`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Friday, January 15, 2021

Mangsa banjir di Sarawak meningkat 3 kali ganda, Raub pulih

 

Banjir yang memasuki hari ketiga di enam daerah di Sarawak hari ini menyaksikan penduduk yang dipindahkan meningkat kepada 4,222 orang dan ditempatkan di 49 PPS. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Keadaan cuaca yang agak baik di Semenanjung membolehkan kawasan dilanda banjir terus beransur pulih dengan daerah Raub di Pahang pulih sepenuhnya pagi ini, namun situasi berbeza di Sarawak yang menyaksikan jumlah mangsa banjir meningkat tiga kali ganda berbanding semalam.

Banjir yang memasuki hari ketiga di enam daerah di Sarawak hari ini menyaksikan jumlah penduduk yang terpaksa dipindahkan meningkat kepada 4,222 orang yang ditempatkan di 49 pusat pemindahan sementara (PPS).

Berdasarkan laporan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, sehingga pukul 8 pagi tadi, 2,159 mangsa berada di 19 PPS di daerah Kuching; 1,014 di 10 PPS di Serian, 706 mangsa masih berteduh di 11 PPS di Bau, 211 orang di lima PPS di Kota Samarahan, 103 orang di dua PPS Simunjan dan 29 orang di dua PPS Miri.

Di Pahang, Ketua Polis Daerah Raub Kama Azural Mohamed berkata, PPS yang ditutup semalam adalah di SK Kundang Patah, Cheroh; Balai Raya Kampung Jeruas, Dong dan Masjid Bukit Pompong yang sebelum ini menempatkan 69 mangsa, termasuk 23 pelajar sebuah pusat tahfiz.

Sementara itu, portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan jumlah mangsa banjir di Pahang pagi ini adalah seramai 7,992 orang dengan 102 PPS masih beroperasi di tujuh daerah.

Daerah Pekan mencatatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 3,317 orang, diikuti Maran (1,903 orang), Kuantan (878 orang), Temerloh (792 orang), Bera (715 orang), Lipis (353 orang) dan Jerantut (34 orang).

Di Johor, cuaca yang baik membolehkan keadaan banjir di negeri ini semakin pulih dengan jumlah mangsa terjejas berkurangan kepada 784 orang melibatkan 245 keluarga setakat pukul 8 pagi ini, berbanding 892 orang melibatkan 276 keluarga, petang semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R Vidyananthan berkata, kesemua mangsa berada di 10 PPS di lima daerah.

Kota Tinggi katanya, masih mencatatkan jumlah mangsa terjejas tertinggi dengan 525 orang daripada 140 keluarga di lima PPS, diikuti Johor Bahru (116 orang, 71 keluarga di dua PPS), Kluang (50 orang, 11 keluarga di satu PPS), Segamat (76 orang, 20 keluarga di satu PPS) serta Batu Pahat (17 orang, tiga keluarga di satu PPS).

Di Sabah, jumlah mangsa banjir setakat pukul 8 pagi ini meningkat sedikit kepada 761 orang daripada 198 keluarga berbanding 712 orang daripada 173 keluarga, petang semalam.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah berkata, semua mangsa banjir ditempatkan di 11 pusat pemindahan sementara di lima daerah, iaitu di Kota Marudu, Pitas, Beaufort, Lahad Datu dan Paitan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.