`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Tuesday, June 23, 2020

Peniaga Chini gembira rezeki melimpah kerana PRK

Calon BN, Sharim Zain mencuba mi goreng ketika berkempen di Bandar Dara Felda Chini kelmarin. (Gambar Bernama)
PEKAN: Rezeki pilihan raya. Itu kesimpulan para peniaga makanan dan buah-buahan di sekitar kawasan DUN Chini apabila jualan masing-masing meningkat sekali ganda sempena pilihan raya kecil (PRK).
Bagi mereka, ia bagaikan “durian runtuh” dan disambut rasa gembira kerana menambah pendapatan mereka, apatah lagi selepas pendapatan terjejas sejak 3 bulan lalu berikutan perintah kawalan pergerakan (PKP), yang terpaksa dilaksanakan kerajaan bagi membendung penularan wabak Covid-19.
Rizal Mohamed, 41, penebar roti canai dan pemilik gerai makan pagi di Felda Chini 5 berkata, secara purata pada hari biasa dia menjual sekitar 100 keping roti canai namun disebabkan PRK, secara tiba-tiba permintaan melonjak sekitar 300 keping sehari.
“Memang dalam 2-3 hari ini tak menang tangan menebar roti. Ada limpahan kebaikan daripada pilihan raya ini…kebanyakannya pengunjung luar yang mungkin berkempen di Chini. Alhamdulillah, rezeki pilihan raya,” katanya kepada Bernama.
Rizal yang turut berniaga masakan panas pada sebelah malam berkata, tempoh berkempen 14 hari calon PRK yang bertanding di Chini akan digunakan sebaik mungkin untuk mencari rezeki tambahan.
“Peluang ini jarang berlaku dan insya-Allah kedai saya akan berniaga sampai habis pilihan raya,” katanya.
Peniaga buah-buahan Norzita Said, 52, menyifatkan kemeriahan PRK, meskipun dalam tempoh PKP Pemulihan (PKPP), memberi kesan positif buat dirinya apabila buah-buahan seperti durian, mangga, dan pisang laku.
Jika kebiasaan stok buah-buahan mengambil masa hampir seminggu untuk habis dijual, kehadiran ramai petugas bagai memberi rahmat.
“Makcik sangat seronok berniaga semasa pilihan raya ini, sebabnya buah-buah baru dibeli dengan peraih tak sempat nak diperam dalam stor pun habis dibeli orang,” katanya, yang berniaga berhadapan tapak Pasar Tani Kekal di Bandar Dara Chini.
Sementara itu, peniaga laksa dan mee kari di Felda Chini 2, Sahilawati Hassan, 39, berkata, kedatangan pelanggan pada musim PRK bertambah sekali ganda.
“Bagi saya, rezeki datang dengan berbagai cara. Jadi ini rezeki pilihan raya. Dalam 2-3 hari ini, lebih 100 mangkuk mee kari dan laksa dijual sehari, berbanding tak sampai 50 mangkuk pada hari biasa,” katanya.
PRK DUN Chini, dengan pengundian pada 4 Julai ini, menyaksikan pertandingan 3 penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim Md Zain, 41, dan 2 calon Bebas, Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49.
DUN Chini mempunyai 20,990 pengundi. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.