`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, December 3, 2020

YB pembangkang FB & Twitter

 

Minggu ini kita melihat Yang Berhormat Facebook dan Twitter dalam kalangan pembangkang menggelupur dan bertungkus-lumus membetulkan tanggapan dan imej buruk yang mereka lakukan sendiri minggu lalu. Kita difahamkan Yang Berhormat FB dan Twitter ini gagal berdiri untuk undi belah bahagi minggu lepas kerana mengikut titah perintah Dewata Bakar Sampah. Ekoran dari itu, Belanjawan 2021 yang menggelembung gemuk jumlahnya dan pelik serba-serbi (YB FB dan Twitter sendiri saban minit sepanjang dua minggu lalu menghenyak dan melutu belanjawan tersebut) pun diluluskan.

Hanya 13 orang sahaja pembangkang yang berdiri untuk undi belah bahagi. Empat daripadanya Ahli Parlimen parti yang belum didaftarkan, Pejuang.

YB Facebook dan Twitter ini menjelaskan konon pada minggu inilah buntut mereka akan ringan dan mereka akan melakukan senam berdiri sepanjang perbahasan peruntukan Belanjawan 2021 tersebut di peringkat jawatankuasa. Senam berdiri itu khabarnya akan sebanyak 27 kali berbanding satu kali sahaja pada 26 November lalu. Minggu lalu buntut mereka ada batu.

YB Facebook dan Twitter ini pun apa lagi lah mengacah penyokong mereka dengan menciap atau menaikkan status di Facebook perihal garangnya mereka membantah Belanjawan 2021 dengan berdiri beramai-ramai dalam undi belah bahagi. Konon strateginya adalah undi belah bahagi untuk belanjawan 27 kementerian selepas perbahasan pada peringkat jawatankuasa.

Lihat sahaja Nga Kor Ming dengan penuh bengis menciapkan pada 30 Nov 4.34 petang, “Setelah JPM, Pakatan Harapan minta belah bahagi kali ke-2 utk belanjawan Kementerian Kewangan. Kami membantah segala perbelanjaan yg tidak telus. Setelah undi dikira, yang sokong hanya 107, masih kurang dari 112 majoriti yang dikehendaki. Membujur lalu, melintang patah, lawan tetap lawan!”. Sungguh gerun singa DAP ini mengaum.

Atau pada tarikh yang sama 3.07 petang Sim Tze Tzin menyatakan, “Prime Minister has mere 105 MPs to support his JPM budget. Kesian”. Manakala, Hannah Yeoh yang bukan main garang selama ini pada 2.35 petang cuba mengalihkan perhatian dengan naratif cara lain; “PMO’s budget failed to get 112 votes from Perikatan Nasional MPs”.

Pekik lolong mereka di Twitter ini memang melucukan, sedang mereka boleh melakukannya pada minggu lalu dengan lebih berkesan, mereka bagaimanapun memilih untuk mendengar titah Dewata Susun Buku di Rak iaitu kesayangan di hati kecintaan di jiwa asmara di kalbu rindu di mata dabdibdub di dada intan payung bucuk bucuk.

Pun taktik mereka mengalih kegagalan lalu itu ketahuan. Pengundi tanpa parti adalah pengundi yang bijak, ada otak, memerhati, dan tahu menilai. Kami bukan dilahirkan semalam.

Halo Yang Berhormat Facebook dan Twitter, jangan ambil mudah pengundi tanpa parti ini; kami benci bosku kleptokrat; kami juga benci bosku Dewata Zikir Formidable Convincing. Kami lihat kamu, kami lihat kamu gagal dengan teruk sekali.
Halo Yang Berhormat Facebook dan Twitter, jika kalian terlupa bos kalian ialah kami; rakyat. Halo Yang Berhomat Facebook dan Twitter, jika kalian terlupa kalian adalah Wakil Rakyat – bukan Wakil Dewata Lap Pagar Rumah – bukan pula Wakil di Facebook dan Twitter.

Taubat kalian buat masa ini sukar diterima. Taubat Adam membawanya ke dunia dan terbuang di syurga, kita anak cucunya malah menangisi dan mewarisi kesalahan datuk nenek tersebut. Apakah yang kalian lakukan?

Justeru, permohonan maaf di Facebook tidak memadai. Malah ada yang belum memohon maaf, Yang Berhormat ini tidak fikir mereka melakukan apa-apa kesalahan.

Untuk mereka yang menyesal, kalian boleh bertaubat dengan satu cara yang betul, menukar ketua pembangkang (bayangan bakal perdana menteri) iaitu kesayangan di hati kecintaan di jiwa asmara di kalbu rindu di mata dabdibdub di dada intan payung bucuk bucuk kalian itu.

