Hamba tabik anak muda. Tabik hormat. Sebelum hamba menjelaskan apa alasan memberi tabik itu, izinkan hamba membawa kalian ke Minneapolis, Amerika Syarikat.
Pada 25 Mei 2020, seorang lelaki yang sedang pulih dari Covid-19 bernama George Floyd, berkulit hitam, telah ke Cup Foods untuk membeli barangan. Pekedai di situ menelefon polis dengan alasan bahawa mereka percaya Floyd kelihatan tidak terurus dan mungkin memberikan wang palsu.
Pihak polis datang, berkulit putih. Namanya Derek Chauvin. Dia menggari Floyd, meniarapkan pemuda 46 tahun itu, menekan tengkuknya dengan lutut selama 9 minit 29 saat, selang itu Floyd merayu agar dilepaskan kerana; “Hamba tidak boleh bernafas”. Rintihan itu sebanyak lebih 20 kali.
Pegawai polis lain, J Alexander Kueng dan Thomas Lane, membantu Chauvin, manakala pegawai Tou Thao, mencegah orang awam daripada membantu.
Perhambaan mungkin telah berakhir di negara itu tetapi penindasan atas nama kaum dan kelas masih berlaku.
Hamba tabik anak muda. Tabik hormat. Ketika itulah Darnella Frazier, 18, berjalan dengan sepupunya yang baru berusia 9 tahun untuk membeli makanan ringan.
Frazier dengan berani dan dengan had batas yang ada mengeluarkan telefon bimbit dari poketnya dan merakam semua kejadian itu.
Anak-anak muda di sekitar berhimpun dan mendesak secara penuh hemah agar Floyd dilepaskan dan apabila Floyd akhirnya meninggal dunia kerana ditindas dengan lutut sedemikian, mereka malah merayu agar nadi Floyd diperiksa.
Chauvin berbuat tidak endah. Tidak endah dan hanya melepaskan tengkuk Floyd bila diminta oleh pihak perubatan yang mampir lewat.
Floyd sudah mati. Dibunuh. Dia dihambakan dan dilemaskan oleh golongan kayangan.
Hamba tabik anak muda. Tabik hormat. Video rakaman Frazier tersebut menjadi tular. Bukan sahaja seluruh Minnesota bergegar atau AS gempar; kejadian itu menjadi protes terhadap golongan kayangan di seluruh dunia. Kecuali di Malaysia.
Mungkin kerana kita sedang berdepan dengan kuncitara akibat Covid-19. Juga kerana cara protes kita di Malaysia ialah secara dalam talian.
Kita temui ramai anak muda mengongsikan bantahan mengenai Floyd itu di media sosial.
Darnella Frazier sejak itu terganggu hidupnya. Dia terganggu kerana Floyd mati dan dia merasakan dia tidak melakukan lebih daripada itu. Dia menyesal.
Anak-anak muda lain yang berada di situ juga sangat kesal.
Dalam perbicaraan Chauvin, anak-anak muda belasan tahun ini dengan beraninya muncul menjadi saksi. Mereka harus berdepan dengan kelas kayangan. Mereka harus menghadap kumpulan ketuanan polis dan ketuanan kulit putih.
Penghujungnya Chauvin didapati bersalah atas tiga tuduhan membunuh.
Apa yang Frazier hadapi tidak mudah. Dia diserang oleh anak muda yang berasal dari kayangan, juga dari kelas kumuh (tetapi cukup bodoh) untuk mempertahankan kelas kayangan.
Frazier ketakutan. Dia tidak mahu menjadi wira. Dia hanya mahu menuntut hak seseorang yang lain.
Di AS, pihak polis adalah kayangan mereka. Dia bersuara kerana letih dengan tindak-tanduk kayangan.
Aksi Frazier menjadi batu tanda dan sangat bersejarah. Ia mungkin menjadi langkah awal untuk melakukan reformasi sistem kayangan di negara itu.
Hamba tabik anak muda. Tabik hormat. Skuad anak muda kita di media sosial juga melakukan apa yang Frazier lakukan.
Mereka dengan berani bersuara mengecam layanan tidak adil terhadap marhaen. Seperti Frazier mereka tidak dibayar sesiapa. Ia refleksi jujur.
Mereka dengan berani bersuara mengecam kelas kayangan yang bermaharajalela.
Misalnya, ada kayangan yang mengumpamakan marhaen sebagai tikus sambil bermegah sudah melengkapkan vaksin.
Ada kayangan yang mengherdik orang dengan angkuh meski bersalah melanggari peraturan yang nampaknya hanya terpakai untuk murbawan.
Ada yang membela penindasan terhadap marhaen bertalu-talu.
Anak muda berani ini melawan pula mereka dan bersuara bertingkah. Kayangan terus berleluasa.
Mereka mengancam, anak muda berani tidak menarik diri malah terus mengecam.
