Menurut Tengku Razaleigh Hamzah tindakan yang diambil presiden Umno ke atas ahli parti yang khianat adalah munasabah kerana menjadi tanggungjawabnya memantau perjalanan parti dan mengawasi tingkah laku para pemimpin.
“Setiap parti ada disiplin. Seseorang yang tidak ikut tatacara, cara kerja, serta susunan organisasi akan dikenakan disiplin bagi memastikan parti berjalan baik,” kata pemimpin veteran Umno itu.
Jumaat lalu Khairy Jamaluddin dan Noh Omar dipecat Umno. Noh bekas “warlord” Umno Selangor dipecat atas dakwaan melakukan sabotaj terhadap parti pada PRU15. Satu pendakwaan yang cukup serius. Khairy pula kerana menuduh secara terbuka Umno sudah sesat. Tuduhan dibuat semasa beliau berkempen menjelang pilihan raya umum November lalu. Beliau juga mendakwa ada ‘perwakilan hantu’ pada perhimpunan agung Umno awal bulan ini. Ini juga tuduhan serius ke atas parti.
Pendakwaan ke atas Hishamuddin Hussein, yang pernah jadi naib presiden parti suatu masa dahulu, lagi serius, pada hemat saya. Kata Puad Zarkashi, ahli MKT Umno: “Dia tidak serik membelakangkan parti. Bawa Ahli Parlimen Umno ke rumah Azmin Ali.” Beliau dituduh Puad sebagai dalang yang menggerakkan Ahli Parlimen BN menandatangani SD menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri selepas PRU15. Rata-rata orang Umno sememangya tidak berkenan dengan Azmin, bekas timbalan presiden PKR yang kini pemimpin kanan Bersatu.
Ada lagi kata Puad mengenai Hishamuddin: “Dia suruh Ketua Bahagian Umno Sabah masuk Bersatu.”
Bagi saya apa yang Hishamuddin dikata telah lakukan lebih berat berbanding apa yang dilakukan Khairy, tetapi Hishamuddin hanya digantung keahlian selama enam tahun. Pun begitu ini dilihat bagai beliau digantung tak bertali yang mengikat beliau dengan Umno tanpa boleh buat apa-apa.
Jika dipecat, kata pemerhati politik, Hishammuddin bebas menyertai parti lain (yang ramai percaya Bersatu) sambil mengekalkan status sebagai Ahli Parlimen Sembrong. Apa pun bagi Tengku Razaleigh, sudah menjadi perkara biasa jawatankuasa disiplin parti mengambil tindakan ke atas ahli selepas pertimbangan teliti. “Saya percaya benda ini sudah diteliti dengan cermat oleh pihak bertanggungjawab termasuk jawatankuasa disiplin,” kata Ku Li.
Tetapi Khairy mendakwa beliau dipecat tanpa amaran, tanpa surat tunjuk sebab, dan tanda pendengaran disiplin. Ismail Sabri Yaakob pula mendakwa pemecatan dan penggantungan dibuat “tidak mematuhi proses perundangan dan bertentangan dengan prinsip keadilan asasi seperti hak membela diri.”
Tampil Zaid Ibrahim, bekas menteri era BN pimpinan Abdullah Ahmad Badawi. Kata beliau: “Apabila saya dipecat daripada Umno dulu tidak ada sebarang sebab, amaran, dan tiada asas. Mereka yang merungut (sekarang) tidak berbuat apa-apa.” Yang dimaksudkan Zaid, Khairy dan Hishamuddin yang berkedudukan dalam parti merelakan beliau dipecat tanpa pengadilan pada Disember 2008, oleh Abdullah yang waktu itu presiden Umno. Adakah pemecatan tanpa proses pengadilan amalan biasa dalam Umno?
Berbalik kepada Ismail. Kata-kata Ismail berhubung tindakan ke atas Khairy dan Hishamuddin juga satu tuduhan serius ke atas parti, MKT yang beliau anggotai, dan Zahid Hamidi, presiden Umno. Oh ya, Ismail juga mengakui beliau membantah. Namun Ismail tidak pula menghuraikan bagaimana bantahan dibuat. Adakah ia disuarakan secara langsung kepada presiden pada mesyuarat MKT Jumaat lalu? Jika ya, apa reaksi Zahid? Adakah beliau melanggar semua bantahan ala kuku besi?