Dewata kalian ini telah beberapa kali melakukan pertimbangan yang memalukan diri. Dewata kalian ini telah beberapa kali melakukan keputusan yang memakan diri. Dewata kalian ini telah beberapa kali membuat langkah tanpa merundingi. Dewata kalian ini telah banyak kali membuat onar dan menyusahkan kalian sehingga lidah bergulung untuk menjawab, dan buntut berat untuk bangun berdiri. Dewata kalian malah nyaris-nyaris membawa kalian bersekongkol dengan kleptokrat. Tetapi kalian, Yang Berhormat Facebook dan Twitter demikian tidak tahu malu. Kalian tetap melangak dan melahap Dewata Gagal itu.

Kalian tahu bahawa tanpa Dewata kalian tidak tersandung ranting dan dahan bahana. Kalian tahu tanpa Dewata kalian lebih bebas menentukan nasib sendiri tanpa rasa terkilan dan kecil hati. Kalian tahu tanpa Dewata kalian lebih senang bergerak dan mara ke hadapan. Kalian tahu tanpa Dewata kalian akan lebih bersatu dan tidak kucar-kacir seperti minggu lalu dan minggu-minggu sebelumnya.

Kalian tahu, amat tahu dan lebih tahu waktu Dewata tiada mengganggu, kalian mudah berurusan dan bekerja sesama kalian. Kalian tahu serba itu, tetapi kalian memilih jalan untuk disumpah. Tetap kalian tergoda dengan buah khuldi yang membawa kalian terhumban ke dunia ini dan dimaki hamun anak cucu sendiri. Kalian tahu, tetapi itulah – Dewata itu adalah kesayangan di hati kecintaan di jiwa asmara di kalbu rindu di mata dabdibdub di dada intan payung bucuk bucuk.

Ketua Pembangkang wajar diganti kerana demokrasi adalah mengenai rakyat. Sebaik satu blok politik mengkhianati rakyat, atau gagal menjadi Wakil Rakyat dan sebaliknya menjadi Wakil Dewata, maka blok atau kumpulan ini sudah terpesong dari hasrat besar demokrasi. Jangan lupa, Malaysia negara demokrasi.

Apakah makna demokrasi? Ia adalah negara yang rakyat memandu sistem politik sebagai kenderaan dalam kehidupan harian warga. Malaysia bukan negara dengan sistem teokrasi yang mana agamawan dibiarkan memandu sistem politiknya. Malaysia juga bukan negara monarki seperti Arab Saudi yang mana satu sosok atau satu keluarga diraja sahaja menentukan kehidupan harian warga. Wakil Rakyat adalah pilihan kami rakyat untuk bersuara, untuk bangun dan berdiri; bukan untuk duduk menggumam dan ditewaskan dalam setiap pusingan.

Malaysia, seperti yang diketahui oleh Yang Berhormat Facebook dan Twitter sekalian adalah negara demokrasi berparlimen. Dalam hal ini rakyat tetap rakyat yang memandu sistem politik sebagai kenderaan dalam kehidupan harian warga. Memang ada raja sebagai tonggak. Dalam demokrasi berparlimen, rakyat memberikan kuasa, Raja mengagih kehormatan. Sekumpulan politikus bekerja untuk melindungi sistem ini supaya berfungsi dengan lancar.

Pekerjaan politikus itu dilakukan di Dewan Undangan atau Dewan Rakyat yang dirujuk sebagai dewan yang mulia. Ini kerana kuasa itu diberikan oleh rakyat. Halo, rakyat. Bukan sosok lain. Bukan mana-mana Dewata, Sang Hyang atau Wali Supreman. Pekerjaan politikus atau wakil Rakyat itu adalah di Parlimen. Bukan di Facebook apatah lagi di Twitter. Media sosial hanya tempat kamu mengiklankan sedikit sebanyak kerja kamu, bukan kerja tetap kamu di situ.

Jadi, demokrasi bukan berebut kuasa demikerusi. Demokrasi bukan memanipulasi kuasa untuk – sekadar – menunjukkan seorang Perdana Menteri. Demokrasi bukan mengenai seorang Dewata Kasi. Kalian tahu, tetapi itulah – Dewata itu adalah kesayangan di hati kecintaan di jiwa asmara di kalbu rindu di mata dabdibdub di dada intan payung bucuk bucuk.

Berhenti memperolokkan kami rakyat yang meletakkan kamu sebagai wakil kami. Berhenti menagih dan menjilat Dewata. Demokrasi bukan mengenai Dewata Bakar Sampah. Demokrasi bukan mengenai satu tampang manusia. Demokrasi adalah bersuara untuk kami, rakyat.

Reformasi bukan milik atau mengenai satu orang iaitu Dewata kesayangan di hati kecintaan di jiwa asmara di kalbu rindu di mata dabdibdub di dada intan payung bucuk bucuk.- FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.