`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Tuesday, June 28, 2022

Perang Umno dah bermula?

 

Jika anda ahli, apa lagi pemimpin Umno, berkata jujurlah – Adakah anda jangka Tajuddin Abdul Rahman akan senyap dan undur “begitu saja” apabila beliau digugurkan daripada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) tempoh hari?

Anda tahu Tajuddin bagai seorang “pahlawan jalanan” atau istilah yang kerap digunakan “street fighter”. Lantas tentu anda tahu beliau akan “come out slugging”. Bertindak balas sekuat mungkin.

Oleh itu, pendedahan (atau tuduhan?) yang dibuatnya semalam terhadap Umno terutama presiden parti bukanlah memeranjatkan. Tidak memeranjatkan Umno, tidak memeranjatkan orang luar Umno, juga tidak memeranjatkan masyarakat. Sudah dijangka sebenarnya.

-ADVERTISEMENT-
Ads by 

Maksud saya tindakan Tajuddin melawan balik tidak memeranjatkan. Tetapi yang boleh dianggap memeranjatkan ialah apa yang didedahkan. Sedikit-sebanyak. Ringkasnya tentu apa yang Tajuddin hebahkan merumitkan pimpinan Umno dan menyentak ahli yang mungkin mula meragui pemimpin mereka.

Misalnya, dakwaan beliau adalah “saksi hidup” adanya akuan berkanun (SD) Ahli Parlimen Umno menyokong Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri. Padahal kepimpinan parti khususnya Ahmad Zahid Hamidi selaku presiden bertekad di hadapan Perhimpunan Agung Umno (PAU) bahawa Umno tetap pegang prinsip “No Anwar No DAP”.

Jika apa yang Tajuddin dakwa itu benar, berpeluh juga pemimpin parti khasnya Zahid untuk memberikan penjelasan kepada ahli yang pasti sedang kebingungan dan tertanya-tanya.

Rumit juga dakwaan beliau adanya dalam kalangan pemimpin kanan Umno yang berpengaruh pernah bersetuju “pujuk” Zahid berundur tetapi usaha itu gagal apabila Timbalan Presiden Mohamad Hasan “belot”.

Ini juga boleh mencetus bermacam pertanyaan dalam kalangan pemimpin dan ahli parti…dan berpeluhlah juga Tok Mat untuk memberi “his side of the story”.

Selain dua isu itu, saya tidak bercadang mengulangi tuduhan, dakwaan, pendedahan yang Tajuddin lemparkan kerana semuanya sudah pun dilaporkan media secara meluas.

Yang ingin diajukan adalah sama ada tindakan Tajuddin itu menandakan perang Umno yakni Umno lawan Umno sudah bermula? Sebenarnya pelbagai pihak dalam dan luar Umno percaya perang Umno sudah “lama” tercetus dan ia bertambah “teruk” apabila Zahid menggugurkan Tajuddin sebagai anggota MKT yang dilantik.

Ini, kata mereka “membuktikan” perang antara puak presiden dan puak Ismail Sabri Yaakob, naib presiden parti yang menjadi perdana menteri semakin memanas. Mereka melihat tindakan Zahid sebagai memberi peringatan siapa bos dalam Umno dan juga langkah awal mencantas golongan pro-Ismail dalam parti.

Bagi penyokong Zahid, tindakan melucutkan Tajuddin bukan sesuatu luar biasa kerana presiden yang melantik beliau (berdasarkan peruntukan perlembagaan parti) maka presiden boleh juga menarik balik pelantikan (juga menurut peruntukan perlembagaan parti).

Tajuddin kata mereka bukan dipecat daripada parti – “hanya” bukan lagi menjadi ahli MKT. Itu saja.

Namun, bekas ahli MKT Umno Annuar Musa berpandangan penyingkiran Tajuddin boleh mencetuskan “krisis dalaman”. Beliau tidak menggunakan istilah “perang”.

Bagaimanapun, ahli MKT Puad Zarkashi menafikan kenyataan itu. Bagi Puad tidak ada krisis dalaman, tidak ada perang.

