SIMPANG RENGGAM: Ketua Kampung Dato Ibrahim Majid di Kluang, Johor, Sarlan Yasmin mengakui kebanyakan penduduknya yang bekerja sendiri seperti petani berdepan masalah ketika menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Beliau berkata walaupun penduduk sudah lali dengan PKPD yang memasuki hari ke-10 hari ini, namun golongan pekerja yang mendapat upah harian terkesan kerana tiada pendapatan.
“Memang ada masalah. Kebanyakan pekerja di Bandar Baharu Dato Ibrahim Majid adalah pesara, manakala kalau di kampung kita petani atau kerja sendiri.
“Mereka tak bergaji bulan dan hadapi masalah dengan tak ada gaji masuk dan makan minum kurang sangat,” katanya kepada FMT.
Kampung Dato Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato Ibrahim Majid kini berdepan sekatan menyeluruh di bawah PKPD yang bermula 26 Mac lalu dan dijadualkan berakhir pada 9 April depan.
Kira-kira 3,500 penduduk daripada 650 keluarga di Kampung Dato Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato Ibrahim Majid, kedua-duanya di Simpang Renggam, Kluang, kini berdepan sekatan menyeluruh selama 2 minggu.
Mereka tidak dibenarkan keluar rumah masing-masing, walaupun untuk membeli keperluan asas, tidak seperti yang rakyat Malaysia yang lain.
Sarlan berkata pada mulanya penduduk kampung itu kekok berdepan PKPD, bagaimanapun, masuk hari ke-7 hingga ke-9 mereka sudah biasa dan memahami situasi yang berlaku di kampung itu.
“Hari pertama sampai ke-6 kekok sebab tak pernah alami macam ini dengan jalani kehidupan dalam rumah, makanan dihantar, tak boleh keluar rumah dan tak boleh jumpa kawan-kawan agak sukar.
“Tetapi masuk hari ke-7 sampai sekarang sudah biasa. Jadi tak ada masalah dan akur dengan pihak berkuasa,” katanya.
Layanan baik
Sarlan berkata layanan diterima penduduk sangat memuaskan oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan boleh dikatakan makanan diterima agak “mewah”.
Beliau berkata walaupun tidak boleh keluar, penduduk menerima makanan setiap hari dari JKM.
“JKM hantar bekalan makanan seperti beras, tepung dan gula 2 hari sekali. Makanan lauk seperti sayur, ayam, sardin dan telur, hari-hari bagi,” katanya.
Beliau juga mengakui penduduk di kampungnya bimbang dan takut dengan penyebaran Covid-19 di kawasan itu.
Bagaimanapun, katanya, penduduk sentiasa mengikut saranan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia dan pihak berkuasa.
“Bimbang dan ada rasa takut. Sebab ada buat saringan di satu tempat zon merah.
“Ada penduduk kampung takut buat saringan nak ke kawasan itu. Namun bila doktor tempat kita terangkan kepada penduduk mereka faham dan tidak ada masalah,” katanya.
Seorang penduduk, Aini Buang, 30, mengakui PKPD menjejaskan pendapatan suaminya yang bekerja makan gaji harian.
Katanya, apabila kawasannya terkena PKPD, suaminya tidak dapat bekerja dan tidak ada pendapatan.
“Namun saya bersyukur sebab JKM hantar bekalan makanan dan dapat meringankan beban kami sekeluarga.
“Beliau berkata setakat ini makanan masih cukup dan mengikut arahan PKPD,” katanya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.