PETALING JAYA: Seorang pegawai polis berpangkat inspektor direman tiga hari kerana memaki hamun dan mencederakan anggota polis awal pagi semalam di Lebuh Queen, George Town.
Ketua Polis Daerah Timur Laut Soffian Santong, berkata berdasarkan siasatan lelaki berusia 35 tahun yang bertugas di negeri Perak itu sedang menjalani hukuman tahan kerja atas kesalahan tatatertib.
“Dalam kejadian 1.30 pagi itu, polis menerima panggilan memaklumkan seorang lelaki sedang membuat bising disyaki berada di bawah pengaruh alkohol dan kami terus ke lokasi; semasa proses memujuk suspek untuk berhenti membuat bising dia telah mengeluarkan kata-kata kesat kepada anggota polis.
“Malah, lelaki itu juga enggan memberi kerjasama. Polis telah meminta suspek untuk pergi ke balai polis, namun dia bertindak agresif serta melawan mengakibatkan (suspek) cedera di bahagian siku kedua-dua tangannya,” katanya menurut laporan Bernama.
Katanya, pegawai polis itu kini direman selama tiga hari dan ditahan di Klinik Pakar Psikiatrik Jalan Perak untuk rawatan lanjut sementara polis menjalankan siasatan ke atas kes itu.
Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan tugas. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.