Apa yang berlaku pada malam itu? Bagi saya Zahid terlepas peluang untuk mengumumkan versinya tentang apa yang berlaku dan mengapa tindakan yang diambilnya. Dia terlepas peluang untuk “pre-empt” atau ambil langkah mendahului musuhnya kerana memilih untuk tidak mengadakan sidang media selepas mesyuarat MKT Jumaat lalu. Sebaliknya MKT Umno (atau Zahid sendiri) memilih untuk mengumumkan keputusan mesyuarat melalui kenyataan media oleh Setiausaha Agung Ahmad Maslan. Kenyataan itu memaklumkan mengenai agenda mesyuarat dan semua keputusan yang diambil, bukan sahaja membabitkan pemecatan Khairy and Noh serta penggantungan Hishamuddin dan lain-lain ahli.
Tetapi seperti dijangka kenyataan itu tidak memberi perincian. Tidak ada “details” selain “basic information”. Oleh itu pada malam Jumaat itu banyak “sumber” bersuara apa yang mereka dakwa berlaku dan ini dipetik media. Apa lagi media sosial. Ada juga “info” dihebahkan sebelum mesyuarat ditangguhkan.
Sekarang Zahid berdepan bermacam tuduhan. Beliau sudah pun berkata akan memberitahu semuanya kemudian. Beliau akan “tell all” pada satu upacara. Tempat, hari, dan waktunya sekatat ini belum diumumkan. Mungkin beliau maksudkan ibu pejabat Umno memanggil upacara ala majlis taklimat presiden yang biasa dilaksanakan di Dewan Merdeka. Jika ini diadakan yang akan hadir kelak tentulah hanya orang Umno, sebab ini soal Umno dan orang Umno berhak tahu. Oleh itu mungkin diadakan secara tertutup.
Jika Zahid percaya masyarakat umum juga ingin dan berhak tahu maka majlis diadakan secara terbuka. Tetapi berdasarkan apa yang kita pernah saksikan pada majlis seperti ini pada masa lalu, ia merupakan “one-way traffic.” Hanya presiden bercakap dan hadirin dengar. Setuju atau tidak dengan apa yang disampaikan terpulang. Perkara tidak jelas dipendamkan kerana tiada “question time”.
Saya berpendapat jika Zahid mengadakan sidang media selepas mesyuarat MKT tempoh hari, Zahid berpeluang memberi penjelasan apa yang tidak jelas apabila ditanya media. Bukan saya kata beliau mesti beritahu setiap apa yang terjadi dalam mesyuarat. Semua pemimpin politik akan saring apa yang boleh diumum apa yang tidak, tetapi sekurang-kurangnya banyak yang boleh dicerahkan awal apabila sidang media diadakan.
Bukan juga saya kata Zahid tidak perlu beri penjelasan atau menjawab pelbagai isu yang timbul pada satu majlis tidak lama lagi seperti yang dijanjikannya. Sila lakukan cuma alangkah elok sidang media juga diadakan. Bagaimanapun saya akur hak Zahid untuk menggunakan apa juga cara dan kaedah yang beliau fikir paling afdal.
Kelmarin 29 Jan 2023, saya baca hantaran Facebook Isham Jalil, ketua penerangan Umno. Saya tidak akan mengulangi catatan beliau. Saya sekadar memetik kata-kata pembukaan: “Hari ini beberapa orang bertanya saya tentang pemecatan Tan Sri Noh Omar dan Khairy jamaluddin”. Ertinya ramai dalam mahupun luar Umno tertanya-tanya. Maka eloklah semua dapatkan informasi “from the horse’s mouth”. Eloklah Zahid mempercepatkan upacaranya untuk “tell all”.
Tetapi pasti beliau sendiri tahu yang sedang mempertikai akan terus pertikai. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.