`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Friday, June 30, 2023

Yakin bentuk kerajaan negeri, perang saraf Muhyiddin, kata penganalisis

 

Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata PN sedia membentuk kerajaan di enam negeri dan telah menyelesaikan agihan jawatan di kalangan komponen parti sekiranya menang PRN.

PETALING JAYA: Keyakinan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin membentuk kerajaan di enam negeri disifatkan sebagai perang saraf politik untuk menakutkan kerajaan perpaduan, kata seorang penganalisis politik.

Salawati Mat Basir dari Universiti Kebangsaan Malaysia berkata amaran itu bukan hanya berkisarkan kepada PRN tetapi kesediaan berkuasa semula sekiranya kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim tumbang seperti diuar-uarkan.

“Ini perang saraf politik dan cita-cita tinggi Muhyiddin, beliau mahu kemenangan…sebab itu tunjukkan hendak buat apabila menang.

“Ini satu cara perang politik di Malaysia yang akan menggentarkan dan menggugat lawan,” katanya kepada FMT.

Rabu lalu, FMT melaporkan kenyataan Muhyiddin bahawa PN sudah sedia membentuk kerajaan di enam negeri dan telah menyelesaikan agihan jawatan di kalangan komponen parti sekiranya menang pada PRN.

Presiden Bersatu itu berkata PN yang akan bertanding di 245 kerusi DUN mahu mengelakkan pergeseran jika mereka berjaya menawan Selangor, Negeri Sembilan, dan Pulau Pinang selain mengekalkan pentadbiran di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Pengagihan bukan hanya membabitkan jawatan menteri besar, ketua menteri, Exco dan ketua syarikat berkaitan kerajaan (GLC), tetapi ahli majlis serta ketua kampung.

Sementara itu, Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata Muhyiddin menunjukkan sikap realistiknya dengan keyakinan mengekalkan penguasaan PN di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

“PN nampaknya akan memerintah sekurang-kurangnya tiga negeri, ada juga peluang di Negeri Sembilan dan Selangor.

“Pulau Pinang mungkin tidak tetapi bukan mustahil, jadi tidak hairan PN sedang bersiap sedia membentuk kerajaan negeri,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.