`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, November 16, 2021

Kembar tertukar 20 tahun lalu kini miliki kad pengenalan baharu

 

Adryani Iwani Ibeni Yanin, 20, (tengah) bersama pasangan kembarnya Atirah Ibeni Yanin, 20, (kanan) dan Adryana Iwani Husin, 20, selepas Majlis Penyerahan Dokumen Pengenalan Diri di Wisma Persekutuan Negeri hari ini. (Gambar Bernama)

KOTA BHARU: Atirah Iwani Ibeni Yanin dan Adryana Iwani Husin, yang kisah mereka menggemparkan negara apabila mereka tertukar 20 tahun lalu, menerima perkhabaran gembira selepas impian mereka membetulkan maklumat pada sijil kelahiran dan kad pengenalan diri terlaksana.

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) membenarkan permohonan pembetulan maklumat pada sijil kelahiran dan kad pengenalan Atirah Iwani (nama lama Noratirah Binti Husin) dan Adryana Iwani (nama lama Adryana Iwani Binti Ibeni Yanin) berdasarkan keputusan laporan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Bercakap kepada Bernama, Atirah Iwani berkata tiada kata yang mampu diucapkan selain bersyukur ke hadrat Ilahi kerana permohonan dibuat dua bulan lepas bagi membetulkan maklumat dalam sijil kelahiran selepas ujian DNA disahkan Oktober lepas, diluluskan oleh JPN pada 1 Nov.

Menurut Atirah Iwani dengan dokumen pengenalan diri yang baharu ini identiti sebenar beliau tidak lagi menjadi tanda tanya masyarakat, yang sebelum ini sering mempersoalkan rupa paras beliau tidak sama dengan ‘keluarganya’.

“Nama saya dalam kad pengenalan ada sedikit perubahan, namun saya masih mengekalkan nama Atirah kerana ia pemberian arwah ‘ayah’ Husin Omar.

“Kad pengenalan diri dengan maklumat baharu ini bukan sahaja memudahkan saya melakukan urusan penting, malah memberi keyakinan kepada saya untuk membawa identiti sebenar selepas 20 tahun bersama keluarga yang berbeza,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Dokumen Pengenalan Diri di Wisma Persekutuan negeri, di sini, hari ini.

Majlis penyerahan tersebut disempurnakan Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Saadon Othman.

Bernama pada Jun lepas melaporkan tentang dua keluarga yang mengharungi kisah tragis apabila tiga bayi perempuan termasuk sepasang kembar, tertukar selepas dilahirkan 20 tahun lepas dipercayai akibat kecuaian petugas kesihatan sebuah hospital di Kota Bharu.

Mengulas lanjut, Atirah berkata walaupun memilih untuk tinggal bersama ‘keluarganya’ di Pantai Kundor, di sini, hubungan kekeluargaan bersama keluarga kandung tidak pernah putus dan diabaikan.

“Memandangkan saya masih belajar di sebuah pusat pengajian tinggi di Kota Bharu, jadi hanya apabila ada waktu lapang sahaja saya pulang menjenguk ibu kandung, Siti Aminah Mohd Ismail dan kembar saya, Adryani Iwani.

“Apabila berjumpa, banyak perkara yang kami lakukan bersama selain berkongsi cerita kisah hidup masing-masing selama 20 tahun lepas,” katanya.

Sementara itu, bagi Adryani Iwani beliau tidak pernah menganggap Adryana Iwani sebagai ‘orang luar’ walaupun kini mengetahui mereka tiada pertalian darah, malah hubungan masih berjalan seperti biasa.

“Kami tidak pernah sisihkan Adryana dan hubungan ini akan kekal selama-lamanya. Ibu saya juga sudah anggap beliau seperti anak sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) JPN Datuk Saadon Othman berkata permohonan pembetulan maklumat pada sijil kelahiran dengan memasukkan maklumat ibu dan bapa kandung telah diluluskan oleh JPN Kelantan berdasarkan keputusan DNA oleh Jabatan Kimia Malaysia.

“Kes seumpama ini amat terpencil dan jarang berlaku di negara ini, namun saya menyeru kepada orang awam supaya melaporkan segera kepada JPN sekiranya berlaku pemalsuan sijil kelahiran kerana tindakan memalsu dan mengubah suai sijil kelahiran menyalahi Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299),” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.