Kebelakangan ini, kes pemandu mabuk dilihat semakin menjadi-jadi dan mencetuskan pelbagai reaksi daripada banyak pihak terutama rakyat, menggesa pihak berwajib menguatkuasakan undang-undang yang lebih ketat dan hukuman yang lebih tegas dalam usaha membanteras insiden yang boleh membawa maut ini.
Undang-undang dilihat tidak mengenakan hukuman yang cukup berat – seterusnya menjelaskan mengapa semakin ramai orang cenderung untuk memandang ringan masalah ini dan bahkan menjadi cukup berani untuk melanggar undang-undang.
Tetapi, adakah peraturan yang lebih ketat benar-benar berfungsi untuk menghalang orang awam daripada memandu dalam keadaan mabuk?
Satu penyelidikan di Amerika Syarikat menunjukkan undang-undang dan hukuman yang lebih ketat membantu dalam menangani masalah ini. Namun, kaedah ini dilihat kurang berkesan untuk mengurangkan jumlah kes kemalangan pemandu mabuk kerana ia hanya mempengaruhi beberapa kumpulan masyarakat.
Daripada hanya memberi fokus kepada menggubal undang-undang dan hukuman yang lebih ketat, cara undang-undang dan hukuman itu dikuatkuasakan juga sangat penting bagi mengurangkan kes kemalangan berkaitan alkohol.
Menurut pakar, terdapat 2 faktor yang lebih efektif untuk menghalang tingkah laku pemandu daripada memandu dalam keadaan mabuk:
• Memastikan pemandu mabuk itu akan ditangkap dan dihukum; dan
• Kepantasan antara waktu mereka melakukan jenayah dan masa hukuman.
• Kepantasan antara waktu mereka melakukan jenayah dan masa hukuman.
Pakar percaya dengan menerapkan polisi yang lebih cekap dalam memberkas pemandu mabuk dan menjatuhkan hukuman terhadap mereka adalah penting, bagi memastikan undang-undang tersebut diketahui dan orang akan mematuhinya.
Menurut Prof Madya Noor Azlan Mohd Noor, seorang ahli sosiologi dan antropologi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), tindakan dan penguatkuasaan terhadap pemandu mabuk harus segera dilaksanakan.
Beliau menyatakan tindakan tegas boleh diambil terhadap mereka yang tidak mematuhi undang-undang pada ketika ini sementara menunggu pihak berkuasa melakukan sebarang perubahan terhadap undang-undang atau hukuman berkaitan kes ini.
Baru-baru ini, polis mendedahkan statistik terbaru kes pemandu mabuk. Untuk 5 bulan pertama tahun ini, terdapat 21 kes pemandu mabuk dengan 8 kematian.
Berbanding tahun lalu, jumlah kes pemandu mabuk 23 kes – ini merupakan statistik yang membimbangkan, kerana kita masih berada dalam pertengahan 2020, namun jumlah kes pemandu mabuk untuk tahun ini hampir sama dengan tahun lepas.
Mengapakah memandu dalam keadaan mabuk menjadi satu kesalahan?
Pakar kesihatan menggariskan pengambilan minuman beralkohol walaupun dalam kuantiti yang sedikit boleh menyebabkan 13 kali lebih ganda risiko kemalangan berbanding mereka yang tidak berada bawah pengaruh alkohol.
Secara amnya, kandungan alkohol dalam aliran darah mempengaruhi kemampuan seseorang untuk melakukan pemanduan dengan berhemah kerana ia melambatkan koordinasi badan, mengurangkan konsentrasi minda, serta menjejaskan penglihatan si pemandu.
Hal ini sedikit sebanyak mempengaruhi kebolehan pemandu untuk membuat keputusan penting berkaitan aktiviti pemanduan.
Walaupun sebilangan pemandu mungkin tidak menunjukkan tanda-tanda seperti sedang berada bawah pengaruh alkohol, ini tidak bermakna mereka tidak berbahaya.
Malah, risikonya tetap sama.
Bawah undang-undang sedia ada, jika anda didapati memandu bawah pengaruh alkohol atau dadah, anda mungkin dikenakan tindakan bawah Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan.
Bawah akta ini, anda boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih dari 12 bulan atau denda tidak lebih dari RM6,000.
Sementara itu, bagi mereka yang dituduh memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian, pesalah boleh dikenakan denda maksimum RM20,000 dan penjara 10 tahun, bawah Seksyen 44 akta yang sama.
Kaedah lain
Pertama, pihak berkuasa tempatan harus melaksanakan dasar kawalan alkohol yang lebih ketat. Waktu penjualan alkohol di kedai, bar, dan restoran harus dikurangkan.
Sebagai contoh, sebarang penjualan minuman beralkohol sebelum 5 petang dan selepas 11 malam harus dilarang, sebagai kaedah untuk mengurangkan pengambilan alkohol secara berlebihan.
Setiap restoran dan bar juga perlu memastikan setiap pelanggan yang membeli dan mengambil minuman beralkohol tidak boleh dibenarkan memandu.
Malah, mereka wajib menempah pemandu khas atau perkhidmatan e-panggilan bagi menghantar mereka pulang.
Jika anda mempunyai rancangan sosial yang melibatkan pengambilan alkohol, anda disaran untuk menempah awal seorang pemandu khas bagi kumpulan sosial anda.
Ingat, setiap pemandu haruslah bertanggungjawab untuk tidak memandu setelah mengambil minuman berakohol. Ini penting bagi memastikan sebarang perkara yang tidak diingini daripada berlaku.
Jangan degil dan mementingkan diri sendiri – memandu dalam keadaan mabuk harus dipandang serius dan perlu dielakkan!
Tidak kira kenderaan apa pun yang anda pandu – memandu dalam keadaan mabuk jenayah yang serius. Bukan sahaja ia berisiko untuk membahayakan nyawa anda sebagai pemandu, tetapi juga nyawa orang lain.
Nurafifah Mohammad Suhaimi adalah pembantu penyelidik di EMIR Research. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.