`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, October 26, 2023

Edar ganja, 2 rakan terlepas hukuman gantung

 

Effy Sharaffi Muszali (dua, kanan) dan Indra Ironi Nasrun (kanan) dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru atas pertuduhan mengedar ganja seberat 455g tiga tahun lalu. (Gambar Bernama)

JOHOR BAHRU: Dua rakan terlepas hukuman gantung selepas dilepas dan dibebaskan Mahkamah Tinggi atas pertuduhan mengedar dadah jenis ganja seberat 455g, tiga tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Noor Hayati Mat membuat keputusan itu terhadap Effy Sharaffi Muszali, 28, dan Indra Ironi Nasrun, 27, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh.

Noor Hayati dalam penghakiman antara lain, menyatakan rantaian bukti terhadap barang kes itu terputus selepas pihak pendakwaan tidak dapat memberi penjelasan berhubung perkara tersebut.

Beliau berkata, pihak pendakwaan juga gagal membuktikan bahawa kedua-dua lelaki itu mempunyai pengetahuan terhadap barang kes yang ditemukan di bahagian bawah stereng sebuah kereta.

Mengikut pertuduhan, Effy Sharaffi, seorang mekanik dan Indra Ironi, porter hospital di Singapura didakwa bersama-sama mengedar dadah berkenaan di tempat letak kereta tingkat dua, pusat beli-belah Skudai Parade pada 6 petang, 16 Julai 2020.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, Effy Sharaffi dihukum penjara tiga tahun oleh mahkamah selepas mengaku bersalah atas pertuduhan kedua iaitu memiliki kanabis seberat 10.14g di tempat sama pada 6.15 petang, 16 Julai 2020.

Noor Hayati menjatuhi hukuman itu terhadap Effy Sharaffi, selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah hari ini dan memerintahkan dia menjalani hukuman penjara tersebut bermula 16 Julai 2020.

Terdahulu, Effy Sharaffi diarahkan untuk membela diri selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya di akhir kes pendakwaan.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Lapan saksi pendakwaan memberi keterangan sepanjang perbicaraan yang berlangsung sejak 3 Julai lalu.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Nasrudin Mohamed manakala peguam Nur Helmi A Halim mewakili Effy Sharaffi manakala peguam Mohd Tarmeze Mohd Taib serta Mohammad Muzammil Mohammad Hairiri mewakili Indra Ironi. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.