`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, November 20, 2021

Kawasan USJ 1 hingga USJ 27 alami gangguan bekalan air

 

Menurut Air Selangor, bekalan air dijangka pulih sepenuhnya di semua kawasan pada 12 tengah malam ini.

KUALA LUMPUR: Pengguna di kawasan USJ 1 hingga USJ 27 di wilayah Petaling mengalami gangguan bekalan air dan tekanan air rendah hari ini berikutan penurunan paras kolam air di Kolam Air Sime UEP, USJ.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri berkata insiden itu disebabkan masalah teknikal ‘air lock’ atau kunci udara pada paip agihan utama yang menyalurkan air ke Kolam Air Sime UEP di Kampung Kenangan Puchong.

“Bekalan air dijangka pulih sepenuhnya di semua kawasan pada 12 tengah malam ini. Air Selangor sedang berusaha untuk mengatasi masalah ‘air lock’ ini dan akan menyalurkan bekalan air secara berperingkat setelah paras kolam air agihan tersebut distabilkan.

“Tempoh masa pemulihan bekalan air di kawasan terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Elina berkata Air Selangor akan menggerakkan bantuan bekalan air ke kawasan terjejas menggunakan lori tangki dengan keutamaan diberikan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan upacara pengebumian.

Beliau sehubungan itu mengingatkan pengguna supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika mengambil bekalan air daripada lori-lori tangki berkenaan dengan mengamalkan penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka.

Katanya pengguna boleh merujuk semua saluran komunikasi rasmi Air Selangor seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau menghubungi Air Selangor menerusi talian 15300 untuk mendapatkan maklumat insiden itu dari semasa ke semasa.

Sebarang pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Help Centre menerusi laman sesawang www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.