`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Tuesday, January 5, 2021

Pekebun durian dapat penangguhan perintah usir, kata peguam

 

Pekebun durian di Raub kini boleh mengusahakan tanah mereka tanpa gangguan pihak berkuasa. (Bernama pic)

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan penangguhan interim untuk 204 pekebun durian Musang King di Raub, Pahang, sehingga selesai rayuan mereka terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menafikan izin untuk semakan kehakiman.

Ini bererti mereka boleh terus mengusahakan tanah berkenaan tanpa gangguan pihak berkuasa.

Panel tiga hakim diketuai Yaakob Md Sam membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan itu selepas mendengar hujahan peguam pekebun berkenaan dalam prosiding maya. Turut bersidang, S Nantha Balan dan M Gunalan.

Peguam Brendan Navin Siva berkata, tiada tarikh ditetapkan untuk mendengar rayuan berkenaan, tetapi pengurusan kes sudah ditetapkan pada 22 Feb.

“Sehingga isu diselesaikan di Mahkamah Rayuan, status quo kekal untuk pekebun terbabit,” katanya.

Pada 23 Dis, Hakim Zainal Azman Ab Aziz menolak permohonan untuk izin mendapat semakan kehakiman terhadap notis usir dikeluarkan kepada pekebun terbabit oleh kerajaan negeri.

Dalam keputusannya, beliau berkata notis itu tidak boleh disemak mahkamah manakala pekebun terbabit adalah penceroboh seterusnya tiada hak mengikut undang-undang.

Petani terbabit memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap perintah kerajaan negeri itu, supaya mereka mengosongkan tanah masing-masing di sekitar Raub, termasuk di Sungai Ruan, Sungai Chalit dan Sungai Klau, membabitkan kira-kira 2,167ha.

Mereka menamakan Pentadbir Tanah Daerah Raub, Pengarah Perhutanan Pahang, pihak berkuasa negeri, kerajaan negeri Pahang, Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) dan Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd sebagai responden.

Selain perintah untuk mengosongkan tanah berkenaan mengikut Kanun Tanah Negara dan Akta Perhutanan Negara 1984, mereka juga mahukan perintah berhubung keputusan kerajaan negeri yang didakwa memberikan pajakan dan hak penggunaan tanah kebun tersebut kepada syarikat Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd.

Pemohon juga mahu semakan keputusan pemberian subpajakan tanah terlibat kepada mereka dan kewajipan mandatori untuk menjual durian itu kepada satu-satu entiti yang dicalonkan oleh Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.