`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Friday, February 12, 2021

Kesibukan setiap kali Tahun Baru Cina sejak 25 tahun kini suram buat Poh Lo

 

Jadual Poh Lo pada setiap kali CNY sangat padat sejak 25 tahun lalu. (Gambar Facebook Huang Poh Lo)

KOTA KINABALU: Setiap kali tiba musim perayaan Tahun Baru Cina (CNY), penggiat seni tulisan kaligrafi yang tidak asing lagi di Sabah, Huang Poh Lo pastinya sangat sibuk dengan kerja-kerja kreatif beliau di merata tempat.

Namun, kesibukan dialaminya sejak 25 tahun lalu kali ini ‘berputar 180 darjah’ apabila tiada lagi jemputan daripada hotel-hotel terkemuka, majlis sambutan besar-besaran mahupun sekadar membuka gerai di kompleks beli-belah atau di jalanan.

Semuanya angkara wabak Covid-19 yang telah mengehadkan pergerakan serta aktiviti setiap manusia bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh dunia.

Bagi mereka yang belum mengenali beliau, Poh Lo atau nama sebenarnya N Poolohgasingan adalah anak kelahiran Kulai, Johor yang telah berpindah dan menetap di Sabah sejak 1980.

Beliau mula mempelajari seni tulisan kaligrafi Cina sejak awal 90-an dan mula serius mengenainya pada 1995 sehinggalah kini namanya begitu popular kerana hasil kerja yang ‘luar biasa’ tambahan pula beliau bukanlah seorang berbangsa Cina.

“Sejak saya mula aktif berkarya di jalanan pada 25 tahun lalu, sambutan yang diberikan sangat luar biasa malah kadang-kadang saya tidak ‘cukup tangan’ untuk memenuhi jemputan-jemputan daripada pelbagai pihak termasuk hotel-hotel dan majlis-majlis sambutan CNY oleh orang-orang ternama.

Berkarya di khayalak ramai memberi kepuasan kepada Poh Lo. (Gambar Facebook Huang Poh Lo)

“Bagaimanapun pada tahun ini, semuanya berubah sama sekali kerana tiada lagi sambutan CNY besar-besaran, pasar tamu juga tiada untuk saya membuka gerai di jalanan, memang agak menyedihkan namun bagi saya, keadaan ini perlu dihadapi kerana ini bukan masalah saya seorang tetapi semua orang,” katanya kepada FMT.

Poh Lo berkata, tidak dinafikan setiap kali menjelang atau pada hari sambutan Tahun Baru Cina , pendapatannya hasil tulisan kaligrafi sangat lumayan.

Namun, katanya, soal pendapatan adalah perkara kedua kerana apa yang lebih penting adalah kepuasan menghasilkan karya yang mampu menggembirakan setiap pelanggannya.

“Saya tidak mahu sebut berapa yang saya dapat (pendapatan) kerana ada yang sanggup membayar dengan harga tinggi tetapi kadang-kadang ada juga yang tidak mampu dan saya hanya minta mereka membayar seadanya seikhlas hati.

“Pada setiap tahun juga, saya turut berkarya bagi mengumpul dana untuk disumbangkan kepada sekolah-sekolah Cina, saya lakukannya setiap tahun, cuma tahun ini tiada lah,” katanya.

Beliau berkata, pada Tahun Baru Cina kali ini, masih ramai yang menghubunginya untuk menghasilkan tulisan kaligrafi Cina namun kebanyakkan permintaan terpaksa ditolak.

Huang Poh Lo antara penggiat seni tulisan kaligrafi Cina yang popular di Sabah. (Gambar Facebook Huang Poh Lo)

“Bukan tidak mahu tetapi seperti saya katakan tadi, soal wang adalah perkara kedua, cara saya adalah menulis di hadapan pelanggan atau orang ramai.

“Kepuasan adalah sesuatu yang sangat penting, mana mungkin saya merasainya kalau saya menghasilkannya (tulisan kaligrafi) sendiri di rumah dan kemudian menghantarnya kepada pelanggan.

“Memang ada jugalah saya penuhi permintaan beberapa pelanggan yang menghubungi saya terus namun saya tidak pernah mengiklankan untuk menjual hasil karya saya kerana ini bukan cara saya, orang seni pastinya tahu perkara ini, iaitu kepuasan,” katanya.

Sementara itu, walaupun sambutan Tahun Baru Cina kali ini tidak semeriah sebelum ini, Poh Lo tetap mendoakan semua orang terutama yang meraikannya agar terus ceria dan berserah kepada keadaan yang berlaku sekarang.

“Keadaan ini kita tidak jangka tetapi kita perlu mengharunginya, janganlah bersedih di hari yang gembira ini, semuanya pasti ada hikmah.

“Saya mungkin tidak dapat bersama dan berkarya untuk anda pada tahun ini, tapi ini bukan pengakhiran, saya yakin tahun-tahun mendatang akan menghadirkan lebih kegembiraan kepada kita semua, ‘Gong Xi Fa Cai’ kepada semua saudara mara dan rakan-rakan saya,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.