Ada penganalisis serta pemerhati politik turut beranggapan tidak ada gerakan “pembersihan” orang Ismail dan tidak ada perang Umno akan berlaku. Kalau ada “kecoh” pun, kata mereka, cuma protes dan “bising bising” di Pasir Salak kubu kuat Tajuddin. Ertinya, mereka yakin penyingkiran Tajuddin tidak akan mempunyai kesan ke atas Umno di luar Pasir Salak. Bukan isu nasional kata mereka.

Tetapi apa yang dihebah dan dihebohkan Tajuddin petang semalam seperti dikatakan tadi boleh membawa kemelut baharu dalam Umno. Ia boleh atau mungkin sudah cetuskan syak wasangka antara sesama sendiri, was-was, ragu-meragui. Semua ini boleh memudaratkan.

Dan seperkara lagi. Annuar Musa ada juga “memberi bayangan” akan ada pemecatan beberapa individu dalam parti susulan pengguguran Tajuddin sebagai ahli MKT.

“…pemecatan demi pemecatan berlaku dan difahamkan ada lagi nama sudah dicap sebagai musuh politik bakal dipecat. Roda politik terus berputar,” kata Annuar menerusi hantaran di Facebook tempoh hari.

Beliau bercakap mengenai “pemecatan demi pemecatan” tetapi tidak menjelaskan adakah ini bermaksud ada yang sudah dipecat? Dan adakah maksudnya pecat daripada parti? Sehingga kini tidak ada laporan media, Umno melakukan pemecatan. Sekurang-kurangnya ke atas nama-nama besar.

Dan Annuar juga (ini memang dijangka) tidak menghuraikan siapa “yang sudah dicap musuh politik dan bakal dipecat” seperti yang beliau difahamkan. Sekali lagi perlu ditanya adakah yang dimaksudkan beliau sendiri? Pecat daripada parti?

Apa pun Tajuddin “dicap” orang Ismail Sabri Yaakob. Mengapa tidak? Bukan kah beliau dilantik perdana menteri sebagai duta besar negara ke Indonesia. Dan kerap mempertahankan di samping bercakap senada perdana menteri.

Annuar juga dicap orang PM. Begitu juga Khairy Jamaluddin. Mereka dipilih Ismail sebagai menteri. Kedua-dua seirama dengan Ismail berhubung pelbagai perkara dan isu.

Ramai percaya Tajuddin digugur kerana beliau orang PM. Zahid bagaimanapun berkata pengguguran Tajuddin adalah kerana sikapnya yang mengkritik parti termasuk keputusan sudah dipersetujui Umno menerusi kenyataan, ceramah dan ucapan dalam mesyuarat tertutup yang dihadirinya.

Namun, jika benar Tajuddin digugurkan kerana beliau orang PM bagaimana pula dengan Annuar dan Khairy? Mereka juga kerap mengkritik parti. Adakah “sesuatu” tindakan akan diambil terhadap mereka? Kedua-dua bagaimanapun bukan ahli MKT. Sekali gus, tindakan ke atas Tajuddin tidak boleh digunakan terhadap mereka.

Perlu diingat, kuasa menandatangani dan mengeluarkan watikah calon Umno untuk pilihan raya terletak di tangan presiden parti.

Maka, Zahid boleh menentukan sama ada Tajuddin, Annuar, Khairy – malah Ismail (dan sesiapa saja dalam Umno) akan bertanding pada PRU15 atau tidak. Akan tetapi jika nama besar terutama Ismail tidak dipilih sebagai calon ia pasti memecahkan Umno. Adakah Zahid berani mengambil risiko itu? Dan dituduh memecahkan parti? Secara peribadi saya rasa tidak.

Pun begitu berdasarkan peristiwa lampau, apabila Umno berperang dan berpecah lahirlah parti yang dikatakan “serpihan” Umno. Umpamanya Parti Semangat 46 dan Bersatu. Malah PAS juga. Namun, Umno kekal dan tetap wujud.

Yang menjadi persoalan kini adakah benar Umno sedang berperang saudara?

Untuk cuba mencari jawapan saya rujuk kembali isu Tajuddin. Beliau dikatakan orang Ismail. Justeru, adakah beliau berbincang terlebih dahulu dengan perdana menteri sebelum membuat pendedahan dan tuduhan petang semalam? Dan adakah tindakannya direstui perdana menteri? Wallahu’alam.
Tetapi jika ya, maknanya Ismail sudah melawan. Umno sudah berperang. -FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.