`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, October 24, 2023

Bukan tunjuk hebat, DAP angkat pemimpin Melayu kerana progresif, kata Jamaliah

Adun Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin menjadi exco termuda dalam pentadbiran Selangor pasca PRN.

SHAH ALAM: Seorang pemimpin Melayu DAP menepis tanggapan mereka diketengahkan dalam pentadbiran kerajaan hanya kerana parti itu ingin ‘menunjukkannya lebih hebat berbanding lawan’.

Penolong Setiausaha DAP Selangor Jamaliah Jamaluddin berkata sebaliknya pemilihan pemimpin Melayu bermula Abdul Aziz Bari di Perak diikuti Zairil Khir (Pulau Pinang), Sheikh Umar Bagharib Ali (Johor) dan beliau di Selangor dibuat atas prinsip progresif.

Ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) di Putrajaya pada 2018-2020, Timbalan Setiausaha Agung DAP Tengku Zulpuri Shah Raja Puji dilantik timbalan menteri air, tanah dan sumber asli.

Menurut Adun Bandar Utama berusia 34 tahun itu, parti membuka ruang seluas-luasnya sesiapa sahaja mempunyai kualiti dan hasrat berbakti demi masyarakat tanpa mengira latar belakang kaum dan usia.

“Saya percaya bukan sebab nak tunjuk parti lawan kita lagi hebat.

“Ini memang tradisi atau sifat progresif dalam DAP dan PH…sebelum ini pun banyak pemimpin dipilih bukan berdasarkan kaum, umur dan jantina,” kata exco kesihatan awam & alam sekitar Selangor itu dalam temu bual dengan FMT.

Beliau exco termuda dalam kerajaan Selangor yang dibentuk selepas PRN. Jamaliah mempertahankan kerusi Bandar Utama dengan majoriti 35,446 undi.

Jamaluddin juga mengulangi pendirian DAP menyokong keluhuran Perlembagaan Persekutuan dengan sentiasa menghormati hak orang Melayu dan Bumiputera namun tidak melupakan kebajikan kaum lain.

“Setiausaha Agung (Loke Siew Fook) dan pemimpin lain sentiasa ingatkannya,” katanya.

Beliau turut menyentuh mengenai inisiatif Undi18 yang diakuinya risiko kepada semua parti memandangkan sokongan tidak menentu kumpulan itu yang dikatakan antara punca peralihan orang Melayu kepada pembangkang pada PRN lalu.

“Saya berpendapat peralihan terlalu banyak faktor yang perlu kita analisis, apabila kita membenarkan undi 18 itu juga satu risiko.”

Jamaliah berkata kebenaran itu harus disusuli dengan memberi kesedaran berhubung kesan pembabitan mereka dalam proses demokrasi.

“Pada saya perkara perlu ditambah baik lebih kepada golongan anak muda dengan memupuk kesedaran, pendidikan dan memahami struktur kerajaan serta peranan wakil rakyat,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.