`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, June 29, 2020

Putrajaya galak rakyat kerja di ladang tawar gaji hingga RM3,000

Khairuddin Aman Razali berkata, pengait buah sawit di ladang besar mampu meraih RM2,500 hingga RM3,000 sebulan dengan kemudahan kediaman turut disediakan.
PETALING JAYA: Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Khairuddin Aman Razali menggalakkan rakyat bekerja dalam sektor perladangan, termasuk kelapa sawit yang menawarkan pendapatan antara RM2,500 hingga RM3,000 sebulan dan manfaat lain.
Beliau berkata, keutamaan kerajaan ketika ini ialah menarik minat orang tempatan bekerja di sektor perladangan kerana negara kekurangan 30,000 tenaga kerja dalam pelbagai pekerjaan di ladang.
Katanya, ia juga selaras usaha negara mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing selepas penularan Covid-19 yang menyaksikan ramai rakyat hilang pekerjaan.
“Dalam situasi Covid-19 yang menyebabkan ramai pekerja terpaksa diberhentikan dan banyak operasi syarikat ditutup, sektor perladangan komoditi membuka pintu seluas-luasnya kepada rakyat tempatan.
“Kerja sebagai pengait buah sawit di ladang besar memberi peluang pendapatan antara RM2,500 hingga RM3,000 sebulan dengan disediakan kemudahan kediaman keluarga yang baik,” katanya kepada FMT.
Khairuddin berkata, kementeriannya akan mengutamakan pekerja tempatan berbanding warga asing dalam usaha menangani isu buruh paksa yang dijadikan bahan kempen antarabangsa bagi memburukkan sektor sawit negara.
“Isu kontrak melibatkan warga asing antara isu yang dikaitkan dengan terma ‘buruh paksa’ oleh mereka. Justeru, polisi meramaikan pekerja tempatan berbanding pekerja asing adalah polisi terbaik bagi melindungi kepentingan sawit Malaysia.”
Katanya, kerajaan sudah menubuhkan jawatankuasa khas Kabinet untuk membincangkan isu pekerja asing.
“Setakat ini, kita kekal pada dasar baru yang telah diumumkan ke arah mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing di ladang dan meningkatkan penggunaan tenaga kerja tempatan.”
Beliau mengulas gesaan Persatuan Pemilik Ladang Malaysia untuk kerajaan membenarkan pekerja asing kembali kerana industri kelapa sawit akan berdepan kerosakan teruk jika tidak dikecualikan daripada pembekuan pengambilan pekerja.
Kumpulan itu berkata, kerajaan perlu mempertimbangkan kelangsungan hidup dan kelestarian sektor itu dengan membenarkan pemilik ladang yang tidak dapat merekrut orang tempatan supaya mengambil pekerja asing kerana sektor itu berdepan masalah kekurangan buruh kronik yang semakin teruk.
Ia bergantung kepada pekerja asing untuk 70% tenaga kerja ladang dan hampir semua kerja lapangannya, khasnya pekerja dari Indonesia dan Bangladesh.
Ribuan pekerja meninggalkan sektor itu untuk pulang ke kampung ketika sempadan ditutup akibat penularan Covid-19, menyebabkan tekanan dihadapi industri itu bertambah kerana 2 hingga 3% pekerja asing pulang setiap tahun.
Sebelum ini, Menteri Sumber Manusia, M Saravanan dilaporkan berkata, pengambilan pekerja asing baru untuk semua sektor tidak dibenarkan sehingga hujung tahun ini bagi membolehkan warga tempatan mengisi kekosongan itu. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.