`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, October 21, 2021

Warga emas nekad keluar wad, selamatkan barang berharga ketika banjir

 

Ketua Menteri Melaka Sulaiman Md Ali melawat mangsa banjir untuk menyampaikan sumbangan makanan dan barangan keperluan asas. (Gambar Bernama)

ALOR GAJAH: Seorang warga emas yang sedang menjalani rawatan di Hospital Melaka di sini nekad keluar dari wad sebaik dimaklumkan rumah yang diduduki di Kampung Pulau, Durian Tunggal di sini dinaiki air akibat hujan lebat semalam.

Matsell Salim, 64, yang menghidap penyakit jantung dan tinggal berseorangan itu bergegas pulang ke rumahnya kira-kira 2.30 petang untuk menyelamatkan barang-barang berharga.

“Pakcik baru sehari masuk hospital dan semalam kawan telefon bagi tahu air dah mula naik di kawasan rumah sebab hujan lebat dan tanpa berlengah, pakcik pulang ke rumah.

“Bila sampai di rumah, naik mulanya naik paras lutut tetapi dua jam kemudian dah cecah paras pinggang… tak banyak barang yang dapat diselamatkan,” katanya ketika ditemui pemberita di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Tunggal di sini hari ini.

Terdahulu Ketua Menteri Melaka Sulaiman Md Ali meluangkan masa melawat mangsa banjir di PPS berkenaan dan menyampaikan sumbangan makanan dan barangan keperluan asas.

Matsell yang tidak bekerja itu berkata banjir kilat yang berlaku semalam bukan kejadian pertama sebaliknya ia seperti ‘acara tahunan’ bagi penduduk kampung itu.

Sementara itu Saedah Majid, 51, berkata banjir kilat yang berlaku di Kampung Pulau, bagaikan tiada penyelesaiannya sekali gus menjadikannya sentiasa berwaspada setiap kali hujan lebat.

Katanya setiap kali banjir berlaku, beliau dan suaminya akan memastikan semua 14 ahli keluarga termasuk seorang anak orang kurang upaya (OKU) yang berusia 29 tahun akan dipindahkan ke tempat yang lebih selamat.

“Rumah makcik terletak berhampiran sungai dan setiap kali hujan lebat, banjir dan air deras, kami sekeluarga saling membantu menggendong anak yang OKU.

“Macam semalam, hujan lebat sejak pukul 5 petang hingga air naik paras pinggang. Banyak barang yang tidak dapat diselamatkan hinggakan kami tidak punya apa pun kerana setahun lebih tiga kali banjir berlaku,” katanya yang bekerja mengemas sebuah masjid berhampiran rumahnya.

Sementara itu Sulaiman berkata satu pertemuan antara kerajaan negeri dengan wakil penduduk termasuk Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) akan diadakan bagi mengenal pasti punca berlaku banjir kilat yang berlaku di setiap kawasan, dalam masa terdekat.

“Pertemuan ini akan melibatkan banyak pihak termasuk agensi berkaitan bertujuan merangka pelan jangka pendek bagi mengekang kejadian banjir kilat berulang sementara pelan jangka panjang selesai dilaksanakan.

“Sekiranya hasil perbincangan berkenaan perlu dirujuk kepada kementerian tertentu, kita akan lakukan,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.