`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, February 1, 2024

Hamzah panggil siapa jadong?

 

Minggu lalu ketua pembangkang yang kurang berkesan di Dewan Rakyat, Hamzah Zainudin, memanggil kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim sebagai kerajaan jadong. Sebelum kita berangkat lebih lanjut, kerajaan perpaduan yang mentadbir negara ini adalah atas saranan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk memecahkan kebuntuan politik setelah PRU15. Perikatan Nasional seperti yang kita tahu enggan dan menolak untuk menyertai kerajaan perpaduan ini. Justeru terdapat kemungkinan kata panggil ‘jadong’ itu ditujukan kerana rasa pahit berbekas dan tidak kepuasan nafsu.

Kita tidak usah membincangkan sama ada betul atau tidak kerajaan perpaduan hari ini jadong atau tidak. Satu yang kita agak pasti ialah, Hamzah tidak pernah baca Syarahan Cita Sempurna Warisan Sejarah oleh Syed Hussein Alatas, yang mula-mula memuatkan terma jadong ini. Syed Hussein menggagaskan terma ini ketika beliau menjawat posisi sebagai felo utama di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia tempat saya bertugas sekarang. Memang Syarahan Cita Sempurna Warisan Sejarah oleh Syed Hussein ini saya gunakan dalam kuliah metode saya, bahkan diketengahkan kepada pelajar-pelajar di dalam dan luar kelas.

Oleh sebab nama Syed Hussein dipetik dan dijual demikian oleh Perikatan Nasional, ada baiknya kita memahami terma ini. Orang yang saya kira wajar memperincikan terma ini tentulah ahlul baitnya Syed Hussein sendiri, iaitu anakanda beliau, Syed Farid Alatas, seorang profesor dan sosiologis terkenal.

Terpaling kini Syed Farid membincangkan istilah jadong ini adalah dalam prakata buku terjemahan Khud Oghohi va Istihmar atau Kesedaran Diri dan Kekeldaian oleh Ali Shariati, terbitan Lestari Hikmah. Buku yang diterjemahkan oleh Sheikh al-Saggaf ini memang sedang laku keras di pasaran.

Dalam pengantar buku ini, Syed Farid yang merupakan anak lelaki Syed Hussein dan pewaris yang berhak membincangkan terma jadong ini membangkitkan faham kejadongan yang menurut beliau bertindih dengan faham bebalisme, tetapi masih lain lagi.

Syed Farid memberikan kita beberapa contoh kejadongan, yang menurut beliau antara ciri khas sesetengah agamawan. Istilah jadong ini kependekan kepada kata jahat bodoh dan sombong. Agamawan yang jadong seperti disyarahkan oleh Syed Farid adalah apabila “kesombongan mereka tidak memungkinkan mereka mengakui akan kebodohan mereka”. Antara kesentengan cara fikir agamawan jadong ini apabila membuat sesuatu andain tanpa berasaskan ilmu, dan apabila ditegur enggan mengakui kesalahan. Sebagai contoh ada sesetengah ulama yang beranggapan wanita yang tidak berhijab terdedah kepada rogol, sedangkan fakta kes adalah yang dirogol itu kadang-kadang bertudung; malah dalam zon selamat atau ketika bersama anggota keselamatan itu sendiri.

Contoh lain yang diberikan oleh Syed Farid ialah dakwaan cetek ahli akademik dan ulama yang mengaitkan Abdullah bin Saba’ sebagai pendiri mazhab Syiah. Sedangkan hal ini terbukti secara akademiknya telah disangkal. Syed Farid mengatakan kejadongan berlaku apabila tiadanya pendekatan kritikal, yang mana menerima sesuatu berasaskan tujuan jahat dengan niat menyusahkan golongan tertentu. Syed Farid menegaskan Syiah mazhab yang sah dalam Islam.

Menurut Syed Farid, pengertian jadong itu perlu diteliti:

“Takrif rasmi jadong adalah jahat sambil tidak cukup atau lekas mengerti, dan pada waktu yang sama, begitu sombong dan meninggikan diri sehingga tidak mengakui kebodohan. Seorang yang berjadong, iaitu, yang berbuat jadong, tetapi yang tiada mempunyai kuasa dalam masyarakat mungkin tidak akan membawa kesan yang begitu buruk ke atas masyarakat itu. Yang menjadi bahaya bagi masyarakat kita adalah keadaan dalam mana institusi-institusi politik, ekonomi, dan agama dikuasai oleh penjadong. Dalam keadaan ini ada kemungkinan besar bahawa rakyat akan diperjadongi oleh pemimpin-pemimpin seumpama itu.

“Memperjadongi masyarakat atau berbuat jadong terhadapnya adalah berbuat jahat dengan sikap dan tindakan yang bodoh, tanpa kebodohan itu disedari pemimpin-pemimpin itu oleh kerana kesombongan mereka. Sebagai contoh, katakan ada seorang ahli politik yang menganggap satu golongan Islam tertentu sebagai sesat. Kalau pendapat itu salah tetapi dimilikinya secara ikhlas tanpa tujuan jahat, ia boleh disebut bodoh tetapi tidak boleh disebut penjadong. Jika sekiranya dia mengungkapkan pandangan itu dengan tujuan untuk menghapuskan golongan itu, dan ia begitu sombong sehingga tidak mempertimbangkan kemungkinan kesalahan pandangannya, tindakannya akan merugikan atau menyusahkan golongan sasarannya. Golongan itu dapat dikatakan diperjadongkan atau, dalam kata lain menjadi mangsa kejadongan.”

Sebetulnya istilah jadong oleh Syed Hussein Alatas ini memang enak dibaca dengan terma pengkeldaian seperti yang diungkap oleh Ali Shariati. Sebenarnya ada banyak cara, di mana rakyat dan masyarakat dikeldaikan. Salah satunya ialah apabila pemimpin mencuri terma jadong dan mengenakan ia kepada kelompok bermusuhan dengannya untuk agenda sendiri. Bak kata Syed Farid Alatas lagi;

“Sesuatu yang paling rumit untuk rakyat yang ingin jadi bebas daripada kebodohan adalah kenyataan bahawa ‘sejadong-jadong ahli politik dan agamawan, mereka masih dipuji dan disokong oleh golongan-golongan tertentu, yang telah menjalani pengeldaian’. Semoga faham kekeldaian dan jadong tersebar luas dalam masyarakat kita dan penjadong-penjadong dan kekeldaian di kalangan kita berkurangan.”

Pengguna memanipulasi kata jadong ini jangan dibiarkan. Beginilah, apabila ketua pembangkang yang kurang berkesan di Dewan Rakyat, Hamzah Zainudin itu memanggil kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim sebagai kerajaan jadong, kita tentu akan menimbang-nimbang siapa yang ingin beliau tuju. Kerajaan perpaduan yang mentadbir negara ini adalah atas saranan Yang di-Pertuan Agong untuk memecahkan kebuntuan politik setelah PRU15. Perikatan Nasional seperti yang kita tahu enggan dan menolak untuk menyertai kerajaan perpaduan ini. Memang terdapat kebarangkalian besar kata panggil jadong yang tidak difahami oleh Hamzah itu memang ditujukan kerana rasa pahit berbekas dan tidak kepuasan nafsu.

Kasihan, dia ingin menjadong. Kita enggan dijadong. Carilah keldai tunggangan lain. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.