`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Tuesday, December 7, 2021

Dewan Rakyat: Isu kenaikan harga barang dijangka jadi tumpuan

 

Dewan Rakyat diteruskan dengan perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 di peringkat Jawatankuasa. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Sidang Dewan Rakyat hari ini dijangka akan membahaskan isu kenaikan harga barangan keperluan asas yang membelenggu rakyat ketika ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat dalam laman sesawang Parlimen, soalan mengenainya diajukan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada Waktu Pertanyaan Menteri.

Anwar ingin tahu mengenai tindakan segera dan langkah efektif bagi jangka pendek, sederhana dan panjang yang akan diambil Majlis Tindakan Kos Sara Hidup dalam menangani isu terbabit.

Pada sesi sama, Perdana Menteri turut diminta menyatakan tindakan diambil kerajaan bagi memastikan umat Islam di negara ini tidak ketinggalan dalam menyahut hasrat Gagasan Keluarga Malaysia yang dilancarkan pada 23 Okt.

Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) turut ingin tahu sama ada gagasan itu membantu usahawan Muslim yang terkesan akibat Covid-19 dalam tempoh 100 hari, lapor Bernama.

Selain itu, Sivakumar Varatharaju Naidu (PH-Batu Gajah) bertanya kepada Menteri Perpaduan Negara mengenai prosedur operasi standard (SOP) yang dirangka bagi sambutan Hari Thaipusam pada 18 Jan tahun depan.

Ini supaya pihak kuil terlibat serta penganut Hindu boleh membuat persediaan awal.

Turut dijangka menjadi tumpuan pada sesi soal jawab adalah sama ada kerajaan berhasrat memberikan kuasa pendakwaan kepada penguat kuasa seperti Jabatan Alam Sekitar supaya tindakan dapat terus diambil terhadap pihak yang mencemari sungai dan udara.

Sementara itu, Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) memohon penjelasan berhubung langkah kerajaan bagi meningkatkan pendapatan isi rumah khususnya bagi golongan B40, namun dalam masa sama mengurangkan kebergantungan secara langsung terhadap bantuan tunai semata-mata.

Selesai sesi itu, Dewan Rakyat akan diteruskan dengan perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 di peringkat Jawatankuasa.

Dewan Rakyat bersidang hingga 16 Dis ini. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.