak faham bahasa Myanmar,” katanya.
Mustafa berkata polis tidak menolak kemungkinan mereka dalam keadaan mabuk ketika kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.