`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Friday, February 12, 2021

Pasar Kraftangan KK seperti ‘berhantu’, perniagaan terjejas teruk

 

Pasar Kraftangan Kota Kinabalu kembali dibuka, namun hanya kira-kira 30% gerai dilihat beroperasi.

KOTA KINABALU: Ketiadaan pelancong sejak pandemik Covid-19 melanda negara mengakibatkan perniagaan kraftangan dan mutiara di Pasar Kraftangan Kota Kinabalu terjejas teruk.

Pasar yang terletak di pusat bandar raya itu sebelum ini sering padat dengan kehadiran pelancong sama ada dari dalam maupun luar negara.

Selepas dibenarkan beroperasi semula pada Selasa lepas, tinjauan FMT ke pasar berkenaan mendapati hanya kira-kira 30% daripada keseluruhan gerai beroperasi.

Seorang peniaga, Anis Hanisan, 39, berkata, sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) mula dilaksanakan Mac tahun lalu, perniagaannya terjejas sehingga 80%, malah ada hari yang langsung tiada jualan.

Anis berkata, peniagaannya merosot sehingga 80% sejak pandemik Covid-19 melanda negara.

”Tahun lalu paling teruk sejak saya mula berniaga 11 tahun lalu, malah kadang-kadang satu sen pun tiada pendapatan dalam satu hari.

”Nasib baiklah kadar sewa yang dikenakan DBKK (Dewan Bandaraya Kota Kinabalu) agak murah dan mereka juga memberi pengecualian sewa sejak April tahun lalu,” katanya ketika ditemui.

Anis berkata, selepas PKP dilonggarkan pada Sep tahun lalu, perniagaannya mula stabil, namun ia sekali lagi terjejas apabila PKP diperketatkan semula pada penghujung tahun lalu.

”Apabila PKP dilonggarkan pada sekitar Sep lalu, keadaan mula stabil sedikit, tetapi ia tidak berpanjangan dan kami terpaksa bertahan semula tanpa pendapatan apabila ia kembali diperketatkan,” katanya.

Seorang lagi peniaga, Elena Abin, 22, berkata, jumlah pendapatan yang diperolehi pada setiap hari pada waktu dibenarkan beroperasi hanya sekitar RM20 hingga RM30.

Elena berkata, purata hasil jualannya kini hanya sekitar RM20 hingga RM30 sehari.

”Memang sangat jauh beza berbanding ketika waktu-waktu normal dulu, tapi apa boleh buat, masalah (pandemik Covid-19) ini semua pun terkesan.

”Hari ini masuk hari ketiga kami beroperasi, tetapi tengoklah (sekeliling) mana ada orang datang, ada pun satu dua orang dalam satu-satu masa,” katanya.

Bagi seorang peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Asmah, 38, berkata, beliau yakin perniagaan di pasar berkenaan akan mampu bangkit kembali apabila penularan Covid-19 ini berakhir kelak.

Amsah yakin perniagaan akan bangkit kembali selepas pandemik Covid-19 ini berakhir.

”Kita berdoalah agar penularan Covid-19 ini cepat berakhir, tapi saya yakin satu hari nanti pasar ini akan kembali dikunjungi ramai.

”Perniagaan di sini memang bergantung pada kehadiran pelancong. Oleh sebab itu pendapatan kami sangat terjejas pada waktu ini.

“Kami haraplah juga orang tempatan akan turut menyokong produk kami supaya kami masih boleh terus bertahan sehinggalah wabak (Covid-19) ini berakhir,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.