`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Sunday, November 26, 2023

Pengecualian visa 30 hari untuk rakyat China, India mulai Disember

 

Pengecualian visa kepada rakyat negara asing tertakluk kepada tapisan keselamatan, tegas Perdana Menteri Anwar Ibrahim. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Kerajaan memberikan pengecualian visa selama 30 hari untuk rakyat China dan India ke Malaysia mulai 1 Dis ini dalam semangat perkongsian strategik hubungan dua hala, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Ia merupakan tambahan kemudahan pengecualian visa sedia ada yang kini dinikmati rakyat dari negara-negara Asia Barat.

Bagaimanapun, Anwar menegaskan pengecualian visa itu tertakluk kepada tapisan keselamatan.

“Tapisan awal akan dibuat bagi semua pelancong, pelawat ke Malaysia. Soal keselamatan itu berasingan. Kalau ada rekod jenayah ataupun risiko keganasan maka mereka tidak akan dibenarkan.

“Ini wewenang pasukan keselamatan dan imigresen,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres PKR di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, selaku presiden parti.

Beliau berkata kemudahan tambahan lain berkaitan visa itu dijangka diumumkan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail esok.

Perdana menteri juga merakamkan ucapan terima kasih kepada China yang melaksanakan dasar pengecualian visa sepihak bagi pemegang pasport biasa dari Malaysia mulai 1 Dis ini hingga 30 Nov 2024.

Sementara itu Anwar meminta semua pihak termasuk pembangkang agar tidak memperlekehkan hubungan antarabangsa kerana ia signifikan dalam meningkatkan hubungan strategik dan faedah langsung kepada negara.

Beliau menjelaskan perjalanannya ke negara luar bukan membazir, malah 90% lawatan disifatkan ‘mesti ditunaikan’ oleh kerajaan seperti Sidang Kemuncak Asean ke-43 dan Mesyuarat ke-30 Pemimpin Ekonomi bagi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik di Amerika Syarikat baru-baru ini.

“Setiap perhimpunan ini, kita gerakkan banyak usaha, yang dimulakan Kementerian Luar serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri untuk menghubungi syarikat-syarikat dan membawa pulang pelaburan,” katanya.

Sementara itu, Anwar berkata hubungan Malaysia dengan Singapura ditingkatkan dengan membenamkan sentimen serta prasangka lama, dan kerajaan perpaduan sangat positif ketika pertemuan beliau dengan rakan sejawatan, Lee Hsien Loong.

“Saya menerima perakuan beliau (Lee), semua hal-hal yang terbantut sama ada soal air, ruang udara atau soal sempadan, kita sudah tunggu berpuluh tahun, harus ada tekad politik untuk selesaikan, dan beri keuntungan kepada kedua-dua negara,” katanya.

Anwar berkata beliau akan bertemu dengan rakan sejawatan dari Thailand, Srettha Thavisin esok di Sadao, Songkhla dalam memastikan perjalanan rakyat antara kedua negara baik dan cekap, selain menggalakkan pelancongan.

Katanya, mereka tekad memastikan pembangunan pesat di kawasan utara Semenanjung dan selatan Thailand bagi menjamin pertumbuhan ekonomi, dan keamanan serta kedamaian adil bagi Thailand.

Anwar juga memberitahu kerajaan akan mengambil langkah-langkah segera untuk membaiki kemudahan pengangkutan awam dan lapangan terbang di seluruh negara dalam usaha membawa lebih ramai pelancong luar ke Malaysia. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.