PETALING JAYA: Seorang pemandu lori bertindak mencabut bendera dan gegantung parti politik di persimpangan Jalan Taman Merdeka Perdana, dekat Alor Gajah, kerana mendakwa ia menghalang pemandangan sebelum ditahan polis, malam Isnin lalu.
Ketua Polis Melaka Abdul Majid Mohd Ali berkata, dalam kejadian jam 8.45 malam itu, lelaki berusia 48 tahun bertindak sedemikian kerana mendakwa bendera dan gegantung parti menghalang pemandangan pengguna jalan raya yang ingin keluar masuk ke simpang jalan.
“Hasil soal siasat mendapati tujuan lelaki itu berbuat demikian kerana bendera dan gegantung telah menghalang pemandangan pengguna.
“Suspek juga mengakui tujuan berbuat demikian tiada kaitan dengan elemen politik,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, pemeriksaan polis turut menemui 26 batang bendera pelbagai parti bertanding melibatkan 14 batang bendera berlogo Barisan Nasional (BN), lapan Pakatan Harapan (PH) dan empat bendera Perikatan Nasional (PN).
“Suspek kemudian disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat namun telah dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya.
Majid berkata, setakat ini sebanyak lima laporan polis telah diterima berkaitan perbuatan sabotaj bendera dan gegantung parti politik.
“Masing-masing dua laporan di daerah Melaka Tengah dan daerah Alor Gajah dan satu laporan di daerah Jasin,” katanya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.