`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Wednesday, February 28, 2024

4 pengalaman terbaik di Perlis untuk pencinta alam, penggemar cabaran

 

Tunggang ATV merentasi sawah padi di Bintong untuk menikmati alam semula jadi dan pengembaraan mengujakan. (Annuar Idris @ FMT Lifestyle)

PETALING JAYA: Kecil-kecil cili padi. Itulah perumpamaan yang sesuai buat Perlis, negeri yang menawarkan pelbagai keseronokan dan pengembaraan hebat.

Biarpun kecil, negeri di utara semenanjung Malaysia ini menawarkan pelbagai tarikan mempesonakan.

Berbeza dengan negeri-negeri lain disebabkan faktor geografinya yang unik, Perlis bersempadankan Thailand di utara dan Kedah di selatan. Kawasan sawah padinya saujana mata memandang, berlatarbelakangkan deretan bukit batu kapur yang menawan.

Landskap tersebut hanyalah sebahagian daripada pelbagai tarikan menarik yang ada di Perlis. Berikut ialah empat lokasi dan aktiviti yang wajar dikunjungi dan dinikmati oleh pencinta alam – daripada gua-gua mengasyikkan hinggalah kepada pemandangan matahari terbit yang menakjubkan.

Gua Wang Burma dengan keajaiban geologinya menawarkan pengalaman yang luar biasa. (Annuar Idris @ FMT Lifestyle)

Gua Wang Burma: Keajaiban semula jadi

Sekiranya anda sukakan cabaran meneroka laluan gua yang sempit dan basah serta dipenuhi terowong, Gua Wang Burma pasti menjadi pilihan. Terletak berhampiran sempadan Malaysia-Thailand, ia merupakan tarikan utama semula jadi di Perlis.

Gua batu kapur ini dikatakan terhasil sekitar 370-490 juta tahun lalu dan masih berdiri megah sebagai satu keajaiban geologi.

Hayati keunikan dan keindahan pembentukan struktur batunya: barisan stalaktit putih yang tergantung dari siling; stalagmit yang menjulang dari permukaan; serta titisan air yang kaya dengan mineral sejak berjuta tahun lamanya.

Bagi penggemar aktiviti lasak, gua ini memang pilihan yang tepat kerana perjalanannya memerlukan beberapa aksi mencabar: merangkak, mengesot, dan berjalan itik merentasi laluannya yang sempit!

Perhatikan kehadiran haiwan eksotik seperti kodok dan labah-labah, dan lihat di siling gua untuk menyaksikan koloni kelawar yang mempesonakan. (Annuar Idris @ FMT Lifestyle)

Menara Tinjau Wang Kelian: Matahari terbit yang memecah hening pagi

Saksikan keindahan alam semula di Menara Tinjau Wang Kelian. Menara yang berada pada ketinggian 304 meter di atas paras laut ini menjadi pilihan warga tempatan dan pelancong.

Untuk ke sana, ambil perjalanan selama 30 minit dari Kangar, melalui pekan dan kampung yang menenangkan, seterusnya berjalan kaki mengikut trek menuju ke laluan yang membawa anda ke menara itu untuk menyaksikan pemandangan matahari terbit yang menerangi Perlis.

Menara Tinjau Wang Kelian – pilihan tepat untuk memulakan hari anda. (Annuar Idris @ FMT Lifestyle)

Hirup udara pagi yang segar sambil menikmati keindahan pemandangan landskap yang diselubungi awan, jalan yang berliku-liku dan bukit-bukau.

Bagi mereka yang gemar mengambil gambar dan berkongsi di Instagram, menara tinjau tersebut menyediakan ruang yang luas. Anda tidak akan terlepas peluang mengabadikan kenangan indah.

Rimba Herba Perlis: ‘Farmasi’ alam semula jadi

Pelbagai jenis tumbuhan ubatan terdapat di taman botani ini, syurga kepada 721 spesis herba.

Ia turut menempatkan tumbuhan tempatan dan dari pelbagai lokasi, termasuk luar negara. Tongkat Ali, Kacip Fatimah, cekur, halia, serai, selasih, kayu manis antara koleksinya yang memiliki ciri penyembuhan.

Terdapat 12 bahagian bertema di sini seperti “taman kanser” dan “tapak gout”, kesemuanya memiliki keunikan kisah dan manfaat di sebalik setiap tumbuhan ubatan ini.

Taman ini menempatkan lebih 700 spesies tumbuhan dengan fungsi tersendiri. (Annuar Idris @ FMT Lifestyle)

Sebagai contoh, sekiranya anda merebus daun asam gelugur dan minum airnya, ia dipercayai memberi manfaat untuk membantu penyembuhan kanser. Ini hanya sebahagian daripada pelbagai rahsia yang terdapat di negara kita, malah biasanya tidak diketahui oleh masyarakat bandar.

Oh ya! Jangan lupa menikmati sesi urutan kaki di Rimba Herba Perlis setelah penat berjalan seharian!

Menaiki ATV di sawah padi Bintong

Tunggang ATV sambil menikmati suasana kehijauan sawah padi di Bintong, Kangar. (Annuar Idris @ FMT Lifestyle)

Setelah menikmati pemandangan matahari terbit di Menara Tinjau Wang Kelian, alami pula suasana matahari terbenam dengan menaiki ATV, melintasi kawasan sawah padi Bintong yang luas.

Jangan bimbang, pemandu berpengalaman akan membimbing anda sepanjang perjalanan menikmati landskap yang indah dan suasana luar bandar Kangar yang mempesona. Anda hanya perlu mengikuti laluan mudah yang disediakan khas untuk anda.

ATV membolehkan anda menikmati keseronokan menunggang dan menikmati udara segar, sambil menyaksikan pemandangan indah matahari terbenam di sawah padi yang berlatar belakang bukit batu kapur. Persiapkan diri anda! - FMT

Artikel ini ditulis hasil kunjungan ke Perlis anjuran Tourism Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.