`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, July 9, 2022

Hasrat ke Tanah Suci terkubur, 6 sekeluarga bakal jemaah masih terkilan

 

Menurut salah seorang bakal jemaah haji yang terkandas di KLIA Khamis lalu, kos untuk menunaikan haji itu bersama ahli keluarganya yang lain menelan perbelanjaan kira-kira RM300,000. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Enam sekeluarga masih berasa terkilan apabila wang kira-kira RM300,000 yang dibayar kepada sebuah agensi pelancongan untuk menunaikan haji, hangus begitu saja selepas terkandas bersama beratus bakal jemaah lain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Salah seorang daripada ahli keluarga yang mahu dikenali sebagai Azwan berkata, mereka mengambil masa hampir enam tahun untuk mengumpul wang itu.

Katanya, mereka kecewa dengan apa yang berlaku apatah lagi pemergian mereka ke Tanah Suci juga telah diberitahu kepada jiran terdekat serta sanak saudara yang lain.

“Ada beberapa tawaran pakej haji yang ditawarkan ada yang RM16,000, ada RM25,000, ada RM35,000, ada yang RM60,000. Jika seorang pun sudah RM30,000, bagaimana pula kalau sudah berenam.

“Saya tidak tahu apa ingin dikata apabila melihat mak, ayah serta nenek menangis. Sebelum pergi, kami adakan kenduri doa selamat dan semua jiran, adik beradik serta saudara mara sudah tahu kami akan menunaikan haji,” katanya kepada FMT.

Media sebelum ini melaporkan, kira-kira 380 bakal jemaah haji terkandas di KLIA pada Khamis lalu, dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan.

Mereka yang berkumpul di Aras 5, Balai Pelepasan KLIA dipercayai menggunakan visa furada untuk menunaikan haji dan tidak melalui Lembaga Tabung Haji (TH).

Bagaimanapun, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dalam kenyataannya semalam berkata, wang dan pasport jemaah akan dikembalikan secara berperingkat dan agensi yang terlibat itu adalah berlesen dengan mereka.

Selain itu, Azwan menasihatkan mereka yang ingin menunaikan ibadah haji menerusi agensi persendirian supaya menyelidik dahulu latar belakang mereka.

“Pastikan selidik dulu latar belakang syarikat itu seperti pengalaman mereka membawa jemaah, berapa tahun sudah beroperasi. Paling penting, adakah tawaran pakej mereka itu masuk akal kerana mereka hanya janji ‘bulan dan bintang’ tetapi ia tetap perlu diselidik,” katanya.

Dalam perkembangan terbaharu, polis mengesahkan sudah menahan lima individu dipercayai terlibat dalam kes penipuan itu. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.