PETALING JAYA: Najib Razak menyelar Dr Mahathir Mohamad yang menganggap projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) dibatalkan baru-baru ini tidak penting dan tidak berbaloi.
Ahli Parlimen Pekan itu sebaliknya berkata, Mahathir tidak tahu kepayahan rakyat yang perlu berulang-alik setiap hari dari Malaysia ke Singapura untuk bekerja.
“Ini kes orang yang tak pernah duduk dalam kereta untuk perjalanan dari KL ke Singapura ataupun tak tahu tambak Johor sering sesak.
“Cuba tanya mereka yang duduk di Muar atau Batu Pahat yang bekerja di Singapura bahawa mereka cuma jimat 15 minit dengan HSR (30 minit). Tanya juga penduduk Melaka, mereka cuma jimat 15 minit untuk pergi ke Kuala Lumpur dengan HSR (40 minit),” katanya dalam catatan di Facebook.
Terdahulu, Mahathir dilaporkan berkata, projek itu boleh tunggu 10 atau 30 tahun lagi untuk dilaksanakan.
Katanya, jarak perjalanan kereta api itu hanya 230km dan jumlah masa yang dapat dijimatkan sekitar 50 minit.
“Jimat 15 minit berbanding apa? Berbanding naik jet peribadi anak dan kroni dia atau naik kereta terbang nasional projek gagalkrasi Pakatan Harapan?” soal Najib.
Beliau menyifatkan HSR penting kerana melengkapkan visi integrasi Asean apabila dua ibu kota terpenting di rantau ini dihubungkan.
Selain itu, katanya, projek itu juga akan menjadikan Malaysia sebahagian daripada rangkaian kereta api laju Asia.
“Selain memudahkan perjalanan rakyat, HSR penting sebab ia akan merancakkan ekonomi serta sektor pelancongan Malaysia dan menarik pelaburan asing yang bakal menjana 110,000 peluang pekerjaan serta memberi keuntungan lebih RM6 bilion setiap tahun kepada negara.”
Pada 1 Jan lalu, kerajaan Malaysia dan Singapura mengesahkan pembatalan HSR selepas tempoh penangguhan perjanjian berakhir 31 Dis 2020.
Kementerian Pengangkutan Singapura berkata, Malaysia perlu membayar pampasan kepada republik itu atas pembiayaan yang ditanggungnya sebagai sebahagian daripada kewajipan berdasarkan perjanjian dua hala yang dimeterai pada 2016. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.