`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, January 21, 2021

Kanggaru ketawakan perpaduan Melayu

 

Saya disoal oleh ramai, apakah waras dan munasabah gagasan perpaduan Melayu yang disebut-sebut Annuar Musa, khusus melibatkan Umno, PAS, dan PPBM? Pertanyaan seumpama ini sering membuat saya ketawa. Ia amat menggelikan hati. Ada hari, laungan perpaduan Melayu ini membuatkan kita tersenyum, pada hari yang lain pula ia amat menggeletek sehingga kita ketawa geleman seakan pinggang dan pinggul dicucuk. Sesetengah hari lain ia menjadi terlalu lucu dan komedi santak kita berdekah. Pada hari yang lebih basah dan seruan perpaduan Melayu itu diteriak-teriakkan oleh lebai PAS, kita akan gelak terpingkal-pingkal mengakibatkan bahu berhenjut-henjut. Ada hari juga kita lebih rasa menyampah, di mana ulangan perpaduan Melayu ini sekadar membuat kita berseranah menyumpah atau tercebik.

Kenapa saya mengatakan perpaduan Melayu ini layak ditertawakan? Atau kadang disorakkan?

Untuk mereka yang tidak mengenal sejarah, perpaduan Melayu yang demikian muluk ini bolehlah diuar-uarkan. Untuk mereka yang belajar, berpendidikan, atau cukup sekadar banyak membaca dan memerhati, akan terlihat gagasan ini memang hanya layak untuk dilongkangkan.

Kita tidak perlu pergi jauh untuk mengketawakan perpaduan Melayu. Kita boleh ke negeri presiden PAS untuk menjejaki semula sejarah perpaduan Melayu. Hal ini bukanlah tidak diketahui oleh Annuar Musa.

Untuk orang Kampung Gong Pasir, Besut iaitu kira-kira tujuh batu dari Kampung Raja; satu ketika lalu berlaku peristiwa sembahyang dua imam. Insiden ini memang segar dalam ingatan mereka yang hidup dalam tahun-tahun 1970a-n, membawa ke era 1980-an.

Abdul Razak Ayub, bekas wartawan Berita Harian yang menulis buku Perpecahan Bangsa Melayu (1985) merakam hal ini dengan tepat sekali:

“Imam yang dipecat itu, Haji Hussain Ahmad telah menjadi imam di kampung itu selama 18 tahun. Haji Hussain telah diberikan tauliah imam oleh Sultan Terengganu pada 24hb Februari, 1976 tetapi pada 24hb Jun, 1981, JHEAT telah menarik balik tauliah imam menerusi surat rasmi kepada Haji Hussain. Surat pemecatan itu cuma ditandatangani oleh Dato’ Bentara Dalam, Pesuruhjaya JHEAT. Apa yang aneh di sini ialah kuasa melantik imam di negeri Terengganu adalah di dalam tangan Sultan, tetapi pemecatan dalam kes ini tidak dilakukan oleh Sultan sendiri. Di bawah Enakmen Pentadbiran Hukum Shara’ Negeri Terengganu (1955), Seksyen 88, memperuntukkan kuasa melantik imam kepada Sultan negeri itu. Bagaimanapun, kuasa memecat imam tidak begitu jelas diperuntukkan di bawah Seksyen 90, enakmen yang sama. Tetapi, oleh kerana enakmen itu memberi kuasa kepada Sultan untuk melantik imam, maka bolehlah dianggap bahawa kuasa memecat juga terletak di tangan Sultan. Tindakan JHEAT memecat imam PAS itu menimbulkan salah faham dan tanggapan bahawa penarikan balik tauliah itu adalah disebabkan oleh pendirian politik Haji Hussain. Tanggapan ini bertambah kuat memandangkan surat pemecatan itu tidak menyebut sebab musabab kenapa tauliah Haji Hussain ditarik. Hampir setahun kemudian, tiga orang imam telah dilantik sebagai imam percubaan menggantikan Haji Hussain. Mereka ialah Encik Wan Ahmad bin Ibrahim, Tuan Haji Awang Yusof, Encik Awang bin Islam; semua mereka adalah penyokong UMNO.”

Peristiwa di atas menyebabkan pemula kepada perpecahan yang luar biasa di mana 22 buah kelab PAS di Terengganu dijadikan tempat bersembahyang Jumaat dan berjemaah. Ia diburukkan lagi apabila fatwa Tok Guru Haji Mustafa Haji Abu Bakar yang dikatakan menganggap orang Umno adalah kafir dan tidak sah berimam mereka. Drama ini menjadi lebih dahsyat apabila terjadi pula pengkebumian dan tanah perkuburan berlainan antara Melayu dua parti ini. Kahi Besut, Wan Salleh yang bertugas antara 1979 sehingga 1981 melaporkan lebih 200 pasangan bercerai kerana berbeza parti politik. Keadaan ini tidak berhenti apabila sepanjang tahun 1980-an berlaku juga masalah pembayaran zakat, masalah sembelihan binatang ternakan, perebutan jawatan di masjid, dan pelantikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung.

Ekroan perpecahan Melayu yang sengit ini ramai pula pemimpin PAS ditahan atau dihadkan pergerakan mereka bawah Enakmen Kediaman Terhad. Siri peristiwa ini menjadi lebih hodoh apabila fenomena kafir-mengkafir meledak, yang mana PAS dan Umno saling menyahut antara satu sama lain.

