PETALING JAYA: Seorang imam kerugian lebih RM50,000 selepas ditipu lelaki itu, sejak Jun hingga pertengahan September lalu.
Imam berusia 65 tahun itu dilaporkan menyerahkan wang berkenaan, malah membenarkan lelaki itu menggunakan kenderaan Proton Gen2 bagi memudahkan urusan menguruskan perniagaan emas dan kambing perap, selain wang itu didakwa mahu digunakan sebagai modal.
Imam berkenaan dikatakan mengenali lelaki berusia 36 tahun itu pada Jun lalu menerusi anak perempuannya yang berusia 28 tahun.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu Abdul Rahim Daud, berkata bakal menantunya itu mendakwa mempunyai perniagaan emas dan kambing perap serta beberapa kali meminta wang untuk dijadikan modal daripada imam terbabit.“Imam berkenaan kemudiannya memberi lebih RM38,000 daripada awal Jun hingga September secara berperingkat di Bandar Baru Kubang Kerian.
“Imam berkenaan juga memberikan barang kemas bernilai RM6,000 dan sebuah kereta Proton Gen2 bagi memudahkan urusan perniagaan bakal menantunya itu,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Beliau berkata, imam itu tampil membuat laporan polis berikutan wang yang dipinjamkan tidak dipulangkan, pada 14 September lalu.
Menurutnya, imam berkenaan dikatakan cuba menghubungi bakal menantunya itu untuk menuntut wangnya, namun pelbagai alasan diberikan lelaki terbabit.
“Susulan laporan mangsa, lelaki berkenaan kemudiannya ditahan pada 11 malam tadi di sebuah rumah di Jalan Pengkalan Chepa bagi membantu siasatan.
“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dalam proses untuk tahanan reman,” katanya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.