`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Friday, October 22, 2021

Empangan Papar perlu dibina untuk selamatkan industri air, kata pengarah JANS

 

Pembangunan demi pembangunan yang berlaku di kawasan berkenaan telah menyebabkan Sungai Papar menjadi keruh, menurut Edward Lingkapo.

KOTA KINABALU: Projek Empangan Papar tetap perlu diteruskan walaupun ditentang oleh pencinta alam, kata Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) Edward Lingkapo.

Katanya, projek pembinaan empangan sememangnya sangat sensitif serta tidak disukai oleh pencinta alam namun projek itu dapat menyelamatkan industri air di Sabah.

“Saya faham bagi pencinta alam, ia (projek empangan) sangat-sangat sensitif, tetapi itulah sahaja yang dapat menyelamatkan kita, menyelamatkan industri air di Sabah,” katanya dalam satu temu bual di saluran radio dalam talian tempatan semalam.

“Pembangunan semakin pesat dan permintaan bekalan air juga meningkat mendadak.

“Satu dua tahun selepas siap (loji rawatan air) Telibong 2 (di Tuaran), kita akan mula alami masalah tekanan air lagi. Sebab itu, kita perlu merancang lebih awal (dan bina Empangan Papar).

“Kita perlu bekalkan air supaya industri (baharu) dapat masuk dan ada peluang pekerjaan bagi rakyat Sabah.”

Katanya, pembangunan demi pembangunan yang berlaku di kawasan berkenaan telah menyebabkan Sungai Papar menjadi keruh.

“Pembangunan berterusan tidak dapat dikawal, air di sungai Papar menjadi keruh. Masa kemarau, sungai tiada air sebab sudah tiada pokok, alam semula jadi sana (Ulu Papar) pun sudah musnah.

“Kami terpaksa tutup (loji air) di Limbahau, biasanya kalau musim kemarau, ia ditutup setiap hari, mengakibatkan bekalan air terjejas,” katanya.

Empangan Papar, sebelum ini dikenali sebagai Empangan Kaiduan, pada mulanya dicadang dibina di hulu Sungai Papar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Moyog, Penampang bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan air di pantai barat Sabah menjelang 2024.

Projek itu kemudian dibatalkan pada 2018, tetapi kerajaan negeri yang ketika itu diterajui Warisan mengumumkan pembinaan empangan berkenaan akan diteruskan.

Lokasinya juga ditukar ke Kampung Mondorongin di Papar, dan pembinaannya sebelum ini dijadualkan bermula tahun lalu dengan kos lebih RM3 bilion.

Pengumuman bahawa projek itu akan diteruskan mendapat tentangan hebat daripada beberapa badan bukan kerajaan (NGO), selain parti politik.

Ia juga turut dijadikan bahan kempen pada pilihan raya negeri (PRN) lepas, terutamanya oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Menurut Parti Maju Sabah (SAPP) dan Parti Bersatu Sabah (PBS), rakyat amat marah dengan kerajaan Warisan Plus sebelum ini kerana meneruskan projek itu.

Mereka mendakwa, projek berkenaan bakal menjejaskan alam sekitar serta kehidupan penduduk setempat.

Bagaimanapun, pada sidang DUN Disember lepas, kerajaan GRS mengumumkan projek Empangan Kaiduan di Papar akan diteruskan.

Pembantu Menteri Kerja Raya Limus Jury berkata, keputusan itu dibuat selepas kajian oleh kementeriannya mendapati empangan itu harus dibina bagi menyelesaikan masalah bekalan air di sekitar Papar dan Kota Kinabalu. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.