Anak muda ini anak muda yang bangkit melawan kebangkutan kelas kayangan. Anak muda ini ingin melakukan perubahan.
Seperti Frazier yang ingin membetulkan realiti pahit di hadapannya, anak muda kita di Malaysia memilih untuk melawan kelas kayangan kerana terdapat ketidakadilan.
Hamba tabik anak muda. Dalam dunia yang mana media sosial menjadi medan untuk bersuara dan melakukan protes, suara seperti Frazier sangat penting.
Tidak mengejutkan andai golongan kayangan perlu berpura-pura untuk terus mempertahankan kekayangan dan kekenyangan mereka.
Cara berpura-pura itulah ialah dengan menggunakan segala simbol agama. Kalau di AS mereka akan memperlihatkan keanglikanan mereka. Jika di sini pula; segala petik hadis, madah indah motivasi, kopiah tudung, jubah capal, niqab hijab, doa, dan ayat-ayat suci akan ditenggek dan ditunggangi semahunya.
Kayangan ini kenyang dan mereka tidak sanggup berlapar atau kebulur seperti hamba.
Jika hamba kelas bawah boleh dibodohkan terus-terusan dengan agama, maka agama akan jadi ‘keldai’.
Mereka tiada rasa bersalah mengkeldaikan agama, orang bawah, atau siapa pun.
Pada kumpulan kayangan di AS, kelas murbawan seperti Floyd itu ‘keldai’. Perihal di sini tidak jauh berbeza.
Untuk menyejukkan khayalan kayangan ini yang sedang kenyang dan bahagia, mereka yang lapar dan tertindas akan dilihat sebagai cemburu, iri hati, atau dengki.
Derek Chauvin, J Alexander Kueng, Thomas Lane, dan Tou Thao; kelas kayangan dari Minneapolis itu melihat diri mereka kebal. Mereka melihat orang lain hamba. Mereka melihat sistem itu benar. Mereka yakin sistem itu lebih besar dari manusia dan kemanusiaan.
Menurut mereka, segala di luar sistem itu sedang iri hati atau dengkikan dengan kuasa mereka. Inilah yang diperlihatkan oleh Tou apabila dia mencegah orang awam yang cuba menegur kepongahan mereka.
Wajah Tou membiarkan Chauvin memijak Floyd itu ialah wajah yang kita definisikan sebagai wajah yang memandang dengan pertanyaan: “Kau dengki ke? Kau itu hamba”.
Tidak juga aneh jika golongan kayangan ini merasai diri mereka benar, atau diri mereka juga sengsara, dan mereka malah ingin mengungkap pula untuk kita definisi penderitaan.
Seperti mana Chauvin melutut di atas kepala Floyd kerana beliau mencipta angan-angan dan khayalan bahawa Floyd itu ancaman atau musuh kepada kekenyangan kayangannya.
Di sini kayangan ini juga melayani ego itu sepertinya. Mereka sebagai penindas ikut mengaku ditindas, supaya kelak mereka boleh dimaafi.
Tetapi anak muda tidak terpedaya. Segala taktik lapuk itu dalam kocek Darnella Frazier. Anak muda mungkin muda, tetapi tidak senang digula-gula.
Hamba tabik anak muda. Kita tidak hirau jika ada generasi lama mempertahankan kayangan kerana mereka ada beban sejarah, psikologi, dan kejahilan yang tidak lagi seiring zaman.
Ibu bapa kita hidup dalam era lain. Mereka meyakini kayangan sebagai pelindung. Anak muda mempercayai kayangan sebagai punca masalah.
Di AS, persis polis sebagai lambang kelas kayangan disangka pelindung padahal mereka pemusnah.
Memang kita hairan dengan anak muda yang tergila-gila melindungi kelas kayangan padahal mereka tidak beroleh apa pun.
Ada banyak sebab untuk menjelaskan ini. Akan tetapi, untuk hari ini, cukuplah menerangkan yang ‘keldai’ tidak tahu dirinya keldai dan merelai sakit belakang ditunggang dan dicambuk.
‘Keldai’ ada dalam semua era, tempat dan putaran sejarah. Yang tidak mahu menjadi keldai harus lebih banyak.
Hamba tabik anak muda. Kelas murbawan sedang mengorak langkah melurus dan mereformasikan institusi kayangan di AS.
Solidariti yang sama sedang bergerak dan merebak ke serata tempat, termasuk negara ini. Anak muda tidak dengki.
Seperti George Floyd, kita merayu tidak boleh bernafas. Kita ingin dibantu. Kita minta supaya berhenti diperhambakan. Anak muda tidak dengki.
Kita ingin persis Darnella Frazier, bertanggungjawab dan mencuba penuh apa yang terdaya dilakukan.
Anak muda tidak dengki. Kayangan harus tahu tiada dengki di sini. Anak muda cuma ada harga diri. Kehormatan dan maruah insani. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.