Insiden di atas hanya direkodkan di Terengganu. Jika kita menyiasat kejadian berlaku di Perak, Kedah, dan Kelantan hal hampir serupa berlaku malah ada yang mengakibat pertumpahan darah dan pergaduhan. Novel Tunggul-tunggul Gerigis oleh Shahnon Ahmad misalnya memberikan kita sedikit gambaran perpecahan umat Melayu ini, dengan latar Kedah. Demikianlah juga filem Tsu-Feh Sofia oleh Rahim Razali, turut mengungkapkan keresahan bangsa Melayu dekad-dekad tersebut. Jadi, hal ini tidak mudah ditipu dan disembunyikan. Terdapat rakaman tuntas mengenai perpecahan Melayu.

Semua kejadian di atas menyebabkan kerajaan mengeluarkan satu Kertas Putih di mana Abdul Razak Ayub menyatakan Kertas Putih Mengenai Ancaman Kepada Perpaduan Ummat Islam Dan Keselamatan Negara setebal 20 muka surat dan memuatkan 14 lampiran, memperuntukkan 11 muka surat tentang tindakan mengkafir oleh PAS dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya seperti kegiatan memulau, kegiatan menghasut, dan pecahan-pecahannya di bawah tajuk “Ancaman Golongan-golongan Yang Memperalatkan Agama Islam”.

Sebarang siasatan Kertas Putih menandakan hal-hal ini sudah berada di takat serius.

Mungkin ada orang akan mengatakan kejadian-kejadian di atas adalah peristiwa masa lalu yang telah pun ditanam dilupakan dan perasaan permusuhan itu tidak lagi berlaku dalam kalangan generasi baharu. Sudah 30-40 tahun berlalu, apatah lagi Terengganu kini menjadi milik mutlak PAS dan bukan di tangan UMNO.

Hal ini sebenarnya tidak boleh dipandang sedemikian mudah.

Jika kita menghujahkan, seseorang dengan fahaman kiri misalnya akan kekal kiri dan sukar di rungkaikan kefanatikannya, maka demikian jugalah mereka yang berpegang kepada idea atau gagasan jumud dalam agama. Mereka yang terlibat, apatah lagi pemimpin dua pihak ini hendaklah dipantau kerana tidak ada satu siasatan atau kajian yang telus dan independen menjelaskan bahawa mereka telah pulih dan waras serta tidak lagi percaya kepada fenomena kafir-mengkafir ini.

Kita belum betul-betul mendengar Abdul Hadi Awang misalnya menolak dan membetulkan fatwa lampaunya, atau menyemak kembali sejarah berlalu dan membuat ikrar baharu. Mereka juga yang terlibat tidak diketahui melakukan permohonan maaf secara terbuka oleh kejadian busuk tersebut.

Insiden berdarah Memali misalnya adalah puncak pertembungan perpecahan Melayu yang bukan mudah didamaikan.

Jika kita meneropong lanjut pergerakan perpaduan Melayu dari era tersebut membawa sehingga ke era sekarang, kita dapat menghujahkan perpaduan Melayu makin mustahil. Dahulu, Melayu diwakili oleh dua parti. Kini, sudah ada tiga malah empat parti Melayu dominan yang saling berebutkan pengaruh dan undi. Itu jika ambil kira Pejuang. Manakala itu belum pula kita menghitung keadaan di Sabah dan Sarawak di mana Melayu di sana juga punya beban psikologi berbeza. Tuduhan PPBM membeli ahli Umno di beberapa tempat tertentu baru-baru ini contoh perpaduan Melayu itu mustahil malah sewajarnya ditertawakan.

Satu ‘perpaduan bangsa’ hanya menyebabkan Melayu ini bagai dicucuk hidung ke arah satu jurusan. Adalah lebih baik Melayu mempunyai pelbagai idea, gagasan, kepercayaan, dan juga fahaman politik kerana dalam era sekarang percanggahan idea atau pandangan itu selalunya membawa kepada inovasi dan juga pembaikan.

Mana-mana idea untuk mengumpulkan Melayu dalam satu raga adalah perbuatan yang bodoh. Saya boleh menghujahkan dari banyak episod bahawa sejarah Melayu itu adalah berlawan atau bersinggung sesama sendiri. Ini bukan sahaja oleh kerana kuasa tetapi juga kerana tafsiran agama. Malah hal ini saya telah tunjukkan sedikit dalam tulisan lalu iaitu yang bertajuk Melaknat Pemimpin Melayu Bergaduh.

Dalam lipatan sejarah Melayu, raja-raja Melayu dan kerabat sendiri saling bertingkah. Semua puak ini cuba menawarkan kelebihan. ada yang baik untuk bangsa, ada yang tentu sama sekali tidak dan dapat justeru dianggap batil.

Proses mencari yang hak dan benar untuk orang Melayu tidak boleh hanya terhad pada tiga parti iaitu PAS, PPBM, dan Umno. Apa hak mereka untuk menghujahkan kebenaran dan kemakrufan hanya ada pada mereka?

Justeru sebarang seruan perpaduan Melayu adalah lawak hitam. Ia tidak serasi dengan sejarah kita baik di era kesultanan Melayu, apatah lagi era zaman moden malah membawa ke saat mutakhir ini. Rangkaian PPBM, PAS, dan Umno ini hanya satu perpaduan sementara untuk merebut undi Melayu menjelang PRU-15 yang kini tertangguh ekoran Darurat. Kita tahu Melayu tidak boleh bersatu atas nama perpaduan. Tidak pernah.

Melayu juga sudah mesti mulai berfikir bahawa atas nama Malaysia, Melayu tidak boleh hanya hidup dengan Melayu. Perpaduan yang mesti adalah perpaduan Malaysia atas nama semua bangsa dan minoriti.

PPBM, PAS, dan Umno dan semua Melayu harus ingat yang menjamu Melayu dengan daging seludup selama lebih tiga dekad lalu bukanlah bangsa lain. Punyalah Melayu cepat terlupa. Kanggaru sendiri tertawakan angan-angan perpaduan Melayu.

Kata kanggaru; ‘silly’, muafakat konon. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.